Oleh: Sabir Syarifuddin

Pada 14hb Februari 2019, telah diadakan satu pelancaran buku-bu­ku Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan yang menampilkan banyak buku-buku ilmiah. Buku-buku ini lahir daripada pengkaji dan penulis yang hebat, dan memuatkan budaya, sejarah, kesenian, kajian akademik beridentitikan Malaysia iaitu negeri Sabah amnya.

Sepanjang majlis tersebut diselitkan satu slot bicara bersama YB Datuk Dr Yusuf bin Yacob iaitu Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Sabah dengan mengetengahkan tajuk yang agak menarik dan kontroversi iaitu Perkembangan Pendidikan dan Inovasi di Sabah dalam konteks ‘Malaysia Baharu’.

Wow! Sebut sahaja Malaysia Baharu, aku mulai terkenang akan sebuah ukiran janji soal pendidikan ini kepada rakyat Malaysia sebelum kerajaan zalim bertukar.

Beliau banyak menekankan beberapa perkara tentang ilmu secara umum. Selain mengetengahkan saranan membawa beberapa mahasiswa kesenian melakukan persembahan berbayar termasuk di daerah Sipitang, tempat kelahiran beliau. Lebih mengujakan beliau membina satu harapan besar untuk mewujudkan satu bajet untuk pelajar-pelajar kesenian, di samping mengetengahkan bakat-bakat mereka yang sedia dipelajari di perut universiti.

Pasca pilihanraya umum, Sabah yang sebelum ini hanya mempunyai exco pendidikan digantikan dengan kementerian yang dikepalai oleh YB. Besar harapan rakyat Sabah untuk beliau dapat mengubah kedudukan dan prestasi pelajar-pelajar di Sabah tidak kira di peringkat menengah dan rendah, agar tidak lagi berada di tangga yang ke-16.

“Apakah perancangan kementerian YB dalam pendidikan percuma selaras dengan manifesto sebelum menjadi kerajaan? Manifesto ini kurang didengar dan kalau dijalankan, kita cuma mahu tahu adakah perancangan tersebut untuk 5 tahun akan datang atau 10 tahun akan datang?”

“Pendidikan percuma yang bagaimana lagi kita mahu? Kita sebelum ini sememangnya sudah melaksanakan pendidikan seperti biasiswa-biasiswa dan kursus-kursus.”

“Apakah pendapat YB tentang Sekolah Alternatif yang dilakukan dan dijalankan di luar bandar dan pedalaman Sabah?”

Apa jawab beliau?

“Kita juga sudah ada sekolah di kawasan pedalaman yang dijalankan di dalam estet.  Sekolah-sekolah ini ada potensi untuk dimasukkan dalam sekolah swasta. Dan saya kurang faham sekolah alternatif yang bagaimana maksud kamu?”

Bagi saya, YB Datuk Dr Yusuf bin Yacob yang berperanan penting dalam Pelajaran dan Inovasi di Sabah ini tidak mempunyai asas tentang permasalahan pendidikan di Sabah. Kejanggalan beliau dalam menjawab cebisan persoalan mahasiswa tidak begitu tepat dan agak menyimpang. Saya berani bercakap demikian, kerana beliau jelas tidak menjawab keseluruhan persoalan yang saya berikan dan mungkin juga persoalan rakyat di negeri Sabah.

Sepatutnya, pihak kementerian YB wajib merancang untuk pendidikan percuma yang dicanang-canangkan sejak dahulu lagi, atau jika ianya tidak dilaksanakan, bertindak seperti anak jantan untuk mengaku akan kenyataan itu. Justeru itu, saranan kepada pasukan YB juga untuk sesekali turun dan mengkaji atau membanci anak-anak yang banyak memasuki sekolah-sekolah alternatif yang diikhtiar dengan dana aktivis dan masyarakat sendiri. Bukannya membebankan mereka dengan menukarkan dan membina sekolah berkonsep swasta untuk mereka.

Akhir sekali, sedarlah, pendidikan untuk semua, dan negeri Sabah, bukan lagi anak tiri.

Sumber rujukan; https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=374850406402551&id=172269919517500

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *