Oleh: Mukmin Nantang

Ramai orang yang menjadi pekerja sosial gagal membaca masyarakat dan sekali gus gagal dalam membangunkan apa-apa bentuk pemikiran baru selain hanya melempiaskan nafsu marah. Seperti seorang pemain bola sepak yang baru masuk padang, selain dia harus latihan bersama, dia juga harus kenal rakan-rakan pasukannya, mengetahui posisinya, memahami strategi yang ingin dibangunkan secara pasukan dan serba sedikit perlu memahami pihak lawannya. Pemain yang angkuh dan merasakan dirinya hebat sendiri pastinya akan merosakkan pasukan dan merosakkan objektif untuk menang. Ini bukan soal takut menyerang atau tidak, terkadang– kita perlu bertahan sebelum mengatur langkah dari bawah menuju serangan-serangan yang konsisten sehingga membawakan hasil. Keterasingan ini bahaya kerana pemain baru tadi akan terasa sendiri dan suka marah-marah jika rakan pasukannya tidak selari dengan bentuk pemikiran yang ingin dibangunkan.

Apa bentuk pemikiran baru yang ingin dibangunkan?

Ada di antara kita terlalu yakin sehingga merasakan diri seorang pekerja sosial yang idealis yang membangun pemikiran-pemikiran yang tajam sehingga tanpa sedar sudah terlalu ke belakang, sedangkan orang sudah mula membangun praktik-praktik dari bentuk-bentuk pemikiran yang sudah lama dibincangkan. Oleh sebab itu, kita tidak konsisten menyerang musuh-musuh yang sebenar kerana terlalu ingin dikatakan idealis, kita suka untuk menyerang semua sehingga kekacauan berlaku. Lalu, yang bukan musuh menjadi musuh. Walhal, perkara yang harus dilakukan adalah mencerahkan lalu menyerap pemikiran agar menyatu, bukannya menjadi lebih terasing. 

Selain itu, ramai dari manusia sebegini suka terperangkap dengan kata-kata tokohnya. Akibatnya, dia menjadi terlalu fanatik sehingga menjadi marah apabila isi dari kata-kata tokohnya itu dibahas. Apabila kalah, suka pula untuk melabel orang yang membahas sama dengan orang-orang naif. Seperti kata Zizek, di tulisan awal saya langsung sedikit pun tidak menilai atau menjatuhkan hukum susuk tubuh individu tersebut. Zizek mengatakan 99% manusia bodoh dan membosankan, oleh itu, bagi saya kita harus menyelesaikan masalah 99% manusia bodoh dan bosan ini. Terus saja saya mahu disamakan dengan agamawan yang naïf menilai Karl Marx. Fuh. Kalau membahas dan menyatakan sudut pandang berbeza pun tidak boleh, maka tidak malukah kita kononnya pekerja sosial yang kononnya membangunkan pemikiran baru untuk masyarakat sedangkan tidak menerima proses membangun dialektika. 

Ketika ada pemimpin yang baik tidak mendapat undi majoriti dari rakyat, maka kita sewenangnya melabel rakyat itu bodoh. Sepatutnya, hal yang perlu digali dan dijawab adalah mengapa rakyat tidak mengundi pemimpin yang baik itu dan bagaimana pemimpin yang baik itu sendiri mampu membangun praktik mempengaruhi rakyat untuk memilihnya. Maka advokasi harus bermula dari kekalahan.

Sedar diri dan cuba cari kawan!

Mungkin sudah tidak ada hujah, maka saya dilabel ‘diam’ dan tidak tahu apa-apa seperti contoh: isu Pas Sementara Sabah (PSS). Ada pekerja sosial yang kata saya tidak tahu PSS ini sudah lama, bukannya idea pemerintah baru. Ini lucu, saya cuba disekolahkan. Di saat saya bertemu dan mendesak wakil pemerintah baru bukanlah bermaksud saya tidak tahu idea itu sudah lama.  Itulah praktik radikal saya– bertemu dan menyerang orang yang tepat. Bukan acah-acah idealis membangun pemikiran baru sedangkan semakin ke belakang. 

Menjadi lebih bahaya lagi apabila mempunyai sikap merendahkan orang lain yang sedang mengusahakan hal ini mengunakan praktik yang berbeza. Katanya, “tidak perlu aku berjumpa artis tersohor atau meneka niat-niat politikus untuk aku membaca soal PSS”. Ini kesombongan yang nyata. Ini bukan soal artis atau tidak– ini soal usaha untuk bersentuhan dengan orang-orang yang mengerjakan hal ini. Tidak perlulah saya menilai siapa yang lebih konsisten bekerja– sama ada artis itu atau pekerja sosial. Sekurang-kurangnya, artis tersebut berusaha bertemu dengan ramai orang yang bersetuhan dalam hal ini untuk mendapatkan sudut pandang yang banyak dan berbeza. Kesombongan bersendirian sebegini akhirnya semacam onani di kamar sunyi– ghairah dan membayangkan sesuatu yang tiada, lalu hasilnya juga tiada kecuali penat.

Meneka niat politikus itu penting apatah lagi tekaan kita tepat kerana ia tidak lahir sekadar-sekadar, analisis dan pengamatan harus dibuat. Istilah meneka ini samalah juga dengan ramalan yang dibuat oleh badan pengkaji untuk melihat keadaan yang akan berlaku pada masa akan datang. Menjadi masalah dalam PSS ini adalah pekerja sosial tidak dapat meneka bahawa pemerintah membatalkan implimentasinya lalu apa yang dibuat cuma menangis dan marah-marah. Lalu dia berkata “semua orang diam, aku saja bersuara, semua orang celaru”. Sedangkan, kita dari bawah sedang merapat barisan dan mengatur langkah-langkah ke hadapan.

Sabar, bising tidak semestinya betul dan tidak salah bising, asalkan tepat pada tempatnya. 

Terakhir: Mengapa saya memilih praktik radikal dan memobilisasi dari bawah?

Saya percaya masyarakat perlu diperkuat dari bawah. Saya tidak percaya masyarakat adalah bodoh dan harus ditinggalkan untuk membuat keputusan. Kita tidak perlu terburu-buru, kita harus sedar diri kita siapa dan kemampuan kita apa. Akhirnya, apa pun keputusan pemerintah– kita harus tetap bekerja, bukan buntu dan kecewa berlebihan. Sepatutnya, kita seharusnya sudah pun menyediakan pelan dan rancangan hadapan tidak kira apa pun keputusan pemerintah.

Berhentilah berharap dari naratif-naratif elit pemerintah. Kita harus membangun naratif kita sendiri yang memihak kepada masyarakat kelas bawah. Kita harus membangun kajian kita sendiri, wacana kita sendiri, advokasi kita sendiri, jaringan kita sendiri dan banyak lagi. Ramai dari kita malas untuk melalui proses-proses macam ini dan suka untuk terus loncat ke atas. Jangan berharap pemerintah akan membawa aspirasi kita kerana ramai dari pemerintah tidak lahir dari bawah dan idea-idea dari bawah juga gagal untuk sampai ke atas kerana tidak ada pergerakan yang konkrit dibina.

Sudah beberapa tahun saya berada dalam lapangan stateless dan undocumented ini– jadi, saya kenal dengan jelas akan siapa yang mengusahakan ini, bukan sahaja golongan hak asasi, pemuda, artis, demokrasi, akademik dan juga persatuan-persatuan etnik. Selepas keputusan mengecewakan oleh pemerintah yang membatalkan PSS, barulah ada usaha-usaha serius dari bawah. Kita tidak pernah putus berhubungan. Namun, apa yang saya ingin tekankan di sini adalah berhati-hati untuk langkah-langkah pemecahan masyarakat kerana masyarakat di bawah tidak bersalah, baik yang bersetuju mahupun yang menentang. Itulah sebabnya– idealisme harus hadir dengan konteks masyarakat yang tepat. Jangan rosakkan lagi hal yang telah rosak. Untuk apa bertikam dengan masyarakat yang belum tercerah yang kita gagal cerahkan, lebih baik fokus memukul pemegang sistem yang berkuasa.

Fokus.

Terima kasih.

 

Nota: Tulisan ini membalas dan menjawab tulisan Jefry Musa sebelum ini. Beberapa siri ‘berbalas tulisan’ sudah berlaku, klik pautan berikut untuk mengikutinya:

  1. PSS: Kecelaruan Kita menyebabkan Penindasan Masih menjadi Budaya oleh Jefry Musa
  2. Kemalasan Penyebab Penindasan Berterusan oleh Mukmin Nantang
  3. Kita Sebenarnya Malas Melawan Penindasan: LUCU oleh Jefry Musa
  4. Contoh Idealis yang Gagal Membangun Masyarakat! oleh Mukmin Nantang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *