Oleh: Syed Ahmad Fathi
Apakah yang dimaksudkan dengan Dialektik Materialisma? Merupakan soalan yang pernah saya tertanya-tanya dahulu. Apabila mula membaca, terutamanya penulisan yang condong dengan ‘ideologi kiri’, perkataan ini sering muncul, namun tidak begitu jelas maksudnya. Carian saya di Wikipedia ketika itu tidak betul-betul dapat menenangkan hati tentang persoalan maksud istilah itu. Baru-baru ini ada seorang sahabat yang bertanya soalan yang sama, saya kira masih ramai orang yang tertanya-tanya akan persoalan ini, jadi elok kiranya saya tulis sedikit untuk manfaat bersama.
Sebagai disclaimer awal, saya bukanlah pakar falsafah, jadi maksud yang saya bawakan mungkin tidak betul-betul tepat seperti dalam lingkungan akademik – tetapi saya alu-alukan mereka yang bergelumang dalam dunia akademik untuk mengkritik tulisan ini jika ada kesalahan. Sebaliknya tulisan saya ini merupakan kefahaman saya sebagai orang awam kepada orang awam. Jadi bahasanya dipermudah. Juga mungkin ada yang akan menyangkal bahawa konsep dialektik ini lebih tua dari Hegel, namun perkara itu adalah diluar skop penulisan saya kali ini.
Dialektik Materialisma yang merupakan gagasan pemikiran Karl Marx berasal dari konsep dialektik cikgu kepada Marx iaitu Friedrich Hegel, banyak pemikiran-pemikiran Marx dipengaruhi Hegel sehingga Marx juga digelar sebagai Young Hegelian. Jadi kita akan mulakan pencarian maksud kita dari Hegel, sebelum kita pergi kepada Marx.
Jika kita bertanya mereka yang mengkaji falsafah dan meminta cadangan pembacaan tulisan pemikiran Hegel, kita akan dinasihatkan untuk membaca ‘tafsiran’ penulisan Hegel dari membaca tulisan asal. Ini kerana karya Hegel sangat sukar dibaca dan lebih mudah difahami dengan membaca buku sekunder yang membincangkan falsafah beliau. Antara penafsir yang selalu dicadangkan adalah Alexandre Kojeve dalam naskahnya yang berjudul Introduction to the Reading of Hegel. Untuk penulisan kali ini saya merujuk kepada naskah The Meaning of Marxism tulisan Paul D’Amato yang merupakan editor International Socialist Review, tulisan beliau merupakan tafsiran dan syarahan kepada pemikiran Marx. Bagi yang memiliki naskah ini yang diterbitkan oleh Haymarket Books, mereka boleh merujuk helaian 28 hingga 33.
Dalam bahasa yang mudah dialektik adalah metodologi pemikiran untuk memahami perubahan yang berlaku pada alam, masyarakat, dan idea. Dialektik Hegel menyatakan idea dan konsep tidak statik, tetapi berubah kepada bentuk yang baru yang lebih sempurna dengan wujudnya ‘percanggahan’ dalam konsep tersebut. Sebagai contoh, masyarakat yang mengamalkan perhambaan, apabila timbul idea ‘semua manusia adalah sama’ ini merupakan ‘percanggahan’ yang akan melahirkan perubahan dalam masyarakat tersebut dan melahirkan bentuk masyarakat baru.
Dalam Dialektik Hegel, perubahan yang berlaku tidak bermaksud sesuatu yang baru itu wujud secara independent dari perubahan sebelumnya, sebaliknya ia adalah ‘benda’ yang sama dalam bentuk baru yang berbeza. Hegel menggunakan contoh dari alam dalam perbahasan dialektiknya, beliau memberi contoh tentang tunas kecil yang muncul dari sebuah pohon. Tunas tersebut kemudian berkembang mekar menjadi sekuntum bunga, kemudian berubah menjadi sebiji buah. Kita boleh katakan tunas tersebut adalah manifestasi produk yang salah dari tumbuhan tersebut, buah tersebut kini merupakan manifestasi produk sebenar dari tumbuhan tersebut. Tunas dan buah, masing-masing mempunyai bentuk, warna, rasa yang berlainan, mereka adalah ‘objek’ yang tidak sama, tetapi mereka merupakan organik yang sama, bukan sahaja mereka tidak berkonflik antara satu sama lain, tetapi perubahan akhir bergantung kepada bentuk permulaan, atau dalam kata lain mereka mempunyai pergantungan antara satu sama lain. Analogi ini boleh kita putar lebih belakang, biji benih yang menumbuhkan pohon adalah dua ‘objek’ yang sangat berbeza, tetapi mereka adalah tumbuhan yang sama.
