Oleh: Nurhuda Manshoor
Apabila bercakap tentang kitar semula, ia kedengaran sungguh mulia seolah-olahnya kita sedang menyelamatkan dunia dari malapetaka besar dan akan mewariskan bumi yang selamat untuk didiami anak cucu sehingga berketurunan-keturunan lamanya. Campakkan sahaja tin minuman dan kertas pembungkus makanan ke dalam tong berbeza yang berlabelkan anak panah berbentuk tiga segi, hati rasa berbunga kerana telah berbuat jasa untuk dunia yang lebih sihat dan alam yang lebih hijau.
Benar, menggunakan semula bahan lama adalah cara yang baik untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar – jika dan hanya jika ia berfungsi sepertimana teori yang dirumuskan. Kerapkali, teori yang sempurna pun tidak semestinya praktikal untuk diamalkan. Apabila sesuatu produk dihasilkan, ia akan berputar dan berkitar di dalam persekitaran dan tidak akan lenyap sampai bila-bila. Ia boleh dipindahkan, diubahsuai, dikitar semula, dibuang, ditanam, dihanyutkan dan sebagainya tetapi ia tetap wujud di atas bumi.
Setiap kali sesuatu barangan diubahsuai atau dikitar semula, kualiti dan kegunaannya semakin berkurang. Semakin banyak kitaran, semakin kurang nilai barangan tersebut. Kilang-kilang yang mengitar semula bahan buangan pula menghasilkan sisa industri yang boleh memudaratkan persekitaran. Semakin banyak kitaran, semakin banyak sisa industri dihasilkan sedangkan nilai barangan tersebut tidak bertambah, malah semakin merosot.
Kontaminasi bahan cemar adalah di antara masalah dalam industri kitar semula. Sekiranya terdapat bahan cemar di dalam produk asal, apabila dikitar semula, bahan ini akan turut berada di dalam produk yang baru. Kalaupun bahan tersebut tidak berbahaya jika berada pada produk asal, tetapi apabila dikitar semula dan terhasilnya produk baru, sifat kimia bahan tersebut boleh berubah menjadi lebih berbahaya. Kegunaan produk baru juga berubah dan bahan cemar tersebut kini boleh jadi berbahaya kepada pengguna.
Contohnya, jika ada logam berat di dalam pigmen yang mewarnai bahagian luar tin aluminium, ia tidak berbahaya kerana tidak bersentuhan dengan minuman. Apabila dikitar semula, pigmen ini bersepadu dengan bahan utama dan jika hasilnya adalah kerajang aluminium yang digunakan untuk memasak makanan pada suhu tinggi, ia boleh menjadi berbahaya.
Kerapkali, kesan buruknya tidak dijangka dan apabila diketahui, ia telah terlalu lambat. Beratus-ratus kompleks bangunan sekolah dan pangsapuri di Taiwan didapati terdedah kepada radiasi sinar gamma-ɣ. Radiasi ini dihasilkan oleh bahan radioaktif kobalt-60 yang terdapat dalam cerucuk keluli yang dikitar semula. Bangunan ini telah dibina sekitar tahun 1982-83 dan radiasi ini hanya disedari pada tahun 1992. Bahan binaan yang tercemar telah digunakan dengan meluas dan telah menghasilkan pendedahan radiasi tinggi kepada orang ramai.
Terdapat juga bahan kontaminasi yang tidak dipindahkan kepada produk baru hasil kitar semula. Tidak semestinya praktik ini lebih selamat. Apabila kertas dikitar semula, ia perlu dibasuh untuk membersihkannya dari dakwat, pewarna, pelekat dan sebagainya. Kemudian barulah diproses untuk penghasilan lembaran kertas yang baru. Proses pembersihan ini menghasilkan sisa seperti gentian kertas, dakwat, pewarna, detergen dan peluntur. Sisa pepejal akan dibakar, membebaskan gas toksik ke udara, manakala sisa cecair akan dialirkan ke sungai-sungai mencemari sumber air kita.
Bahan buangan dari plastik pula sangat rumit untuk diuruskan. Tidak banyak plastik yang dihasilkan boleh dikitar semula. Kos untuk kitar semula plastik biasanya lebih tinggi dari nilai produk yang dihasilkan. Akibatnya, plastik yang boleh dikitar semula pun akan turut dibuang sebagai sampah.
Apabila menggunakan produk plastik, kita biasa melihat label segitiga anak panah dengan nombor kod 1-7 di dalamnya. Label ini bukan menunjukkan produk plastik tersebut boleh dikitar semula. Nombor pada label itu adalah kod identiti kepada plastik atau resin yang digunakan dalam produk tersebut. Ia memberitahu samada produk tersebut boleh/tidak dikitar semula dan memberi panduan bagaimana untuk mengasingkannya sebelum dihantar ke pusat kitar semula.
Sebagai panduan, hanya produk bernombor kod 1, 2, 4 dan 5 sahaja yang boleh dikitar semula. Apabila membeli produk plastik, sila periksa nombor kod pada label agar kita tahu status kitar semula barangan tersebut.
Minyak juga boleh dikitar dan diguna semula. Kini terdapat fasiliti kecil-kecilan yang memproses minyak masak terpakai untuk digunakan semula. Produk seperti sabun, lilin dan kosmetik ‘home-made’ boleh dihasilkan dari minyak ini. Dengan harga barangan yang meningkat, masuk akal juga untuk cuba mengitar semula minyak menjadi sesuatu yang berguna. Begitupun, kerapkali proses ini menghasilkan sisa bahan kimia yang lebih toksik.
Proses yang selalu digunakan untuk memproses semula minyak ialah rawatan ‘acid-clay’. Dalam proses ini, minyak ditapis dan dipanaskan untuk mengeluarkan air dan bahan organik teruap; VOC – volatile organic compounds. Pemanasan ini membebaskan nitrik oksida dan sulfur dioksida ke udara. Apabila hujan, bahan ini bergabung dengan air menghasilkan asid nitrik dan asid sulfurik, menyebabkan fenomena hujan asid. Minyak ini kemudiannya dicampurkan dengan asid pekat untuk mengeluarkan garam logam, bahan aromatik, asphalt dan kekotoran lain. Bahan-bahan ini menjadi sisa toksik yang mencemarkan tanah dan air.
Bukan sahaja proses kitar semula itu sendiri menghasilkan pencemaran, malah aktiviti sampingan yang terlibat dengan industri kitar semula juga tidak mesra alam. Disebabkan perbezaan jenis bahan buangan, proses kitar semula juga berbeza dan selalunya memerlukan fasiliti yang khas. Bahan buangan tidak boleh bercampur, pengangkutan memerlukan trak yang berbeza. Bukan sahaja amalan ini meningkatkan kos, tetapi juga meninggalkan jejak karbon –carbon footprint– yang tinggi.
Bermula dari pengumpulan bahan buangan, banyak sekali trak-trak yang besar digunakan. Trak ini menggunakan bahan api fosil yang tidak mesra alam dan membebaskan gas dari ekzos. Mesin-mesin di kilang juga menggunakan banyak tenaga selain membebaskan sisa industri. Proses mengitar semula kertas adalah rumit dan memerlukan bekalan air yang banyak. Penghasilan produk baru dari bahan kitar semula pula memerlukan pembungkusan dan ini akan menghasilkan lebih banyak lagi sampah. Selain itu pembuatan dan pengeluaran produk baru juga menghasilkan sisa industri.
Kita lihat di sini bagaimana amalan mengitar semula itu tidaklah begitu ‘hijau’ sepertimana yang kita percayai, malah boleh juga menghasilkan bahan cemar kepada alam sekitar. Namun begitu, artikel ini bukan untuk menyarankan agar kita berhenti mengitar semula bahan buangan kita. Ideanya ialah untuk mempertimbangkan semula amalan ini dari sudut pandang yang lain pula. Oleh kerana percayakan bahawa kitar semula boleh menyelamatkan alam sekitar, maka kita tanpa rasa bersalah bermewah-mewah menggunakan produk yang dikatakan boleh dikitar semula. Melihat kepada mudarat yang juga boleh didatangkan oleh amalan ini, eloklah kita mengurangkan atau menghentikan penggunaan barangan yang bukan keperluan agar bahan buangan kita dapat dikurangkan. Maka kuranglah barang yang perlu dikitar semula dan seterusnya mengurangkan sisa dari industri kitar semula.
Kita terpaksa juga recycle. Kerana kalau kita tidak recycle, Wall-E ialah situasi terbaik kita di masa hadapan. Kalau paling teruk, Idiocracy.
Sepatutnya masalah-masalah yang kamu momokkan itu menjadi cabaran bagi industri pengitaran semula untuk atasi. Ada sahaja mikrob-mikrob yang sudi menghadam dakwat, detergen, logam berat, serta gas-gas karbon dioksida, sulfur dioksida, dan nitrus oksida.
Kita hanya perlu sediakan kolam untuk mereka duduk dengan aman sentosa.