Oleh : Achmad Fatkur

Dia masih berdiri di atas kepala jejantas kota raya yang sibuk dengan anak-anak Adam mencari kemewahan dunia. Memerhati dan terus memerhati setiap langkah manusia yang pelbagai ragam, agama dan bangsa. Begitu juga ragam kenderaan yang berlalu perlu dibawa kakinya, ada yang kecil dan ada yang besar mungkin dunia yang dia pijak telah lama maju tanpa dan masih segar dalam ingatan. Masa begitu laju mengharungi detik-detik kehidupan manusia yang silih berganti, ada yang mati dan ada yang lahir ke dunia. Kemajuan pesat bila dunia metropolitan mengharungi detik-detik kemajuannya.

       Suasana pada pagi itu membuktikan keindahan matahari yang sudah mulai dilindungi oleh awan yang hitam. Angin kembali mendatangi panggilan awan dan telah menghempap muka Pak Mat. Beberapa kali Pak Mat menyelak rambut putihnya yang semakin tua ditelan oleh zaman peperangan. Rambut yang dulunya hitam telah bertukar menjadi putih mungkin kerana tua semakin memunculkan dirinya. Rambut-rambut mulai berguguran dibawa jejantas kesibukan dunia.

        Pak Mat mengalihkan perhatian kepada bangunan-bangunan tinggi berhadapan dengan dirinya, di situlah tempat para menteri, para bangsawan dan para kerani. Tapi di sebalik kemegahan bangunan tinggi itu, terdapat juga para perosak negara, para pengkhianat dan para penerima rasuah. Pak Mat dapat melihat dari sudut dirinya yang sudah lebih setengah abad hidup di jalanan, ketinggian membuat kita jatuh dalam karya kita sendiri begitu juga dengan aku dahulu sehingga aku digelar kecundang dalam negara.

          Begitu juga dengan orang-orang yang terkejar-kejar dengan wang seperti mengejar harta dunia semata-mata tanpa menghiraukan disebalik dunianya ada dunia yang memerlukan bantuan kemanusiaan. Mereka mengejar masa dan masing-masing dengan tujuan hidup yang berbeza. Tentunya begitu terukir dalam surat takdir setiap manusia oleh Yang Maha Kuasa begitu juga dengan Pak Mat telah menjadi suratan hidupnya, terbuang disisi kemajuan ibu kota.

          Alangkah baiknya kalau diantara manusia-manusia yang berkeliaran itu mengajak Pak Mat untuk bersama-sama dengan mereka. Tidak kisah mahu menjadi apa pun, asalkan halal dan dapat mencari secebis nasi untuk dimakan. Sudah cukup baginya.

           Pak Mat mula melihat keadaan dirinya dari hujung kaki sehingga ke hujung rambutnya yang telah beruban putih. Dia meraba-raba tubuh kotornya yang ditutupi hanya dengan pakaian lama berlambangkan bendera Malaysia dibahagian belakang baju. Dengan perlahan kaki yang lama berdiri mula terasa peritnya ia duduk disamping jejari-jejari besi yang memagari jejantas itu.

          Dia mula mengusapkan kedua belah tangannya yang sudah mulai tua di telan zaman. Kulit yang dulunya tegang kini menjadi jatuh seperti daun tua yang berguguran di taman ketika dulu. Tiba-tiba mulut yang tertutup tadi mula mengeluarkan luahan hati yang hanya tersimpan dalam hati penuh dengan keluhan. Pak Mat mula melihat manusia-manusia yang lalu-lalang di hadapannya tanpa memikirkan satu sama lain. Ada orang yang bertali leher tapi tidak menyambung silaturrahim, ada yang memakai baju kot berjenama Gucci  tapi lupa bersedekah. Dia mulai meraba baju yang koyak di lengan kirinya. Ramai anak-anak menyandang beg sekolah dengan penuh pengharapan dan semangat yang gigih untuk menimba ilmu. Di wajah-wajah mereka terukir segala impian yang tidak akan ternilai harganya. Semakin Pak Mat menggenggam kedua bela tangannya mengharapkan duit syiling terlontar di hadapannya.

          Ah, hari masih awal lagi. Matahari belum sampai ke puncaknya, hanya bersabar sahajalah mungkin rezekinya lambat datang. Pujuk hati Pak Mat yang awal pagi dalam kelaparan. Lalu pandangannya beralih ke sebelah hujung tembok kirinya, ia terdengar laungan-laungan gitar yang menghidupkan suasana dengan bunyi-bunyian indah menusuk hati masyarakat yang sedang berjalan di hadapannya. Rupa-rupanya ada seorang seniman jalanan yang buta. Tidak dapat melihat dunia sekian lama. Tapi tuhan itu Maha Adil, memang buta tetapi irama-irama lagunya telah membuatkan dia merasa sempurna. Di hadapannya terdapat tin kosong yang dibalingkan duit-duit kecil oleh masyarakat yang masih ada hati untuk menderma. 10 sen , 20 sen dan 50 sen dipandang hina oleh mereka yang tidak tahu erti bersyukur tetapi dengan syiling inilah orang-orang jalanan boleh kembali hidup.