Jadi menurut falsafah Dialektik Hegel, satu bentuk melahirkan bentuk baru dalam proses perubahan, proses perubahan ini terhasil kerana adanya ‘percanggahan’, tetapi dalam proses perubahan ini, bentuk baharu bergantung pada bentuk yang lama. Dalam erti kata lain bentuk baru tidak boleh terhasil jika tiada bentuk awalnya. Dari idea Dialektik Hegel ini, Marx membina idea Dialektik Materialisma-nya. Kita boleh bahaskan dengan panjang lagi Dialektik Hegel, tapi saya kira cukup setakat ini, kerana penulisan ini tidak berhasrat untuk diberatkan, dari sini kita boleh membahaskan pula apa yang ditambah Karl Marx keatas Dialektik Hegel untuk membentuk idea Dialektik Materialisma.
Marx mengaplikasikan idea Dialektik Hegel dalam sejarah perubahan masyarakat manusia dengan menggunakan kondisi material (bukan perkara yang bersifat meta-fizik dan abstrak). Bagi Marx, perubahan masyarakat manusia bersifat dialektik, satu berntuk organisasi masyarakat akan sentiasa berubah dan tidak statik dengan kelahiran ‘percanggahan-percanggahan’ yang material. Bagi Marx, pengeluaran produk dan perkara yang material merupakan asas kepada kehidupan sosial, sebagai contoh manusia tidak boleh hidup tanpa makanan, makanan adalah perkara yang material bukan abstrak, jadi bagi Marx intipati sejarah adalah dari perkara yang material.
Marx melihat masyarakat yang mengamalkan sistem kapitalis berjaya menghasilkan produk material yang banyak (surplus). Kemajuan teknologi dan industri membantu manusia menghasilkan keperluan hidup yang mencukupi jika diagihkan dengan saksama antara mereka. Namun dalam bentuk masyarakat ini ada ‘percanggahan’, walaupun surplus material ini cukup bagi semua ahli masyarakat, ia terkumpul di tangan kelas pemodal yang memiliki asset dan kilang yang mengeluarkan produk, sementara kelas pekerja yang menggerakkan industri penghasilan ini hidup dalam keadaan yang miskin dan tertindas. Dari ‘percanggahan’ ini Marx menyatakan perlunya penghapusan pemilikan harta, di mana hasil yang dihasilkan dikongsikan dengan adil dan saksama. Menurut Dialektik Materialisma Marx, penghasilan surplus dari masyarakat kapitalis membolehkan perubahan berlaku menuju kepada masyarakat sosialis, kerana kondisi material telah tercapai dengan penghasilan surplus dan kekayaan yang mencukupi untuk diagihkan.
Namun idea Marx tentang penghapusan pemilikan harta ini melahirkan ‘percanggahan’ baru, ia bercanggah dengan idea liberalisma yang menyatakan pemilikan harta merupakan hak asasi manusia. Tetapi saya rasa saya perlu berhenti disini kerana penulisan ini hanya berhajat untuk berbincang berkenaan dengan idea Dialektik Materialisma Marx, dan saya tujukan tulisan ini untuk pembaca yang ingin memahami subjek ini tanpa membaca penulisan yang berat. ‘Percanggahan’ baru ini adalah proses dialektik yang akan terus berjalan seiring berjalannya sejarah, tetapi biarlah ia dibahaskan di kesempatan yang lain.