Oleh: Nurhuda Manshoor

Baru-baru ini kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa ketum boleh ditanam dengan kebenaran. Pada masa yang sama memproses daun ketum adalah satu kesalahan dan boleh ditangkap serta dijatuhi hukuman. Rakyat pula tertanya-tanya status perundangan tumbuhan kontroversi ini. Tidak kurang yang ingin tahu kesan penggunaannya kepada kesihatan serta potensi dari segi perubatan.

Status undang-undang ketum di rantau ini berbeza-beza. Di Thailand, ketum disenaraikan di bawah Akta Narkotik Thailand, di mana membeli, menjual dan memiliki ketum boleh dihukum serupa dengan hukuman dadah lain.  Di Indonesia pula, ketum boleh ditanam dan dieksport pada skala yang besar, juga boleh diproses menjadi produk. Di Malaysia, bermula pada tahun 2003, ketum disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Penjualan daun atau minuman ketum boleh didenda dan dipenjarakan.

Artikel ini hanya membincangkan perihal ketum berdasarkan rujukan kepada kertas-kertas kajian yang diterbitkan di dalam journal saintifik sahaja. Saya tidak melakukan sebarang temu bual, analisis sosial atau kajian makmal. Saya juga tidak merujuk kepada sebarang laman web yang tidak berwasit.

Sejak lebih seratus tahun lalu, pokok ketum digunakan untuk pelbagai kegunaan ubatan, air rebusannya diminum untuk merawat demam dan malaria, juga dijadikan mandian untuk merawat penyakit kulit. Ada banyak dakwaan perubatan dari pokok ini termasuk mengurangkan sakit, merawat luka dan kecederaan, bengkak, sakit otot, terseliuh, patah tulang dan sebagainya.

Daun ketum boleh dikunyah segar, direbus, dikeringkan dan dijadikan serbuk teh serta dihisap seperti rokok.

Kini, ketum masih digunakan sebagai tonik untuk memberi tenaga kepada pekerja-pekerja yang melakukan kerja berat. Meminum air rebusan ketum membolehkan mereka menahan kepenatan bekerja di bawah panas terik. Terdapat juga pengguna yang menggantikan dadah lain dengan ketum. Ada juga dakwaan bahawa ketum boleh mengubati ketagihan dadah jenis candu.

Tidak ada bukti yang kukuh untuk mengatakan ketum boleh mengubati ketagihan terhadap dadah lain. Terdapat laporan pada tahun 1897 bahawa orang Perak menggunakan ketum sebagai pengganti kepada dadah jenis candu. Tidak dinyatakan sama ada ia telah mengubati ketagihan tersebut.

Laporan ini kemudian dipetik di dalam penerbitan lain (1907) mengatakan bahawa ketum digunakan untuk mengubati ketagihan candu. Ternyata tafsiran daripada petikan ini adalah tidak tepat.

Pada tahun 1930, Burkill yang memanggil ketum sebagai “Malay Village Medicine” merujuk ketum sebagai ‘a remedy apparently worse than the disease’. ‘Disease’ di sini merujuk kepada ketagihan candu. Tidak dinyatakan di dalam laporan ini apakah kesan buruk yang dimaksudkan itu.

Disebabkan kekangan undang-undang, tidak banyak kajian telah dibuat ke atas pokok ini. Tumbuhan ini kemudiannya seolah-olah dilupakan, sehinggalah sekitar 10-15 tahun kebelakangan ini yang menyaksikan peningkatan kajian dan penerbitan tentang ketum.

Oleh kerana kajian terhadap ketum adalah terhad, kebaikan dan risiko akibat penggunaannya tidak dapat dijelaskan dengan terperinci. Kajian tentang faedah dan risiko ini perlu diperincikan dan didalami supaya satu regulasi khusus boleh dibuat terhadap penggunaan ketum bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pengguna.

Kesan-kesan analgesic (mengurangkan rasa sakit) dan psiko aktif (mengubah persepsi mental) oleh ketum disebabkan oleh komponen kimia mitragynine dan 7-hydroxymitragynine. Bahan kimia ini bertindak ke atas reseptor opiat di dalam otak kita. Opiat ialah dadah jenis candu; heroin, morfin dan kodein. Disebabkan tindakannya ke atas reseptor yang sama, kesannya juga serupa dengan kesan pengambilan dadah jenis opiat.

Mitragynine mempunyai ciri yang istimewa. Jika diambil dalam kuantiti kecil, ia akan bersifat seperti stimulan; memberi perangsang dan meningkatkan kepekaan. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak ia akan bersifat sedatif; merasa letih, penat dan berkeinginan untuk tidur.

Stimulan bertindak meningkatkan degupan jantung, tekanan darah dan mengurangkan keinginan terhadap makanan dan tidur. Ia juga menyingkirkan rasa letih dan membolehkan pengguna bekerja tanpa merasa penat.

Sedatif pula bertindak mengurangkan kepekaan, memberi rasa tenang, menghilangkan kesedaran terhadap rasa sakit, melambatkan pergerakan otot, termasuk mengurangkan pergerakan usus besar. Oleh sebab itu, secara tradisional, ia digunakan untuk merawat cirit-birit.

Beberapa kajian yang melibatkan temu bual dengan pengguna ketum melaporkan pada dos rendah, pengguna merasa lebih bertenaga, berupaya menahan kepenatan, kurang resah, mood yang baik dan lebih fokus. Penggunaan pada dos dan kekerapan yang tinggi memberikan kesan khayal, sedatif, halusinasi dan euphoria.

