Oleh:  Sabir Syarifuddin

Tahun 1963, Sabah sudah bergabung dengan Malaysia dan sekarang 2019 kita masih membicarakan satu sistem yang entah wujud atau tidak justeru memberi kesan kepada sosial masyarakat di Sabah umumnya. Banyak punca akan kesan-kesan tersebut dan nyata kurang diperhitungkan oleh pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat Malaysia. Justeru itu, hal ini sangat mengecewakan segelintir masyarakat yang menyedari akan ketidakbertanggungjawaban ini. Semua sedia maklum bahawa taraf kemiskinan dan pendidikan di negeri Sabah begitu mendukacitakan; mencatat tangga ke-16 daripada 14 negeri dalam kedaulatan Malaysia. Ya, di Malaysia tuan-tuan dan puan-puan.

Saya telah mendapat salah satu peluang besar daripada organisasi yang bertapak di Tanah Malaya iaitu Liga Pemuda untuk memberi satu sesi pengenalan mengenai masalah yang begitu serius ini. Membawa prinsip Pendidikan Alat Perubahan Bangsa dengan identiti Sekolah Alternatif di Sabah,  gerakan Borneo Komrad hadir memberi pendedahan dan pencerahan kepada rakan-rakan yang berada di bumi bertuah Tanah Malaya.

Tiada lain yang boleh menyatukan atau menyemarakkan lagi sesebuah ikatan melainkan berkongsi sebilangan permasalahan yang memberi kesan penindasan. Inilah yang kita mahukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, untuk peduli akan golongan-golongan minoriti (undocumented). Operasi tangkap dan halau pulang ke negara sepatutnya bagi kita tidak pernah menjadi langkah yang rasional dan sempurna. Menganggap dan menyamakan golongan ini seperti pelarian-pelarian yang berada di sempadan Tanah Malaya adalah salah satu potongan wayar yang terdapat pada sebuah bom jangka.

Saya kira perjalanan kali ini mempunyai input yang besar selain terlajak satu stesen pengangkutan awam (MRT) dan dapat menelaah suasana bukit Ampang. Kali ini saya dapat berdiskusi lebih rancak dengan rakan-rakan aktivis di Tanah Malaya, menjemput penerimaan dan beberapa kritikan yang menurut perspektif saya boleh dititikberatkan dalam permasalahan serius yang berlaku di Sabah.

Kita mengharapkan lebih banyak organisasi-organisasi yang berfikir dan bersentuhan dalam permasalahan akar umbi ini, dan tentu bukan sahaja di Tanah Malaya mahupun di Borneo sendiri. Kita menuntut kerajaan negeri dan kerajaan pusat menjatuhkan ego dan keangkuhan bagi menganggap permasalahan ini adalah tanggungjawab mereka. Buat para ahli akademik dan para ilmuwan, adalah lebih baik sama-sama berfikir dengan menjalankan beberapa diskusi, wacana, kajian yang lebih terperinci akan hal ini berbanding berfikir tentang rambut pelajar dan masalah remeh yang lain.

Akhir kalam, ingatlah, bahawa Sabah bukan lagi anak tiri!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *