Oleh: Nurhuda Manshoor
Simbol kitar semula – segitiga anak panah – yang kita lihat pada bekas dan produk plastik tidak bermakna produk itu boleh dikitar semula. Simbol ini didatangkan sekali dengan satu nombor di dalamnya. Simbol bernombor ini adalah satu kod pengenalpastian jenis bahan yang digunakan dalam pengeluaran sesuatu produk.
Untuk produk plastik, nombor di dalam segitiga ini adalah dari 1 hingga 7. Nombor ini memberi maklumat tentang jenis resin yang digunakan, maka kita akan tahu samada ia boleh dikitar semula dan/atau diguna semula.
Banyak produk berasaskan plastik yang boleh dikitar semula, malah boleh diguna semula, tetapi lebih banyak lagi yang tidak boleh dikitar semula dan tidak selamat untuk diguna semula.
Memahami tujuh kod plastik ini akan membantu memudahkan pemilihan produk berasaskan plastik, supaya kita tahu plastik mana yang selamat dan yang harus dielakkan.
Berikut adalah maklumat jenis plastik berdasarkan kod.
1 – PET (Polyethylene Terephthalate)
PET atau PETE biasanya digunakan untuk pembuatan botol minuman, pembungkus makanan dan fabrik (polyester).
Botol minuman dari PET boleh dikitar untuk menghasilkan botol minuman semula, atau serat polyester. Serat polyester digunakan untuk membuat pakaian bulu (fleece), permaidani serta isian bantal dan jaket keselamatan.
Botol minuman dan pembungkus makanan daripada PET adalah selamat untuk aplikasi tunggal, ia tidak boleh diguna semula. Pendedahan kepada suhu tinggi dan kesan tercalar boleh menyebabkan kebocoran (leaching) bahan kimia ke dalam minuman/makanan. Calaran halus pada permukaan plastik boleh menjadi tempat pembiakan bakteria.
Untuk mengurangkan penggunaan PET, pertimbangkan untuk bertukar kepada bekas minuman dan makanan boleh diguna semula.
2 – HDPE (High-Density Polyethylene)
HDPE sangat keras dan tidak rosak di bawah pendedahan kepada cahaya matahari atau pemanasan dan pembekuan yang ekstrem. Oleh itu HDPE digunakan untuk membuat meja berkelah, tong sampah, bangku taman, paip, barang mainan dan produk yang memerlukan ketahanan dan rintangan cuaca.
Dalam kegunaan harian, HDPE digunakan untuk bekas kosmetik seperti shampu, buih mandian, sabun cecair serta botol detergen, peluntur dan minyak pelincir.
Plastik jenis ini paling biasa dikitar semula kerana keberkesanan kos dan proses penghasilan produk sekunder adalah lebih mudah. Ia juga dianggap sebagai salah satu produk plastik paling selamat untuk digunakan. Produk yang diperbuat daripada HDPE boleh dikitar semula dan juga boleh diguna semula.
3 – PVC (Polyvinyl Chloride)
PVC adalah plastik lembut dan fleksibel, digunakan sebagai pembalut makanan (cling wrap), dan pembalut gelembung (bubble wrap) untuk pembungkusan produk. Ia juga digunakan pada kabel komputer, paip plastik dan hos taman, kerana PVC agak tahan terhadap cahaya matahari dan cuaca.
PVC mengandungi banyak toksin yang boleh meruap sepanjang kitaran hidupnya. Oleh itu produk ini tidak boleh dikitar semula.
Untuk mengelakkan barangan yang dibuat dengan plastik PVC, pertimbangkan untuk menggantikan cling wrap dengan bekas plastik boleh digunakan semula atau bekas kaca. Gantikan hos taman PVC dengan hos HDPE.
4 – LDPE (Low-Density Polyethylene)
Beg plastik yang digunakan untuk pembelian runcit dibuat menggunakan LDPE. Kebanyakan pembungkusan makanan seperti sayur, roti dan beberapa jenis botol minuman juga menggunakan produk LDPE.
Plastik inilah yang banyak terapung dilaut dan dimakan oleh penyu dan ikan lain kerana ia menyerupai obor-obor.
LDPE selamat untuk digunakan semula. Plastik ini boleh dikitar semula, tetapi biasanya pusat kitar semula tidak mengitar bahan ini. Beg plastik adalah ringan dan nipis, menjadikannya sukar untuk dikendalikan oleh mesin di fasiliti kitar semula. Plastik ini juga apabila dibuang, senang dikotori dan proses pembersihannya adalah rumit. Maka ia ditinggalkan sahaja sebagai sampah tanpa dikitar semula.
