Oleh: Syed Ahmad Fathi

Pada hari Selasa, 2 Julai 2019 dunia mendapat khabar gembira bahawa hakim mahkamah Itali, Alessandra Vella memutuskan untuk membebaskan seorang wanita German, Kapten Carola Rackete, yang merupakan kapten kapal Sea Watch 3. Siapakah Kapten Rackete? Kenapa beliau ditangkap? Apa yang berlaku? Apakah makna episod ini pada dunia? Mari kita sama-sama merungkainya satu persatu.

Rackete lahir pada tahun 1988 di Preetz, German dan merupakan graduan Jade University of Applied Sciences dalam bidang Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim. Beliau juga memiliki Master dari Edge Hill University dalam bidang pengurusan konservasi. Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai navigasi bagi ekspedisi saintifik ke Artik dan Antartika. Beliau juga pernah berkhidmat untuk Greenpeace sebelum menjadi kapten untuk kapal Sea Watch 3.

Kapal tersebut merupakan kapal milik sebuah NGO German Sea-Watch yang menjalankan aktiviti menyelamatkan pelarian di laut Mediterranean. Laut Mediterranean yang menghubungkan benua Afrika dan Eropah menjadi laluan utama pelarian yang melarikan diri dari bencana seperti kemarau, kemiskinan dan peperangan. Peperangan di Syria, Afghanistan, dan Libya juga menyebabkan jumlah pelarian naik secara mendadak sejak tahun 2015, yang merupakan tahun permulaan krisis pelarian di Eropah.

Walaupun Eropah dikenali sebagai juara hak asasi manusia, krisis pelarian ini menampakkan sudut hitam Eropah di mana kebanyakan negara mula beralih kepada politik ideologi kanan yang anti-imigran. Kematian kanak-kanak berumur tiga tahun, Alan Kurdi yang berketurunan Syria-Kurdish menggegarkan dunia pada September 2015, gambar anak itu mati lemas dan terdampar di tepi pantai laut Mediterranean tersebar luas, membawa malu kepada Eropah. Ia menjadi peringatan bahawa Eropah kini sudah hilang nilai kemanusiaan, perdebatan berkenaan dengan krisis kemanusiaan meletus dan NGO mula tampil membantu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan kerajaan.

Mengapa Kapten Carola Rackete ditangkap? Apa yang berlaku?

Kapal Sea Watch 3 menyelamatkan 53 migran di laut Medditeranean berdekatan perairan Libya pada 12 Jun 2019. Namun Itali telah bertindak menutup pelabuhan mereka dari kapal tersebut. Menteri dalam negeri, Matteo Salvini berkeras tidak akan membuka pelabuhan kecuali setelah negara Eropah lain setuju untuk menerima migran tersebut. Lebih dari dua minggu, kapal tersebut terpaksa bertahan di perairan.

Melihat kepada pelarian yang sudah mula lemah, pada 29 Jun, Rackete mengambil keputusan untuk mengingkari arahan pidak berkuasa Itali dan berlabuh di Lampedusa. Beliau ditangkap sebaik sahaja berlabuh, manakala pelarian diagih-agihkan ke negara Eropah yang bersetuju menerima mereka.

Penangkapan Rackete mendapat liputan luas. Rakyat Itali dan German berjaya mengumpulkan satu juta Euro bagi menampung perbelanjaan perundangan mempertahankan beliau di mahkamah. Tindakan ini juga dikutuk oleh pelbagai pihak, Kesatuan Konfederasi Buruh Eropah mengeluarkan kenyataan bahawa “menyelamatkan manusia di laut adalah obligasi moral dan legal, dan mereka yang melaksanakannya perlu dihargai bukan ditangkap”. Menteri luar German, Heiko Maas mengeluarkan kenyataan bahawa “menyelamatkan nyawa adalah tugas kemanusiaan”.

Apakah makna episod ini pada dunia?

Krisis kemanusiaan Eropah ini membawa banyak makna pada dunia. Peperangan di Libya merupakan hasil kerja barat dan sekutunya. Walaupun Gaddafi boleh dikatakan sebagai diktator, pengeboman dan pembunuhan Gaddafi membawa krisis kemanusiaan berpanjangan di Libya. Perang saudara tercetus dan rakyat terpaksa menjadi pelarian untuk melindungi nyawa mereka. Setelah sekian lama Eropah mengambil keuntungan dengan membekalkan senjata kepada pihak yang berperang, hari ini mereka membayarnya dengan krisis kemanusiaan.

Krisis ini juga menguji sejauh mana kebenaran nilai kebebasan, hak asasi manusia, hak sama rata, yang dilaungkan oleh barat. Adakah mereka akan menerima pelarian yang berbeza ini, atau menerima mereka sebagai saudara sesama manusia.

Kapten Carola Rackete merupakan simbol kemanusiaan di laut Mediterranean. Di kala Eropah masih lagi keliru dengan nilai mereka sendiri, wanita berani berbangsa German ini tampil untuk mengangkat nilai kemanusiaan ke tahap praktikal yang sepatutnya. Apabila ditemu ramah selepas hakim membebaskannya, Rackete berkata, “Saya gembira dengan keputusan hakim, ia merupakan kemenangan besar kepada solidariti orang ramai yang bergerak termasuk pelarian, migran dan pencari suaka. Ia merupakan penentangan terhadap polisi yang menganggap bantuan adalah jenayah di kebanyakan negara Eropah. Saya sangat terkesan dengan solidariti kepada saya dari pelbagai pihak. Walaupun perhatian diberikan pada saya, ia adalah usaha bersama semua kru kapal, yang menyelamatkan manusia, menjaga mereka, dan membawa mereka pada keselamatan”.

Kita semua adalah Carola Rackete!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *