Oleh: Zawawi Awi
Ramai orang ingin memberi bantuan kepada orang-orang di luar negara. Tapi orang tidak sedar bahawa di tempat mereka ada orang-orang yang senasib dengan golongan yang mereka ingin bantu.
Atas dasar apa? Hak asasi manusia? Agama? Bangsa? Mahupun keturunan? Ya, tidak salah kita memberi bantuan buat golongan orang-orang yang ingin kita bantu sebab bantuan itu adalah atas titik peluh duit dan harta kita sendiri di dunia ini.
Orang berbondong-bondong untuk memberi bantuan apabila adanya kejadian yang berlaku di luar negara. Tidak perlu diletakkan contoh kerana ‘Pak Menteri’ telah banyak memaparkan contoh di media buat rakyat di negara ini. Atas dasar apa? Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan golongan menteri.
Dasar yang dilakukan oleh menteri itu menteri ini telah banyak diperbincang sebelum dewan memutuskan untuk melaksanakannya. Yang terkesan dengan dasar yang membebankan terutama dari segi ekonomi adalah masyarakat kelas bawah. Oh terlupa, orang sibuk ingin membantu orang-orang luar negara tetapi tidak orang-orang dalam negara.
Orang-orang kaya bahkan hari-hari hari raya. Mereka juga banyak membantu orang-orang luar negara tapi sedikit kurang dengan orang-orang dalam negara. Tidak apa duit mereka harta mereka semoga dibuka pintu hati untuk membantu orang-orang dalam negara.
Mahasiswa? Ohh mahasiswa itu golongan yang terpelajar. Mereka ini berprogram dengan berpandukan apa yang diperkuatkan oleh orang atasan -untuk mendapatkan dana, kelulusan program dan sebagainya. Golongan ini banyak membuat program kemasyarakatan dan yang paling jijik memakai perkataan aktivisme mahasiswa sedangkan turun ke masyarakat baru sekali bahkan ada yang tidak pernah turun untuk menyantuni golongan kelas bawah.
Beberapa hari lepas gempar di media tentang sebuah kampung yang diberikan nama Kampung Sampah. Ramai netizen yang memberi komentar sama ada positif dan negatif. Menyalahkan pihak itu, menyalahkan pihak ini. Tapi ada komentar yang memberi pandangan cukup baik, “kenapa kita bantu orang-orang di luar negara sedangkan orang-orang di dalam negara menerima nasib yang serupa?” Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Wahai masyarakat kelas bawah. Seperit apapun penderitaanmu di dunia yang penuh kekejaman, malaikat sentiasa mendoakan kamu agar kamu dilindungi Tuhan.
Persoalan demi persoalan yang sering bermain di fikiran, kenapa banyak maksud baik yang dilakukan untuk masyarakat kelas bawah sering diganggu gugat oleh sang penguasa? Adakah maksud baik yang dilakukan ini mengganggu kedudukan sang penguasa? Aku duduk kebingungan sambil menulis coretan ini selepas habis kelas pukul 2 petang.
Wan Zawawi Bin Bakri
April 2019