Oleh: AdiHJ
Di kaki langit, seorang (seekor) malaikat sedang berbaring di atas awan sambil bermain telefon pintar. Ketawa berdekah-dekah dek perangai manusia yang dia rasakan lucu. Barangkali, sudah sejam dia di sana, keropok ubi dan air berkarbonat pun sudah mahu habis. Namun, dia tidaklah bosan sangat malam itu. Dia siap bawa power bank. Kalau tidak, jadi macam semalam—telefon pintar habis bateri di awal malam sampai dia bosan, tidur, dan tidak buat kerja langsung sampai pagi.
Malam semakin sunyi.
Dia menguap. “Media sosial sudah semakin bosan, ceritanya itu-itu saja”, bisiknya dalam hati. Tapi dia tidak boleh tidur, nanti majikan marah. Dia masih ingat kawannya, Joni, hampir dipecat sebab tertidur waktu bekerja lima hari berturut-turut. Dia tidak mahu jadi macam Joni. Dia harus bekerja, untuk beli kredit telefon dan makanan.
Jadi dia duduk bersila, merenggang-renggangkan badan, mengibarkan sayap, dan menggeleng-gelengkan kepala agar kekal cergas.
“Bandar ini bosan, mungkin harus beralih ke tempat lain. Kenapa aku ditugaskan di KK? Sudah empat malam di sini, langsung tiada apa-apa yang menarik,” dia mengeluh dan nekad untuk pindah. Dia mengemaskan barang-barang, simpan dalam beg dan bersedia untuk terbang.
Sebelum dia berlepas, terdengar rintihan kecil dari jauh. Suara itu meronta meminta tolong. Tidak memekik, namun seperti dalam keadaan gelisah dan sedang ketakutan.
Malaikat bergegas ke arah suara itu dan sampai ke sebuah lorong yang berbau hanyir dan penuh dengan tikus-tikus berkeliaran. Suara itu datang dari sebuah kotak bersaiz manusia. Di dalamnya, ada seorang budak kecil yang sedang menangis kerana tidak dapat keluar.
Dia bantu budak kecil itu keluar dan memetik jarinya, poof, teddy bear. Dia hulur kepadanya, dan budak kecil itu ketawa gembira dan berhenti menangis.
Budak kecil itu tanya, dia siapa, dan kenapa dia ada sayap. Malaikat terkejut kerana terlupa untuk menzahirkan dirinya sebagai makhluk biasa di hadapan budak itu. “Kalau aku menipu, nanti merit aku akan dipotong,” bisiknya dalam hati. “Aku malaikat, kalau kau tidak beritahu orang pasal aku, aku tunaikan semua apa yang kau mau,” pujuknya. Dia tidak mahu jadi macam Joni, Joni juga pernah hampir dipecat sebab manusia nampak dia dalam keadaan sebenar. Joni ni teruk, jangan jadi macam Joni.
Budak kecil tu mengangguk. Dia mahu makanan dan baju baru. Dengan sekali petikan jari, hajat budak kecil itu tercapai. Satu kegembiraan yang tidak pernah dia lihat di wajah budak kecil itu membuatkan dia turut tersenyum dan hampir berlinangan air mata.
“Betul kau boleh bagi apa saja yang saya mau?” tanya budak kecil itu kepada dia. Malaikat mengangguk, bersemangat.
Budak kecil gembira, dia juga gembira. “Apa yang kau mau? Mainan? Makanan? Cakap saja, semua aku tunaikan.
“Kalau begitu, saya mau mama sama bapa saya,” kata budak kecil.
Malaikat terdiam. Dia tengok mata budak kecil itu. Dalam matanya, jelas terpancar harapan yang tidak boleh dimusnahkan biar sejuta gunung pun datang menghempap. Harapan itulah yang menghidupkan budak kecil ini setiap hari. Memberinya tenaga dan nafas untuk kekal hidup menempuh kehidupan yang gagal. Dan, malaikat tahu, harapan itu datang dengan nilai yang sangat besar dan tiada siapa pun yang mampu membayarnya.
Malaikat tunduk, mengeluh dan memandang tepat ke arah mata budak kecil yang masih lagi menunggu. Dia usap kepala budak kecil. “Esok,” katanya sambil tersenyum. Budak kecil nampak kecewa. Air mukanya berubah.
Dia tunduk. “Janji?”
Malaikat angguk dan kata ya, meminta izin untuk terbang pergi.
Ketika di udara, dia dapat dengar budak kecil itu dari jauh, “Besok saya jumpa mama sama bapa saya, kita tinggal di rumah besar, dan makan makanan sedap-sedap,”.
Malam semakin sunyi dan satu janji bakal tidak ditepati.