       Pak Mat pula menoleh pandangan ke sebelah kanan, dia melihat seorang perempuan cantik yang berumur jagung sedang melabuhkan punggungnya  bersandar pada dinding-dinding jejantas yang telah menjadi saksi bisu kehidupannya.

       Pada bahu kanannya tersangkut beg berjenama Adidas yang menjadi tempat pakai-pakaiannya. Sementara di tangan kanannya memegang pena kecil yang berukuran 3 inci dan di tangan kirinya terdapat buku catatan kecil yang dibiarkan berbogel. Dia pun mula menulis sesuatu dengan khusyuknya tanpa menghiraukan mata-mata orang.

      Sambil duduk ditemani alunan lagu-lagu yang dimainkan oleh orang buta itu. Dia pun mulai mengangkat penanya dan mula melukis sosok tubuh perempuan itu dalam sajak puisinya. Semakin lama semakin fikiran berputar, kenapa anak perempuan ini berpakaian seperti bertelanjang? Dia duduk bagaikan seorang lelaki di hadapan orang berlalu-lalang, seluar ketatnya menambah bentuk pahanya yang ketat. Baju yang amat singkat berwarna putih memperlihatkan pusat kecilnya yang bertatu naga. Muka yang agak kehitaman tapi masih ada keputihan berasa kelembutan dalam wajah anak muda itu, rambutnya panjang menutupi punggungnya dibiarkan ikatannya terbiar sehingga kusut bagaikan sarang tikus. Matanya bulat kemerah-merahan di lengkapi dengan celak-celak yang berguguran di kelopak matanya. Dan mata merah itu menentang pandangan Pak Mat yang sedang menunjukkan penanya pada atas kertas. Secara tiba-tiba perempuan itu mula berbuka mulut degan lantangnya.

“Kau orang tua, apa kau tengok tu? Kau nak APA?!” katanya dengan kasar berhadap dengan pandangan Pak Mat yang hampir pergi dari situ.

           Kemudian dia menyambung semula katanya, “sedar lah sikit orang tua, kau dah lah miskin dan tengok body aku yang seksi ini. Bagus kau pergi mampuslah, orang tua tidak tahu diri. Gatal!” Pak Mat yang berdiri dijalanan ketika itu berasa terperanjat dan beg sandangnya hampir jatuh. Malu mula terasa di hati seorang tua itu, meski dia tidak membuat perkara-perkara bodoh yang selalu manusia lakukan untuk memuaskan diri mereka. Dia  mulai menundukkan kepala dan berlagak tenang.

          Semakin lama air mata perempuan itu mulai jatuh ke pipi teringat peristiwa hitamnya yang membuat dia jadi begitu, bagaikan seorang pelacur yang mencari mangsa di kegelapan lorong-lorong kecil kota raya.

“Aku ini belum kahwin, tapi orang sudah kata aku perempuan murahan. Kau tahu kenapa?” perempuan itu mula berpaling muka ke muka tua pak mat, tapi dia buat tidak tahu apa-apa. Perempuan itu mula menggosokkan matanya dengan kedua-dua bela tangannya, sedangkan poket kirinya terjuntai sapu tangan.

      Tidak lama kemudian perempuan itu duduk di sampingnya dengan perlahan-lahan Pak Mat menggeserkan tempat duduknya ke tepi sedikit demi sedikit, meski terasa malu. Tapi mungkin ada sebab yang muhasabah yang boleh diterima oleh akal. Mungkin perempuan ini telah gila agaknya kata Pak Mat dalam lubuk hatinya. Tapi kerana di situlah tempatnya mencari sesuap nasi kalau tidak sudah lama dia berambus dari situ, kerana tabiat perempuan gila itu.

“Hye, orang tua. Adakah kau tidak percaya aku mempunyai kekasih hati yang ramai, dulu aku seorang puteri cantik yang digilai oleh semua putera-putera kaya dalam bandar ini. Kau tidak percaya dengan kata ku ini, hye orang tua! Aku sedang bercakap dengan kau ini.” Dia berkeras ingin memberitahu sesuatu tapi Pak Mat tetap membiarkannya. Orang yang lalu-lang dihadapannya semakin lama semakin berkurangan. Bunyi alunan gitar Si Buta masih lagi terlontar di telinga-telinga manusia yang menaiki jejantas itu.

      Perempuan itu pun mulai meraba-raba beg jenama ponixnya. Kertas-kertas kecil mula dikeluarkan lalu diletakkan di atas simen. Menjadi tempat-tempat para gelandangan seperti aku mencari sedikit wang untuk terus hidup. Maka di buka segala isi kertas tersebut seperti membuka peti yang berharga. Takut tercalar segala tulisan yang ada dalam surat tersebut.

“Ini surat pertama dari kekasih ku. Dia memuji aku bagaikan rembulan yang mekar di malam hari. Dia…”

“Pagi-pagi buta seperti ini mana ada bulan, ada pun kuih bulan. Itu pun tunggu tahun baru cina.” Celah Si Buta yang memberhentikan petikan gitarnya sambil ketawa.

 “Eleh, kau lelaki tua buta. Tahu apa kau tentang cinta, dah lah bagus kau main gitar buruk mu seja.”

 “Aku memang tidak tahu tentang cinta tapi aku dah ada 3 orang anak.” Jawab Si Buta sambil melanjutkan petikan gitarnya. Pak Mat hanya dapat tertawa dengan gelagak si buta itu.

“Bodoh! Semua lelaki yang kenal dalam dunia ini semuanya bodoh. Ada Si Buta tidak siuman, ada Si Tua pun tiada guna.” Bebel perempuan itu terhadap kedua orang tuanya yang berumur setengah abad itu. Lalu dia mengangkat kaki dari tempat itu, ketika dia mahu pergi. Terdengar suara dari Pak Mat yang terdiam seketika tadi.

“Anak muda, kau masih muda penuh dengan tenaga. Maka gunakan tenaga itu untuk kebaikan, jangan fikirkan masa lalumu. Sesungguhnya Tuhan telah mengubah hidupmu di masa hadapan lebih baik dari sekarang jika kau sendiri mengubahnya dengan hati. Tiidak kiralah bangsamu sendiri menghina lantaran masa lalumu yang kotor. Mungkin kau akan menyesal jika kau tidak berubah dari sekarang anak muda. Tuhan sentiasa ada untukmu. Ingat itu anak muda.” Kata-kata semangat yang diberikan oleh Pak Mat sambil melihat ia berhenti sambil berhenti di sebelahnya tanpa melihat mukanya.

       Kata-kata dari seorang gelandangan tua telah menusuk hati perempuan itu dan membuka sedikit hatinya untuk membenarkan cahaya putih menyinari hatinya yang mulai ditenggelami oleh kehitaman, walaupun sering kali diihina oleh masyarakat dia tetap tidak menghiraukannya.

        Keadaan itu telah memberikan suasana baru untuk perempuan itu, meski lama tidak mendengar kata seperti itu. Walaupun suara-suara para keluarga, para ustaz dan ustazah dan para ahli kaunseling. Memberikan kata-kata nasihat terhadapnya tetap dia menodainya, tapi entah kepada pada masa itu berubah seakan-akan Tuhan ada pada diri seorang gelandangan tua yang kerjanya hanya duduk mengemis di jejantas kesibukan kota.

        Dengan pelan perempuan itu pun berlalu pergi dan ingin mengubah nasib dengan bercita-cita untuk hidupnya karena Tuhan. Pak Mat hanya mampu membiarkan perempuan itu berlalu sambil mendoakan agar Tuhan memberi cahaya untuk hidup di dunia.

        Awan hitam semakin lama semakin menutupi cahaya mentari ketika itu. Angin mula bertiup kencang. Tidak lama kemudian, hujan mula turun membasahi bandar yang kehausan kenikmatan Ilahi. Pak Mat mula mencari tempat teduh di sebalik tembok-tembok jejantas itu, hanya ditemani oleh hujan dan Si Seniman buta dengan gitar tuanya.

        Mata Pak Mat mula berkeliaran melihat kanan dan kiri, melihat gelagat para manusia yang pelbagai ragam. Ada yang berserban sambil menutupi seluruh badan tapi tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan, hanya pakaian yang indah tapi hati sehitam arang. Ada wanita bertudung dianggap solehah tapi mengkeji para anak-anak jalanan mengemis dihadapkan mereka. Manusia semakin hilang kemanusiaannya. Kata hati Pak Mat.

       Ketika kehujanan semakin melimpahkan air sucinya turun ke bumi, kelihatan air mata membasahi raut wajah gelandangan tua itu. Kegembiraan yang terukir dari wajah-wajah anak jalanan ketika hujan muncul bagaikan sebuah rahmat yang tidak ternilai harganya dengan wang tunai mahupun bangunan pencakar langit yang menjadi kebanggaan dunia, mereka bermain hujan tanpa menghiraukan apa dunia hendak katakan. Asal mereka berbahagia dengan kehidupan mereka. Hidup mereka memang terasing dari kehidupan rakyat-rakyat kota, mereka hanya dibekalkan sebuah gitar dan gendang. Terkadang hanya dibekalnya dengan kasih sayang. Apakah dunia kali ini semakin kejam lantaran miskin mereka, memang mereka tidak bersekolah tapi tahap kemanusiaan mereka lebih baik dari mereka yang bersekolah tinggi dan berkerjaya. Itulah apa yang dilihat oleh Pak Mat terhadap dunia sekarang.

        Dan ketika cuaca hujan berhenti, maka berjalanlah semua putaran dunia dengan hal masing-masing. Begitu juga Pak Mat, mungkin dia harus pulang bersama dengan semua kotak sedekahnya. Kotak yang kecil itu diharapnya mampu menampung sebungkus nasi setiap hari. Dia pun mula membuka kotak tersebut. Hanya RM1.00 sekeping dan tiga syiling lima puluh Sen. Meski tidak seberapa tapi dia tetap bersyukur dan tidak mengeluh. Dia tahu bahawa tuhan yang mengatur rezekinya di dunia.

       Warung Pak Arif menjadi tempat persinggahannya untuk membeli sebungkus nasi. Walaupun dipandang hina oleh mereka yang duduk di warung itu, Pak Mat tidak kisah. Dia di situ untuk membeli bukan mengemis. Dengan tubuh tuanya ditambah lagi dengan pelbagai penyakit yang dhadapi, dia harus berjuang dalam kehidupan ini. Bungkusan nasi dan sedikit lauk menjadi santapannya pada tengah hari itu. Perut mulai merasakan kelaparan kerana sarapan hanya dibekalkan ikatan tali sampah pada perut.

     Bungkusan nasi itu di bawa balik ke tempat tinggalnya di bawah kolong Jambatan Melawati. Dia mula membuka bungkusan nasi yang tidak seberapa itu, ketika itulah hatinya mulai bersedih kembali bila melihat anak kecil memakan sisa-sisa makanan yang dibuang ke dalam tong sampah. Maka dipanggillah budak kecil itu.

    “Anak, ambillah nasi pak cik. Pak cik masih kenyang.” Sedangkan bunyi perutnya semakin terasa pedih. Namun, Pak Mat tetap bertahan, “Mungkin ini bukan rezeki aku.” Kata Pak Mat dalam diam.

    Lalu pergilah anak kecil itu membawa bungkusan nasi dengan rasa gembira. Anak kecil itu pun pulang dan memberikan bungkusan nasi tersebut kepada seorang perempuan tua yang terlantar di bawa tindihan-tindihan kotak dan sampah. Dengan melihat sifat anak itu. Ia tersentuh, mungkin hidupnya amat teruk tapi ada lagi orang lebih teruk dari kehidupannya.

    Pak Mat pun mula mencari rezeki dengan memungut tin-tin di bahu jalan, ketika itu jalan masih terasa basah. Tayar-tayar besar memijak lopak-lopak air jalanan sehinggakan membasahi tubuh Pak Mat. Dia terus mencari dan mencari. Pada hujungnya dia melihat anak gelandangan itu ditengah jalan raya dan di situ terlihat juga kenderaan proton berwarna merah terang yang berlari laju seperti harimau menerkam mangsanya.

     Bunyi hentakan kuat terdengar. Sejurus beberapa minit, bunyi kereta ambulan dan polis memecahkan suasana, kelihatan warna merah darah mula mewarnai jalan raya tersebut. Orang- orang yang turun dari kenderaan dan berduyun-duyun melihat apa yang terjadi, ada yang hanya mengambil gambar dan menyebarkan dalam media masa dan pula yang mencatat nombor kenderaan yang terlibat dalam kemalangan untuk menjadi nombor ekor.

     Dihadapan muka surat khabar yang tersedar laju di pelosok negara di radio dan juga di televisyen. Muncul muka yang tidak terduga oleh dunia ini, Pak Mat telah terlibat dalam kemalangan ketika hendak menolong seorang anak gelandangan. Kematian tersebut telah menjadi simbol kepada para manusia yang berseronok dalam dunia ini yang tidak memperdulikan manusia seperti mereka yang terbuang tanpa ada jiwa-jiwa turun mula membantu mereka.

     Hidup menjadi gelandangan banyak mengajar Pak Mat erti kemanusiaan meski waktu mudanya jauh dari sifat kemanusiaan tapi Tuhan cintakan dia dan memanggilnya dengan suratan takdir yang berpihak kepadanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *