Oleh: Ziham Zawawi Mazlan
Bermusim pun yang berlalu, angin dingin, kau tetap ku rindukan. Dua tiga hari lagi atau mungkin sepekan lagi, angin dingin pasti terngiang – ngiang di kulitku. Aku kira itu sudah pasti akan dapat dilupakan dalam sebulan dua. Namun, itu hanya kemungkinan. Yang belum jelas. Kabur. Dibatasi bayangan realiti.
Bahagia, penyesalan, kedewasaan, sahabat dan rindu, aku telan perlahan-perlahan ditemani angin dingin di Sebatu. Penyeksaan, penantian, ketungguan, kegembiraan dan baik hati mengiringi pengalaman ku bersama angin dingin. Jelas. Aku semat dalam ingatanku tanpa pena dan kertas. Hanya akal yang mencatat dengan pena imaginasi dan kertas halusinasi.
Sebatu sememangnya dulu dingin. Penuh hijau. Rimbun daunnya. Warna warni bunganya. Hutan dara yang penuh pokok balak. Rotan dan pakis menjadi kegunaan. Orangnya juga natural. Asli tak terusik asid pemodenan yang penuh virus kapitalis, kesombongan dan kekurangan jati diri.
Biar pun aku muncul di Sebatu lama setelah tempat ini dibogelkan oleh jentera-jentera rakus. Saban hari perbualan ku dengan Apai Saadiah, Apai Daud, Cundang, Cikgu Jeffley dan Apai Jampi membantu imaginasiku meneroka kehijauan Sebatu ketika itu. Tiada jalan motokar. Hanya denai untuk ke kampung sebelah. Menapak berjam – jam kalau mahu ke Long Lama ke sekolah menengah. Mudik ke hulu kalau bersampan ke Long Lama. Berhari – hari menapak jika mahu ke Bandar Miri. Alah bisa tegal biasa. Pun begitu, orang Sebatu tidak pernah menempek meminta jalan. Pada mereka itu sudah cukup. Bersederhana dan hidup selesa.
Kemunculan ku di sini atas arahan orang atas. Aku bukan siapa – siapa. Hanya cikgu cabuk biasa. Baru mulai mengenal hidup. Sebulan dua bulan setahun dan beberapa tahun, hampir empat tahun aku berkhidmat di sini. Angin dingin pasti ku rindukan. Amit sudah pergi. Ipang juga bakal pergi. Selain angin dingin, Amit juga aku rindukan. Ipang juga aku kasihkan.
Dari jauh, Baong dan Munai bermain lari-lari. Lariannya laju. Kadang-kadang langkah kecil kadang-kadang langkah besar. Diikuti teriak kegembiraan. Takut dicepit tapi masih lagi mahu bermain. Kalau dicepit nanti dia jadi. Dari kejauhan aku rakam suara-suara itu ditemani angin panas.
Kali ini angin panas menggila. Panas. Di bawa angin. Angin yang dulunya membawa kedinginan telah membeloti aku. Tapi seringnya sore-sore seperti ini memang angin selalu menggila. Menggila dengan panas. Kulitku langsung tidak merindukan angin panas. Pun begitu, kebencian tidak pernah diungkapkan kulitku untuk menjelaskan emosinya terhadap angin panas.
Ironi sekali, sore – sore dengan angin panas turut mengimbau kenangan terhadap penyesalan-penyesalan lampau. Seperti hidupku di dunia ini sudah berusia ratusan tahun. Banyak betul penyesalan yang dibawa angin panas. Foto-foto penyesalan satu – satu di bawa angin panas. Aku menikmati sore – sore itu. Sungguh ironi saat itu. Satu demi satu foto itu menjelaskan kedewasaan. Terungkap setiap dosa. Terpapar setiap penyelesaian. Tergambar tangan yang ditadah.
Dari jauh, suara Baong dan Munai digantikan dengan suara-suara anak lelaki. Ujai, Meriben, Gilbert, Lee dan Cakum bermain sesuatu di belakang sekolah. Ditemani angin panas, aku bergagah ke serambi belakang. Meninjau-ninjau.
Nama gaga dek?, jerkah ku.
Bertempiaran lari anak-anak lelaki itu bila ditanya apa yang dilakukan mereka. Cakap Iban ku semakin lancar. Aku gembira. Tambah satu lagi bahasa pertuturanku. Bagi ku, inilah aset yang boleh aku gunakan dalam mendepani kedewasaan.
Angin panas bertiup lagi. Bayu nya panas. Seakan menggigit setiap inci kulit ku yang terdedah. Angin bertiup kencang sekali. Kali ini, pohon-pohon di sekelilingku menari-nari. Ke kiri dan kanan, menurut irama alam. Angin kali ini bertukar bayu. Dingin sekali menyelimuti kulit-kulit ku yang terdedah. Angin panas sudah pergi. Jauh dia berlari di hambat mendung kelabu. Angin dingin kini kembali.
Dua tiga hari lagi atau mungkin sepekan lagi, angin dingin pasti terngiang-ngiang di kulitku. Sore itu angin dingin muncul dengan tak semena-mena. Ditemani mendung kelabu. Aku rindu.
Hujan pun turun. Dimulai dengan rintik-rintik halus. Seakan bertempo, sela rintikannya bertambah. Jedanya semakin berkurang. Makin lebat. Sebatu basah. Rumah ku di atas bukit. Di serambi, aku menyaksikan segala-galanya. Kali ini petir dan guntur tidak ikut serta. Mungkin petir dan guntur melaksanakan tugas di tempat lain.
Aku terdiam. Suara hatiku dikalahkan dengan bunyi hujan yang berlumba-lumba mencurah keatap rumah ku yang di atas bukit itu. Aku menyaksikan itu. Tiga ratus enam puluh darjah. Aku lihat segalanya.
Angin dingin setia menemaniku. Menemaniku menyaksikan segala-galanya. Sememangnya keadaan seperti ini yang paling aku nanti-nantikan di Sebatu. Pun begitu aku perlu pergi. Bukan nanti. Tapi sekarang. Secepat yang mungkin. Terkesan aku dengan Sebatu. Amat mendalam emosi yang ditoreh angin dingin Sebatu. Kesannya akan ku biar. Biar jadi cenderahati ke tempat baru.
Kelana aku ke Sebatu membawa poket kosong. Tidak berisi. Polos dengan udara. Kini poket itu sudah penuh. Penuh isi duka lara cerita gembira dan pengalaman yang tak sudah – sudah meronta-ronta minta digamit kembali. Aku terkesan dengan Sebatu. Begitu juga kisah-kisah pengembaraan Cikgu Hafizi, Cikgu Yuslizan, Cikgu Jacinta, Cikgu Raphael dan Cikgu Theresa. Apalah kiranya jika hendak dibandingkan pengalaman ku di Sebatu dengan pengalaman-pengalaman mereka. Angin dingin juga pasti pernah menemai sore-sore mereka. Angin panas pasti pernah mencabuli keharmonian sore mereka.
Selamat tinggal Sebatu. Selamat tinggal angin dingin.