Oleh: Slavoj Zizek
Penterjemah: Jefry Musa
Media arus perdana dan elit politik hari ini suka untuk hanya mengangkat cerita yang bertentangan dengan alternatif. Oleh itu alternatif yang lebih baik jarang mendapat tempat di media utama.
Bila saya membaca tentang pergelutan Brexit di United Kingdom, saya akan membayangkan era Stalin. Semasa lewat tahun 1920-an, Georgian telah ditanya oleh wartawan; siapa yang paling teruk, sayap kanan (Bukharin dan pengikutnya) atau sayap kiri (Trotsky dan pengikutnya), dan dia menjawab “Kedua-duanya teruk!”.
Sesungguhnya ini adalah situasi yang menyedihkan apabila kita berhadapan dengan dilema pilihan politikal, kita harus memihak walaupun pada pihak yang lebih kurang jahat berbanding musuhnya (sedangkan kedua-duanya jahat). Selalu juga kita mendengar orang menjawab “Tetapi kedua-duanya jahat!”.
Ini tentunya tidak bermaksud kedua-dua pihak boleh dikatakan sama sahaja. Dalam situasi yang konkrit, kita harus berpihak, contohnya menyokong protes Vest Kuning di Perancis atau bekerjasama dengan liberal untuk menyekat ancaman terhadap asas kebebasan kita (seperti hak untuk menggugurkan kandungan atau politik perkauman).
Walau bagaimanapun, kebanyakan pilihan yang digambarkan oleh media perdana adalah pilihan yang salah – mereka memainkan peranan untuk menyisihkan pilihan yang betul. Terdapat pengajaran yang pahit daripada keadaan ini; jika ada satu pihak adalah jahat, pihak yang berlawanan juga tidak semestinya baik.
Pilihan Yang Menyedihkan
Kita lihat situasi hari ini di Venezuela, adakah kita memihak pada Maduro atau Guaido?
Kedua-duanya adalah teruk, walaupun tidak dalam erti kata yang sama. Maduro adalah ‘teruk’ kerana pemerintahannya telah membawa Venezuela ke dalam kegagalan ekonomi – majoriti penduduk hidup dalam kemiskinan yang sangat buruk – suatu keadaan yang tidak boleh dikaitkan hanya dengan sabotaj musuh-musuh dalaman dan luaran.
Cukup untuk diingatkan, kerosakan yang dilakukan oleh rejim Maduro ini terhadap idea sosialisme akan menyebabkan kita beberapa abad akan datang, perlu mendengar pelbagai variasi cerita yang akan memberi analogi “Anda mahu sosialisme? Lihatlah Venezuela.”
Walau bagaimanapun, Guaido juga tidak kurang ‘teruk’. Apabila dia mendakwa bahawa dirinya adalah presiden, kita dengan jelas menyaksikan satu rampasan kuasa yang telah dirancang dengan baik oleh Amerika Syarikat, bukan pemberontakan yang berautonomi (seperti yang diharapkan akan menjadi alternatif dalam pertembungan antara Maduro dan Guaido).
Kita juga boleh mengaitkan logik yang sama kepada pertembungan antara populis dan liberal yang berkuasa – boleh digambarkan dalam demokrasi di Barat hari ini. Dengan melihat politik Amerika hari ini, ini bermakna jawapan kepada “Siapa yang terburuk, Trump atau Clinton (atau sekarang Pelosi)?” Jawapan kita juga seharusnya, “Kedua-duanya teruk!”.
Trump semestinya ‘teruk’ kerana menjadi ejen kepada ‘sosialisme untuk orang kaya’. Secara sistematik melemahkan norma-norma kehidupan politik yang bertamadun, menafikan hak-hak minoriti dan mengabaikan ancaman terhadap alam sekitar.
Tetapi, dalam erti kata yang lain, Parti Demokrat juga ‘teruk’. Kita seharusnya tidak lupa bahawa kegagalan yang berterusan daripada Parti Demokrat semasa berkuasa telah memberi ruang kepada Trump menjadi popular.
Oleh itu, langkah pertama untuk mengalahkan Trump adalah dengan mengkritik secara radikal terhadap penglibatan golongan elit. Bagaimana Trump dan populis yang lain boleh mengeksploitasi ketakutan dan keluhan orang ramai? Ini kerana orang ramai merasa telah dikhianati oleh mereka yang berkuasa ketika itu.
Apa yang boleh dilihat daripada situasi ini? Di antara banyak perkara, ini bermaksud, walaupun bunyinya sangat tidak senonoh, orang kiri sepatutnya tidak harus takut tapi belajar daripada Trump.
Ahli Silap Mata Yang Licik
Bagaimana Trump memerintah? Banyak analisis telah dilakukan, Trump sebenarnya (kebanyakannya) tidak melanggar peraturan atau undang-undang yang sedia ada. Dia mengekploitasi undang-undang dengan hakikat-hakikat bahawa segala peraturan yang ada bergantung kepada banyak keadaan yang tidak tertulis – dan dia dengan keras menolak peraturan yang tak tertulis.
Contoh terbaru (yang paling melampau) tindakan Trump ini adalah dengan mengisytiharkan darurat (national emergency). Pengkritiknya sangat terkejut dengan tindakannya, yang jelas sepatutnya digunakan hanya untuk malapetaka seperti perang atau bencana alam, tetapi Trump gunakan untuk membina tembok sempadan bagi melindungi wilayah Amerika daripada ancaman yang tidak berasas.
Namun bukan sahaja Demokrat yang mengkritik langkah ini – terdapat sesetengah golongan dari sayap kanan juga terkejut dan melihat tindakan Trump ini sebagai suatu aturan yang tidak baik; bagaimana jika pada masa hadapan presiden daripada Demokrat-Kiri mengisytiharkan darurat katakan dengan alasan pemanasan global?
Saya percaya seorang presiden yang kiri harus melakukan tindakan seperti ini. Terutamanya masalah pemanasan global ini bukanlah sekadar masalah darurat negara. Diisytiharkan atau tidak, kita sememangnya berada dalam negara yang darurat.
Ini membawa kita kepada kebuntuan yang berterusan dalam proses Brexit. Satu sekatan yang lemah daripada keputusan politik yang jelas di UK, dan perpecahan di antara kedua-dua parti tradisi yang dominan di sana menunjukkan kedua-duanya adalah teruk. Tiada di antara mereka mempunyai visi politik yang jelas, malah mereka bercampur dengan opportunism dan gangguan ideologi.
Brexiteers adalah ‘teruk’ kerana berhujah dengan fahaman populis-nasionalis, anti-Brexiteers ‘terus’ kerana mereka benar-benar tidak mengenal pasti apa yang salah dengan cara EU berfungsi hari ini.
Pilihan (Brits) yang ditawarkan hari ini akhirnya hanya akan menghasilkan semula konflik global antara liberal yang berkuasa dan reaksi populis terhadapnya.
Kedua-dua belah pihak gagal mengenal pasti masalah yang sebenar: bagaimana mahu membina Eropah baru yang patut diperjuangkan dalam membina semangat emansipasi Eropah. Sebaliknya mereka mengkhianati perjuangan ini, satu pihak sedang menekan Eropah untuk kembali kepada bentuk politik negara-bangsa, pihak yang lain menekan satu transformasi Eropah kepada kekuasaan daripada pakar-pakar teknokrat. Ini daripada dua pihak yang sama teruknya.