Oleh: adiHJ
Saya kembali ketagih untuk bermain catur selepas diberi tugasan untuk mereka poster pertandingan catur. Malah, saya menghabiskan masa berjam-jam dengan membaca artikel, menonton klip-klip video di YouTube dan terus memuat turun aplikasi permainan catur ke dalam telefon pintar. Kini, hari-hari saya dihabiskan dengan banyak bermain catur berbanding aktiviti lain.
Dulu masa sekolah rendah, saya banyak meluangkan masa bermain catur bersama abah. Kadang-kadang permainan itu akan berlanjutan selama sejam atau lebih. Waktu itu, saya tidak pernah merasakan bahawa permainan catur ini akan menghantui hidup saya sekarang.
Tapi, seperti kebanyakan kanak-kanak pada waktu itu, bermain catur sangatlah tidak menyeronokkan jika dibandingkan dengan hiburan lain; bermain bola, mandi sungai, membaca komik dsb. Jadi, saya menceraikan catur daripada hidup saya dan berharap ia tidak muncul semula seperti bekas teman wanita saya pada masa hadapan.
Saya silap.
Masuk tingkatan lima, pada era yang kita panggil ‘darah muda’. Waktu rakan-rakan sibuk mahu mengikuti ideologi sub-budaya yang paling hebat, juga waktu ketika pelajar lelaki sibuk bertanding untuk menjadi orang yang pertama dapat memenangi hati pelajar perempuan junior paling popular di sekolah, tidak dilupakan, siapa yang paling berdisiplin di antara semua pelajar dan menjadi anak emas guru disiplin, saya mewakili sekolah dalam pertandingan catur—ini berlaku secara tidak sengaja.
Kata kawan saya pada waktu itu, ‘chess ni permainan untuk orang yang tidak boleh bersaing dalam sukan lain’. Walaupun saya memegang rekod tanpa kalah di sekolah; termasuk mengalahkan guru pembimbing, tapi, apa yang kawan saya kata itu ada betulnya. Ya lah, bermain catur tidak memerlukan kau untuk berlatih seperti atlet lain. Malah, kau tidak akan terkenal di sekolah berbanding mereka yang mewakili sekolah dalam sukan mainstream seperti bola sepak atau olah raga. Lebih teruk lagi, kau tidak akan menjadi lagenda di sekolah. Kau hanya akan jadi si nerd yang bermain catur walaupun kau menang pertandingan antara sekolah. Kemenangan kau tidak akan diumumkan di perhimpunan sekolah, sebab tiada siapa pun tahu adanya pemilihan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan catur melainkan orang yang secara tidak sengaja lalu depan bengkel automotif seperti saya. Piala kemenangan kau itu lebih kecil berbanding piala tempat ketiga dalam sukan lain. Dan, diletakkan sebaris dengan piala penyertaan lain di dalam kabinet trofi di bilik guru.
Di sekolah, permainan catur ini diletakkan dalam satu keranda bersama koir, syarahan, debat (yang saya juga pernah menjadi wakil sekolah, menang dan juga tidak dihargai) dan aktiviti lain di dalam dewan. Dalam erti kata lain, bermain catur tidak akan membuat kau menjadi cool, tapi jadi nerd. Dan saya masih lagi menjadi nerd pada hari ini. Dan maaflah, ironinya, dunia sudah menjadi lebih seronok dengan penglibatan orang-orang nerd dalam memajukan dunia.
Maaf. Tapi, begitulah.
Sekarang, disebabkan saya masih lagi nerd, saya lebih berminat dengan falsafah di balik permainan catur. Chess is like a draw. Kalau dua-dua pemain bermain dengan baik, permainan akan seri. Atau, kalau kedua-dua pemain membuat kesilapan, perlawanan juga akan menjadi seri. Bak kata Thanos, perfectly balance, as all things should be.
Kalau ada berlaku kesilapan dalam permainan, maka pemain yang ada kelebihan boleh mengambil kesempatan itu untuk memenangi perlawanan. Juga macam Thanos, selepas ramai hero yang boleh mengalahkan dia mati, dia nampak itu sebagai suatu kesempatan dan berjaya mengumpulkan kesemua infinity stones.
Bak kata Malique, gagal merancang, merancang kegagalan.
Tapi, kalau pemain itu gagal menggunakan sepenuhnya kelebihan dan kesempatan, maka pemain lawan tadi berpeluang untuk menjadikan permainan itu seri atau langsung menukarkannya kepada kemenangan. Macam Thanos juga, sarung tangannya hampir dirampas oleh geng Avengers, tapi Star Lord menjadi emosi dan mengganggu proses. Justeru, membolehkan Thanos mengalahkan mereka semua dan mendapatkan time stone daripada Dr. Strange. Atau macam Thor, should’ve gone for the head, bero. Tapi tidak apa, dia seri dengan Thanos.
Dalam permainan catur, pemain yang paling sikit membuat kesilapan akan menang. Juga macam Thanos, kesilapannya kecil, yakni tidak membunuh saja Thor pada awal pertemuan mereka. Hal itu mengakibatkan Thor memperoleh tukul hibrid kapak dengan nama paling cool sekali dan mencederakan Thanos. Tapi, sekali lagi, should’ve gone for the head, bero.
Walau bagaimanapun, amatlah sukar untuk bermain dengan sempurna dalam permainan catur. Sedangkan mereka yang sudah bergelar Grandmaster (pencapaian tertinggi dalam permainan catur), pun boleh melakukan kesilapan. Seseorang manusia itu boleh menggerakkan buah catur dengan tujuan intuitif, ianya dipandu tapi sepenuhnya ditentukan oleh logik dan pengiraan yang sempurna. Malah, selepas kau membuat pergerakan, pemain lawan boleh mematahkannya atau memaksa kau untuk mengubah strategi. Bayangkan, perlawanan di antara Nikolic vs Arsovic, memakan masa selama 20 jam 15 minit dan berakhir dengan seri. Again, perfectly balance, as all things should be. Hal ini menunjukkan setiap pergerakan yang kau lakukan, boleh dibaca, malah dipatahkan oleh pihak lawan.
Tapi, apa kau boleh buat? Bak kata juara dunia, Magnus Carlsen ‘chess is a very difficult game. It’s very hard often to know whether you’re making the right decision or the right evaluation. But, still it’s important to have confidence’.
Seperti hidup, kesempurnaan di mana kau boleh mencapai semua yang kau mahu itu mitos. Yang ada, perfectly balance. Kau hanya boleh meminimumkan kesilapan untuk mencapai kemahuan. Kau juga harus bersedia untuk melakukan pengorbanan. You cannot have it both ways. Dalam permainan catur, kau terpaksa bergerak, dan ia akan membuahkan hasil; sama ada baik atau buruk. Dengan melakukan pergerakan, baru kau boleh nampak sama ada langkah itu akan menyebabkan kekalahan atau kemenangan. Sedari itu, setiap pergerakan itu akan membuka ruang kepada kelemahan. Jadi kau harus menutupnya dengan bantuan buah catur yang lain.
Dalam hidup, kau tidak boleh bergerak sendiri. Kau perlukan bantuan orang atau benda lain untuk kekal relevan di dunia. Sedangkan Goku pun minta tolong satu cakerawala dalam misinya untuk mengalahkan Majin Buu. Sedangkan Hitler pun perlu bantuan tentera untuk cuba menguasai dunia. Apatah lagi kita kan?
Bak kata Bobby Fisher ‘Chess is a search for truth ‘. Dan kebenaran itu, akan jadi lebih bererti apabila dihayati.
Salam bang. Saya teringat satu kata-kata dari dahulu berkaitan dengan “perfect balance”, tapi ia lebih kepada amalan kehidupan sihat. Air pun kita tak dapat minum banyak, nanti kena hyponatremia, ‘duhal air merupakan salah satu elemen yang penting untuk kehidupan manusia! Singkatnya – dont over do it.
Menarik! Tapi yang penting, minum air.