Oleh: Farahani R.
Masyarakat misoginis, datang dari mana? Adakah ia datang dari adat, agama atau pilihan? Mengira situasi zaman ke 21; ketiga-tiga ini menyumbang pada sifat ‘misoginis’ yang ada dalam sesebuah masyarakat. Adat ialah galakan dari masyarakat lalu yang telah ‘makan garam’, diperturunkan kepada orang muda, kemudian diperturunkan lagi kepada anak cucu, cicit sehingga akhir waktu. Untuk masyarakat khususnya kelompok yang lebih tegar merujuk pada agama (atau institusinya), para lelaki dipersetujui sebagai ketua, pemimpin dan penasihat yang mampu membawa ahli masyarakat selain dari lelaki menuju kebahagiaan. Tetapi adakah mungkin, ia sebenarnya salah wanita? Kerana wanita itu sudah mulai bekerja maka para lelaki seolah kehilangan fungsinya pada dunia. Wanita sudah boleh memimpin. Wanita sudah boleh mengetuai. Wanita sudah berposisi lebih tinggi daripada lelaki. Wanita sudah boleh membawa pulang ayam, ikan, KFC dan Domino’s Pizza untuk anak-anak. “Jadi, apa guna lelaki?” bisik si misoginis.
Masyarakat misoginis juga tidak kurang dalam mengumpulkan seribu macam sindiran, streotaip, soalan buat para wanita. Tapi para wanita sudah biasa dengan itu, jadi para wanita jadi semakin pandai menjawab dan membisu, mentulikan diri dan terus berjalan. Bagaimana pula dengan para lelaki? Asal saja isterinya bergaji tinggi, berpendidikan lebih tinggi atau berdandan lebih elok maka para lelaki pula ditanya-tanya di mana kejantanan dan kemaluannya. Masyarakat misoginis mengharapkan para lelaki ini kaya, tersentak dan tersedar bahawa kejantanan itu diukur dari kelebihan ke atas kaum wanita. Kerana itu, kejantanan banyak kali disamaertikan dengan keganasan fizikal, atau penderaan mental. Kejantanan banyak kali disinonimkan dengan kekerasan, kekuatan, superioriti ke atas wanita yang sepatutnya lebih cepat menangis, cepat merajuk, cepat merayu dan cepat menerima dosa-dosa lelaki ke atas mereka. Kejantanan banyak kali diiringkan bersama alat sulit dan segala macam kata adjektif yang terlebih-lebih dan personifikasi haiwan garang atas belantara gondol bernama ranjang.
Masyarakat misoginis tidak semestinya datang dari kaum kaya, tidak semestinya datang dari kaum miskin. Masyarakat misoginis tidak semestinya datang dari kaum lelaki. Masyarakat misoginis tidak semestinya datang dari kaum wanita. Menariknya, ia datang dari semua pihak. Yang menjadi mangsa: segelintir yang tidak peduli aturan jumud dan percaya bahawa Tuhan tidak membebankan umatnya melebihi kekuatannya. Sifat misoginis, seperti konsep bebalisme dari Syed Hussein al-Attas, merangkumi segenap penduduk manusia. Bahkan seharusnya, bebalisme turut mencakupi sifat misoginis yang memaksakan kenyataan sosial pada masyarakat tanpa menuruti konteks zamannya. Namun kerana Syed Hussein adalah lelaki dan seorang akademis, maka persoalan wanita itu tidak tersentuhpun.
Masyarakat misoginis juga tidak bergerak beramai-ramai seakan demonstrasi atau rusuhan marah. Ia biasanya bergerak melalui cetusan idea yang dipengaruhi oleh bisik media kapitalis yang jahat, pendapat tidak terdidik yang merepek, perasaan insecurity dan inferiority seorang individu yang mempunyai pengalaman negatif terhadap kaum wanita, kurangnya empati dan simpati kepada kaum wanita yang menjadi mangsa kejahatan dunia. Daripada seorang, muncul dua, tiga, empat, lima, sepuluh, seratus, seribu…sehingga memunculkan kumpulan-kumpulan misoginis seperti INCEL (ya, boleh Google. Ia sub-kumpulan dalam laman Reddit).
Namun apa beza seksis (atau sexism) dengan misoginis? Secara ringkas; seseorang boleh menjadi seksis tanpa menjadi misoginis. Ertinya, mereka mempercayai perempuan itu pandai, cuma sebagai ketua, perempuan teruk. Seseorang juga boleh jadi kedua-duanya: perempuan tidak pandai memandu dan lebih baik jadi bantal peluk waktu malam. Seksis (sexism) berbaur dengan prejudis, manakala misoginis penuh dengan persoalan moraliti lelaki lebih baik dari wanita. Apabila sesebuah masyarakat itu menjadi (dan mengukuhkan sifat misoginis), maka seksis ialah bahasa harian mereka kepada kaum wanita. Mujur masyarakat kini sudah terbuka dengan konsep misoginis, keadilan, kesetaraan, kesamaan peluang. Secara realitinya. Tapi secara maya, komuniti misoginis berkumpul beramai-ramai di satu laman yang sulit; berbincang semahu-mahunya, berkongsi sehabis-habisnya.
Kemudahan teknologi kini, ditambah lagi dengan kegigihan masyarakat dunia memahirkan anak-anak muda untuk membina ruang maya baharu, tidak hairanlah jika idea misoginistik yang dicambah lebih ekstrim dalam dunia maya yang gelap merayap masuk ke dalam minda mereka.
Masyarakat misoginistik bukan cita masyarakat ideal yang baik, untuk lelaki dan wanita. Biasanya ia menjadi elemen pada karya-karya distopia, selain dari pemisahan kelas masyarakat menerusi ekonomi (yang tetap berleluasa sehingga kiamat), serangan dari makhluk asing, penguasaan oligarki dunia, pengelasan masyarakat menurut baka genetik yang diubah dan lain-lain yang belum disebut.