Terdapat juga kes-kes terpencil di mana pengguna mengalami kecelaruan mental, menjadi agresif dan melakukan keganasan serta mengalami kemurungan. Namun, kebanyakan mereka mengambil ketum dengan kombinasi dadah lain.

Selain kesan psiko aktif, terdapat juga kesan ketoksikan, di mana pengguna mengalami sawan, kesukaran bernafas, kerosakan hati dan ada yang membawa maut. Penggunaan kronik juga boleh menyebabkan pesakit tidak memberi tindak balas terhadap rawatan perubatan.

Pengambilan berpanjangan, selain menyebabkan hilang selera makan, sembelit dan dehidrasi, boleh memberi kesan kepada kesihatan mental, menyebabkan kecelaruan, menjejaskan fungsi kognitif dan mengakibatkan ketagihan.

Ketum mempunyai kesan toleran yang agak tinggi. Ini bermakna kesan yang dialami oleh pengguna berkurang dalam satu jangka masa tertentu dan akhirnya tidak lagi memberi kesan yang diingini. Ini mengakibatkan pengguna sentiasa meningkatkan dos yang diambil di samping menambahkan kekerapan pengambilan, untuk terus merasai kesannya.

Ada juga pengguna dan penjual mencampurkan bahan lain seperti paracetamol dan ubat batuk (sebagai contoh) untuk menghasilkan dan meningkatkan kesan yang diingini. Tabiat mencampur-palsu (adulteration) ini amat berbahaya. Di Sweden, 7 kematian dilaporkan akibat konsumsi produk ‘herba’ yang mengandungi campuran ketum dan desmethyltramadol, sejenis dadah dari kumpulan opiat.

Oleh kerana pengambilan ketum yang kronik mengakibatkan ketagihan, memberhentikan penggunaannya boleh mendatangkan kesan ‘withdrawal’. Di antara kesan withdrawal yang biasa dialami termasuklah keresahan, depresi, kepenatan melampau, kekejangan otot, insomnia, menggigil, berpeluh, diarrhea dan muntah, serta hidung dan mata berair. Penagih juga boleh menjadi agresif dan hilang kawalan. Terdapat juga kes peningkatan keinginan untuk membunuh diri.

Persoalan yang seringkali ditimbulkan adalah sama ada ketum mempunyai nilai perubatan.

Nilai perubatan yang sering disebut-sebut adalah untuk merawat ketagihan dadah jenis opiat/candu. Tidak ada kajian sistematik ke atas manusia mahupun tikus yang menunjukkan ketum boleh mengubati ketagihan dadah opiat. Terdapat kes di Jerman, di mana produk ketum dalam bentuk kapsul herba digunakan untuk merawat ketagihan heroin, namun akhirnya pengguna mengalami ketagihan ketum pula.

Walaupun belum ada banyak kajian ke atas manusia, berdasarkan kajian preliminari terhadap bahan kimia di dalam daun ketum, kajian terhadap tikus, anak ikan zebra, dan kajian analisis sosial, ketum mempunyai ciri-ciri tumbuhan yang mempunyai potensi untuk dimajukan di dalam bidang perubatan.

Bercakap tentang nilai perubatan sesuatu tumbuhan, bukanlah bermakna daun, batang, ranting atau akar tumbuhan tersebut boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk mengubati sebarang jenis penyakit. Terdapat banyak jenis bahan kimia di dalam tumbuhan. Setiap satunya mempunyai karakter tersendiri dan kesan yang berbeza terhadap tubuh kita. Ada bahan kimia yang membunuh sel, ada yang merencatkan penyerapan ke saluran darah, ada yang meninggikan tekanan darah, menurunkan kandungan gula, ada juga yang tidak berbuat apa-apa tetapi gagal dikumuhkan oleh badan kita dan lain-lain. Bayangkan jika kita memakan kesemua campuran bahan-bahan ini, tidakkah tubuh kita mengalami kecelaruan untuk bertindak balas?

Untuk membangunkan ubat-ubatan di zaman moden ini, bahan kimia tersebut perlu dipencilkan dan setiap satunya perlu diuji dengan banyak ujian sebelum diluluskan untuk dijadikan ubat. Bahan yang berbahaya, dan memberi kesan negatif akan dikeluarkan dari sampel. Bahan yang menunjukkan aktiviti biologi yang positif pula perlu diuji sama ada bersifat toksik atau berinteraksi dengan ubat lain dan sebagainya. Perlu juga diuji sama ada tubuh kita boleh mengumuhkan bahan tersebut dalam jangka masa tertentu. Kita tidak mahu bahan kimia ini berkumpul di dalam organ hati, buah pinggang atau paru-paru kita.

Ubatan ini juga perlu dibangunkan bersesuaian dengan jenis penyakit dan ianya amat spesifik. Ubat demam hanya untuk demam sahaja. Begitu juga ubat selesema, kencing manis, kanser, jangkitan dan sebagainya. Untuk jangkitan sahaja perlu ubat khas, sama ada jangkitan bakteria atau virus. Tidak ada istilah satu ubat yang boleh menyembuhkan bermacam penyakit.

Persoalan yang paling penting sebenarnya adalah “adakah ia lebih bermanfaat dari mudaratnya?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *