Oleh : Muhammad Julazman Jupri
Melihat kepada kerancakan isu-isu politik yang masih hangat dibincangkan sehinggalah ke hari ini, saya sangat tertarik untuk melihat bagaimana kejatuhan sebuah rejim yang selama ini gah memerintah telah ditumbangkan melalui sebuah pilihanraya umum sahaja. Selama 60 tahun mentadbir dan memerintah bukanlah satu jangka masa yang singkat. Sudah masuk umur warga emas dan berpengalaman yang besar. Sekaligus, kekalahan UMNO-BN di peringkat Persekutuan telah menggoyang UMNO-BN Sabah atau rejim Musa Aman dalam jarak masa yang dekat. Hampir semua orang sedar bahawa begitu ramai ahli-ahli UMNO Sabah telah melompat keluar ke Parti Warisan dan Parti Bersatu Sabah.
Dalam menyaksikan kejatuhan UMNO-BN, saya sendiri sebagai rakyat melihat pelbagai faktor yang menjatuhkan parti ini buat julung kali. Namun saya tidak berminat untuk membincangkan kesemua faktor yang ada. Adapun, faktor dominannya ialah rakyat Sabah pada hari ini telah hilang kepercayaan kepada pimpinan UMNO dan BN. Berita tentang korupsi mereka telah didengar di telinga urban mahupun penduduk pedalaman. Walaupun keputusan pilihanraya kali ini adalah sengit, tetapi rakyat sudah menjangkakan bahawa UMNO tidak akan dapat lagi menahan nafas. Manakan tidak, parti yang berkuasa bertahun lamanya hanya tergugat dengan sebuah parti setahun jagung.
Lalu dengan tumbangnya UMNO-BN Sabah, bagaimana pula dengan Aspirasi UMS? Ini sebuah persoalan terbesar dalam diri saya sebagai mantan mahasiswa saat ini. Sebuah gerakan ‘counter-reformation’ yang langsung tidak bertapis dalam menongkat rejim negeri dan persekutuan. Adakah mereka juga akan turut tumbang bersama ataupun mereka akan menjadi katak dan melompat-lompat seperti ahli-ahli politik di luar kampus? Jika dijangka sepintas lalu melalui situasi ini, ia mungkin memberi tanda bahawa pimpinan Aspirasi di dalam kampus juga bakal tumbang sekali. Anak emas yang selalu dimanja-manjakan pentadbiran kerajaan UMNO di dalam kampus, sudah pastilah akan putus harapan setelah melihat bapanya kecundang.
Semasa saya masih bergelar seorang mahasiswa dulu, saya sendiri telah melihat bagaimana golongan Aspirasi ini telah menjadi benteng pertahanan yang paling kukuh kepada pihak pentadbiran ataupun lebih dikenali sebagai macai (penjilat). Hal ini dapat kita saksikan melalui bagaimana sahabat karib saya iaitu saudara Mukmin bin Nantang telah dikenakan tindakan tataterbib AUKU akibat daripada penyertaannya dalam perhimpunan aman Bersih 5. Saudara Mukmin telah dikenakan tatatertib atas alasan telah memalukan nama baik universiti sedangkan dalam perlembagaan sendiri ada termaktub bahawa seseorang individu itu berhak untuk berpolitik secara bebas di luar kampus. Tetapi malangnya pihak universiti telah mengenakan tindakan tatatertib kepada saudara Mukmin. Adakah ini bermaksud pihak universiti sedang mencabar perlembagaan yang sedia ada?
Selain itu, rentetan daripada kes tatatertib saudara Mukmin, terdapat pula seorang mahasiswa Aspirasi yang menjadi anak emas pihak pentadbiran iaitu saudara Wan Mahussin yang mana beliau telah mengikuti program PEMANAS yang mana merupakan program parti politik iaitu UMNO-BN dan telah berucap pada program tersebut dengan menyatakan bahawa “Jangan lupa bisik ke telinga kawan-kawan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang terbaik,” tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan tatatertib daripada pihak universiti sedangkan program ini secara terang-terangan adalah anjuran parti politik. Jelaslah dapat kita lihat bahawa sesiapa yang memasuki Aspirasi maka mereka adalah anak emas kepada pentadbiran universiti yang sentiasa tidak adil dan telus dalam melaksanakan sesuatu tindakan.
Kepada barisan Majlis Perwakilan Pelajar UMS pula, berhenti berharap daripada mana-mana parti politik [tahi] dan berpendirianlah. Mahasiswa tidak turun mengundi kamu hanya untuk menjadi ‘pekerja’ kepada pihak pentadbiran dan hanya untuk melakukan ‘follow-up’ sahaja. Bergeraklah bersama-sama dengan mahasiswa yang telah bersusah-payah untuk turun dan pergi mengundi kamu. Dengarkanlah segala aduan dan rintihan mereka dengan jiwa, bukan dengan nama (jawatan).