Untuk mengurangkan jumlah LDPE yang kita gunakan, kita boleh membawa beg sendiri apabila membeli barangan runcit dan makanan kering. Kita juga boleh membawa bekas makanan sendiri apabila membeli makanan bungkus.
5 – PP (Polypropylene)
Plastik PP banyak digunakan untuk menyimpan makanan agar tahan lama, kering dan segar, serta kekal berkualiti. PP digunakan sebagai lapisan plastik nipis di dalam kotak bijirin, kotak susu, beg cip kentang, bekas marjerin dan yogurt, serta lain-lain pembungkusan makanan.
Plastik daripada PP adalah kuat dan ringan, dan mempunyai kualiti rintangan haba yang sangat baik. Ia berfungsi sebagai penghalang terhadap kelembapan, gris dan bahan kimia. Ia menjadikannya baik dan selamat untuk pembungkusan makanan.
Plastik PP selamat untuk diguna semula. Ia juga boleh dikitar semula, tetapi seperti LDPE, pengendaliannya adalah sukar dan tidak banyak pusat kitar semula menerima bahan PP untuk diproses.
Untuk mengurangkan jumlah plastik yang akan kita buang sebagai sampah, pilih untuk membeli bahan yang tidak dibungkus-sedia. Juga boleh memilih bahan yang bekasnya boleh diguna semula untuk kegunaan lain.
6 – PS (Polystyrene)
Polisterin adalah murah, ringan dan mudah dibentuk untuk pelbagai kegunaan. Ia sering digunakan untuk membuat cawan minuman dan bekas makanan styrofoam, karton telur, bahan penebat di dalam beg tahan panas/sejuk, juga penampan di dalam pembungkusan produk mudah-pecah.
Polisterin tidak tahan kepada pemanasan yang tinggi. Ia boleh merembeskan bahan kimia ke dalam makanan. Apabila membeli makanan di dalam bekas polisterin, pindahkan dahulu kedalam bekas lain sekiranya ingin memanaskan di dalam ketuhar microwave.
Polisterin mudah rosak dan hanya boleh diguna sekali sahaja, juga mudah berterbangan dan bertebaran di persekitaran serta terapung di laut. Hidupan marin menelan plastik ini dan menjejaskan kesihatan mereka.
Elakkan menggunakan sebarang produk polisterin seboleh mungkin. Walaupun ada teknologi untuk mengitar semula polisterin, pasaran untuk kitar semula adalah kecil. Tidak ada fasiliti yang boleh mengitar semula polisterin di Malaysia.
7 – Other (BPA, Polycarbonate, Nylon, Fiberglass etc.)
Produk di dalam kategori ini tidak terhad, kerana semua plastik yang tidak dikategorikan di dalam kategori 1-6 jatuh ke dalam kategori ini. Jadi protokol untuk kitar semula dan penggunaan semula adalah tidak seragam.
Kebimbangan utama di dalam penggunaan plastik kategori ini adalah potensi perembesan bahan kimia ke dalam makanan. Kebanyakan polikarbonat dibuat menggunakan campuran BPA (Bisphenol A). BPA telah dikenalpasti boleh mengganggu sistem endokrin.
Sesetengah botol air polikarbonat adalah ‘non-leaching‘ untuk mengurangkan rasa dan bau plastik, namun masih ada kemungkinan BPA boleh terembes dari bekas ini, terutamanya jika digunakan untuk air panas.
Plastik berasaskan biopolimer, seperti serat tumbuhan, boleh dikompos. Produk ini boleh diguna semula dan selamat untuk makanan. Tetapi ia juga termasuk dalam kategori 7, maka tidak dapat dibezakan oleh pengguna.
Secara umum, produk di bawah kategori ini tidak boleh diguna semula. Proses mengitar semula pula adalah rumit kerana ia tidak dibuat dari bahan yang sama.
Industri plastik telah mematuhi peraturan dengan menggunakan kod yang diperlukan untuk produk pengguna, maka terpulang kepada individu untuk membaca dan memahami kod. Dengan memahami klasifikasi mudah ini, kita boleh menggunakan plastik dengan sebaik-baiknya sambil meminimumkan isu-isu kesihatan dan alam sekitar yang mungkin timbul.