Oleh: Izzat Dahelan
Pada beberapa hari yang lepas, telah berlaku dua siri demonstrasi secara aman di Tawau, Sabah yang melibatkan Kg. Muhibbahraya dan Kg. Baru Pasir Putih. Tujuan demonstrasi ini tidak lain kerana ingin menyuarakan tuntutan rakyat di kawasan tersebut. Ketidakpuasan hati terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dipanjangkan dan tidak disusuli dengan suntikan kebajikan dan ekonomi untuk rakyat menjadi faktor utama rakyat di kawasan ini turun ke jalanan untuk berdemonstrasi. Tindakan ini telah menyebabkan pemerintah akur terhadap kehendak rakyat dan menyemak-ulang segala kebijakan sewaktu pelaksanaan PKP.
Tindakan demonstrasi ini sebenarnya telah menimbulkan perdebatan warga netizen di media sosial. Ramai yang menyokong tindakan tersebut dan tidak kurang juga kelompok yang menolak tindakan tersebut atas alasan adab, perlunya melalui ‘saluran yang betul’ dan keadaan semasa pandemik Covid-19. Sungguhnya, penolakan terhadap tindakan demonstrasi adalah tidak relevan sama sekali. Demonstrasi merupakan salah satu elemen yang sememangnya ada dalam sistem demokrasi yang telah diambil daripada konsep Barat. Bagaimana kita boleh menyebut negara ini negara demokrasi tetapi pada masa yang sama kita menolak demonstrasi yang merupakan saluran untuk menyatakan tuntutan rakyat?
Keterikatan kita kepada ‘adab’ seringkali membuatkan kita bungkam walaupun hak asasi manusia dicabuli. Adab yang dipraktikkan haruslah berasaskan akal, bukan membuta tuli. Inilah hegemoni yang telah dibebankan kepada fikiran kita sehingga tidak kira apapun penindasan yang berlaku, kita diam, bungkam, untuk ‘beradab’.
1 Mei merupakan tarikh Hari Buruh yang disambut pada setiap tahun di seantero dunia. Buruh merujuk kepada golongan pekerja yang bekerja menggunakan tulang empat kerat mereka dan mendapat ganjaran upah. Golongan pekerja pentadbiran, perkeranian, guru atau profesion yang tidak menggunakan tulang empat kerat dengan maksimum untuk mendapat upah bukanlah dikategorikan dibawah golongan yang disebutkan sebagai buruh. Namun, di Malaysia, kerana konsep mendapat ‘upah’ itu turut berlaku kepada kelompok pekerja, maka hari buruh di Malaysia disebutkan sebagai hari pekerja yang tidak hanya memberi ‘cuti’ kepada golongan buruh, tetapi golongan pekerja di bidang profesional.
Bagaimana boleh ada Hari Buruh yang kita nikmati hari ini?
Hari Buruh yang kita nikmati hari ini adalah hasil pertumpahan darah yang telah ditumpahkan oleh golongan buruh di Amerika Syarikat yang datangnya daripada kelompok berideologi seperti anarkis. Pada 3-4 Mei 1886, telah berlaku siri demonstrasi yang merupakan pertembungan di antara golongan buruh dan kapitalis yang telah mengeksploitasi manusia yang bekerja dibawah mereka. Sebenarnya, ketegangan ini telah berlaku sebelum itu lagi, demonstrasi yang dilakukan juga dalam keadaan aman. Namun, tindakan Pinkerton Guards memukul dan menembak golongan buruh yang berdemonstrasi ini telah menambahkan lagi kemarahan mereka (buruh). Hal itulah yang mendorong terjadi puncak ketegangan pada 3-4 Mei 1886 di Haymarket Square Chicago.
Demonstrasi yang dilakukan bukanlah tanpa sebab, tetapi bertujuan untuk menuntut pemberian upah yang setara dengan produktiviti dan idea bekerja tidak melebihi lapan jam sehari. Ini kerana golongan kapitalis telah mengeksploitasi golongan buruh sehingga berlakunya penafian hak asasi manusia yang benar-benar kejam. Tekanan dan penindasan inilah yang telah menyebabkan berlakunya aksi demonstrasi untuk menuntut hak mereka yang lebih adil.
Berkat demonstrasi yang dilakukan oleh golongan buruh di Amerika dahulu, kita menikmati cuti pada hari ini sambil minum kopi dan membaca hantaran troll lucu di laman Facebook Harakatdaily HD. Tetapi, ia bukan hanya membawa mesej tentang ‘cuti’ semata-mata, tetapi membawa mesej tentang kekuatan apabila golongan lemah ‘berkesatuan’ sehingga berjaya melemahkan golongan autoriti yang berkuasa ekonomis, menjelaskan tentang hak sebagai manusia dan golongan buruh yang harus diberikan secara adil dan membuka mata kita tentang kepentingan demonstrasi itu untuk menyuarakan tuntutan kita kepada golongan yang berkuasa.
Demikianlah kefungsian demonstrasi yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi. Hari Buruh pada 1 Mei yang kita sambut setiap tahun ini merupakan antara (salah satu) kejayaan yang diperolehi hasil daripada demonstrasi yang kita anggap sebagai ‘tidak beradab’ dan bukan ‘disaluran yang betul’.
Selamat Hari Buruh!