Oleh: Aimie Henry Tan
Kelmarin serasa ada terlihat di dada skrin komentar rawak orang-orang di luar sana — mengajar katanya juga proses belajar. Baik, simpan untuk rujukan ke depan. Saat anak-anak sudah beranjak pulang meninggalkan sekolah begini, sunyi merangkak masuk ke semua penjuru ruang. Imbas muka. Di ruangan ini tadi ada beberapa tangan-tangan kecil yang rancak menggulung kulit popiah. Sungguh saratnya bau semangat anak-anak yang teruja menyambut Aidilfitri berlegar-legar di udara. Di ruangan ini juga jiwa-jiwa kecil tadi riuh-rendah bernyanyi mengalun irama lagu-lagu raya. Setiap Jumaat lebih kurang beginilah gambaran senarionya. Jumaat sebenarnya merupakan hari untuk anak-anak ini menonton tayangan filem. Tapi adakalanya turut diisi dengan aktiviti lain seperti boardgames dan kelas Seni Muzik.
Jumaat kali ini mereka menonton filem Aisyah: Biarkan Kami Bersaudara sambil membuat kuih batang buruk yang bahan asasnya merupakan kulit popiah. Dayang, 13 — si cantik manis yang tinggi lampai bercerita bahawa sebelum ini dia dibayar upah RM10 sehari di kawasan kejiranannya untuk membuat kuih raya. Dia dan kanak-kanak lain yang turut sama dibayar upah pada ketika itu mula bekerja membuat kuih raya seawal pukul 7 pagi hingga 3 petang. Tidak hairanlah dia serba tahu perihal membuat kuih raya. Dia tadi bersemangat sekali menggulung kulit popiah sambil berkongsi mengenai jenis-jenis kuih raya lain yang menurutnya mudah untuk disiapkan. Kuih cincin. Semperit. Tat. Menurutnya lagi, dalam sehari adalah tidak mustahil untuk menyiapkan tujuh jenis kuih sekaligus. Menarik. Sepasang tangan yang berpotensi untuk pergi jauh dengan pastri.
Di sini ternyata ramai yang punya talenta yang luar biasa. Hampir semua boleh menyanyi dengan baik. Ada yang berbakat menghasilkan kraf, bermain alat muzik, menari dan berteater. Anak-anak Sekolah Alternatif Semporna adalah anak-anak yang berseni. Itulah tanggapan yang terus melekat di kepala sejak mula mengenali mereka. Menjadi sebahagian daripada mereka di sini membawa banyak sekali pengertian baru. Setiap hari belajar perkara baru. Barangkali ini dan beginilah seninya dalam menjadi seorang pendidik di sekolah alternatif yang percaya setiap kanak-kanak lahir dengan sifat yang dinamik untuk berkembang mengikut proses tumbesaran mereka dan senilah yang secara signifikannya berperanan sebagai alat komunikasi golongan ini. Kerana di balik aktiviti seni, anak-anak ini akan sentiasa ada cerita yang (mungkin) tidak sampai ke kaca mata umum. Bahkan melalui seni jugalah dapat ditelusuri refleksi pemikiran kanak-kanak.
Sebelum ini saya pernah terbaca kenyataan Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri yang berhujah bahawa asas pendidikan seharusnya tidak hanya dengan 3M. Menulis. Membaca. Mengira. Seni yogianya perlu dirangkumkan sebagai literasi asas dalam pendidikan lantaran peranan besarnya dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Tanpa seni dunia ini mati. Tanpa seni dalam pendidikan, belajar dan mengajar hanyalah satu transaksi ilmu yang datar dengan nilai penghayatan dalam pendidikan yang kontang. Penerapan seni dalam pendidikan di Sekolah Alternatif Semporna adalah satu platform yang membolehkan anak-anak tanpa negara di sini menyertai aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka lantas membentuk situasi ideal yang dapat membantu mereka berkembang dan bertumbuh dengan sifat dinamik yang sedia ada.
Memang benar yang dikhabarkan orang-orang di luar sana; tugas mengajar sebenarnya juga merupakan satu proses belajar. Belajar itu seronok. Mengajar juga seronok. Tetapi bermain lebih seronok. Yang paling seronok adalah belajar, mengajar dan bermain tanpa perlu berat berpihak dalam memilih salah satu daripadanya. Pendidikan alternatif membuka kesempatan untuk melihat seni sebagai medium utama dalam mendidik sebuah bangsa. Pendidikan alternatif juga merai pendidik dan yang dididik untuk saling mengajar dan belajar — ditambah lagi dengan wujudnya kesempatan buat kedua-dua pihak untuk mengenal dunia bermain melalui seni; bukan 3M cuma.
Empat bulan empat hari (*masih lagi cenderung berkira-kira hari dan bulan*) menyemai cinta bersama anak-anak tanpa negara, pendidikan alternatif dan seni. Masih kuat untuk terus mendidik (dan bermain) di sini, yang sekolahnya di air tapi impiannya di gunung. Percaya bahawa seni, kreativiti dan kebebasan dapat mengubah masyarakat dengan lebih cepat. Matahari sudah mula layu. Cukup dulu setakat ini cebis-cebisan fikiran. Rahmat buat semua. Selamat berhari raya!