Oleh: adiHJ

Anas ialah seorang aktivis yang radikal. Resumenya sarat dengan kegiatan aktivisme yang melayakkan dia bekerja di syarikat aktivis bertaraf antarabangsa (kalau ada). Tapi, semakin banyak kegiatan aktivis yang dia ceburi, semakin dia menjadi selektif. Contohnya, kalau ada remaja buat demo pasal kenaikan harga minyak, dia tidak akan ikut. Tapi, kalau ada remaja yang demo pasal korupsi menteri itu atau ini, dia akan ikut. Begitulah.

Satu hari, dia terbaca tentang rampasan tanah kampung oleh syarikat pemaju yang korup. Tapi, orang kampung tidak menentang secara serius. Anas mahu turun demo. Baginya, ini menepati profilnya. Jadi dia kumpulkan rakan-rakan, sebanyak mana yang boleh, untuk turun demo dan buat provokasi.

Setibanya mereka di sana, keadaan sudah tegang. Rupanya sudah ada pihak aktivis lain yang buat demo. Tapi, bagi Anas, mereka ni masih mentah. Ya lah, hanya jerit-jerit angkat kad saja. Itu Anas sudah buat 10 tahun yang lalu.

Jadi Anas kumpulkan mereka semua, termasuk sejumlah penduduk kampung yang berminat. Dia terangkan secara menyeluruh dan teliti kepada mereka tentang gerak kerja yang efektif dan berkesan. Dan ternyata, wajah kumpulan aktivis mentah tadi menjadi tergamam dengan kehebatan Anas. Barulah dia tahu, rupanya mereka ini baru tahun 1 universiti. Baru mahu berjinak-jinak dalam dunia aktivisme. Mentah.

Esok mereka akan buat demo besar-besaran. Hari ini tidak boleh kata Anas, kena bina momentum terlebih dahulu. Dia suruh mereka semua pulang dan buat ulang kaji. Begitu juga dengan orang kampung, kena kumpul ahli, buat ramai, baru seronok. Menurut Anas lagi, esok, demo ini akan buat pemaju terus berhenti dan berambus dari kampung ini. Begitulah.

Tapi, esoknya Anas tidak muncul. Semua penduduk kampung sudah bersedia dengan semangat berkobar-kobar. Mahasiswa yang kelmarinnya mentah itu sudah datang dengan persediaan yang rapi termasuk rakan-rakan Anas. Semua ahli demo sudah bersedia untuk mati. Tapi, Anas di mana?

Kelmarin, sebelum bersurai, Anas ditegur oleh seorang mahasiswa cantik. Mereka berbual-bual dan entah bagaimana perbualan itu membuatkan mereka berdua kini (sewaktu demo akan berlangsung) berada di lapangan terbang untuk ke Bandung. Anas sudah lupa segalanya-galanya tentang perjuangan. Bila rakan Anas telefon, dia tidak endah dan balas di chat kumpulan whatsapp aktivis mereka, “perjuangan cinta itu jauh lebih hebat dan layak diperjuangkan” sebelum keluar dari group tersebut.

Tanpa Anas ketahui, sebenarnya mahasiswa cantik itu diupah oleh pemaju untuk memperdayakan Anas. Mengikut rancangan, sampai Bandung, mahasiswa cantik itu akan lari bersama dompet dan segala dokumen pengenalan diri Anas juga tiket pulang ke Malaysia. Itu menurut rancangan, tapi, semalam selepas Anas membacakan puisi cinta Soe Hok Gie, dia sudah jatuh hati dengan Anas.

 

2 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *