Oleh: Farahani R
Kemenangan pasukan Sabah dalam Liga Perdana adalah suatu momen indah untuk warga Borneo. Fakta ini dikongsi-gembira oleh semua, termasuklah saya. Walaupun ketika itu, saya tidak berdiri lencun bersama Ultra Tambadau dan saat mereka dikalungkan gelar juara di Stadium Likas minggu lalu.
Berpusu-pusu mengucapkan tahniah. Menyatakan bangga mereka. Hal ini hal biasa. Namun apa yang luar biasa adalah apabila semakin ramai mendabik dada dengan berkata: “Ah, ini terima kasih pada saya! Kalau bukan sebab saya, Sabah tidak menang.”
Di mana mereka ketika Sabah kalah berturut-turut? Pertanyaan ini tidak harus di sandar pada bahu pemain dan jurulatih semata. Kepimpinan atasan terdahulu perlu menjawab hal ini, bukan sekadar Peter Anthony sahaja. Tidak banyak khabar manis saya dengar mengenai gaya kepimpinan atasan pasukan bola sepak Sabah bertahun-tahun lamanya.
Bina semangat dengan tukar rupa
Rekonstruksi imej maskot pasukan Sabah dari Badak ke Tambadau dahulunya diselar dan dikritik. Mungkin ia suatu hikmah, apabila dikhabarkan badak Sumatera sudah pupus di Sabah. Seladang, atau lebih marhaen dipanggil ‘tambadau’ dipilih. Mungkin ini suatu nafas baharu yang kita perlukan, memutik semangat lawan baharu.
Saya ingat lagi beberapa perlawanan ketika zaman ‘badak’ Sabah di Stadium Likas. Sedikit tentang Stadium Likas, fasilitinya tidak seberapa ‘sihat’ dan tidaklah seluas Stadium Bukit Jalil. Saya masih ingat lagi, berpusu-pusu merusuh masuk para penonton sehingga terlihat perkarangan itu sebagai limpahan manusia pra-kiamat.
Ketika itu, perlawanan menentang Johor Darul Takzim 2. Ramai mahu melihat aksi JDT berbanding aksi Sabah dan pernyataan ini cuma dikongsi senyap oleh bapa saya dan saya sendiri. Ketika itu, kami tidak letakkan banyak keyakinan mahupun harapan bahawa Sabah boleh menandingi JDT2. Hasilnya, kami tidaklah begitu kecewa dengan persembahan para pemain Sabah yang longlai saat diheret ke masa tambahan. Hanya hampir hilang suara kerana turut sama marahkan ‘pengadil teruk’.
Perlawanan kedua yang terpacul di minda kenangan saya adalah Sabah menentang Sarawak. Kali ini saya tidak begitu kecewa. Bukan kerana kurang keyakinan terhadap pasukan Sabah itu sendiri, tetapi kerana ‘Borneo Brotherhood’ – cogan kata yang saya pinjam dari sebuah reka bentuk t-shirt cetakan tempatan. Biarlah kalah, yang penting dengan saudara sendiri. Begitulah semangat persaudaraan warga Malaysia di tanah pantai sebelah barat kepulauan Borneo sendiri.
Pasukan Tambadau bukan calang-calang pemainnya. Barisan pemain muda ini antaranya di senarai pendek untuk diserap dalam skuad kebangsaan. Manakala pemain importnya juga bekas anggota skuad kebangsaan negara lain iaitu Angora dan Turkmenistan. Siap diadakan lagi sesi perlawanan mesra dengan skuad bekas pemain Sabah seperti Matlan Marjan.
Pengajaran dari Matlan Marjan
Matlan Marjan adalah jaguh kebangkitan pasukan bola sepak Sabah. Sebelum JDT dan eksklusifnya kelab bola sepak negeri yang ‘kaya-raya’, Sabah adalah pilihan utama juara padang bola sepak negara. Matlan Marjan (dan beberapa pemain lain) disabitkan salah laku rasuah. Kejatuhan mereka rupanya menandakan kejatuhan pasukan bola sepak Sabah sendiri.
Timbulnya unsur rasuah ini membawa kepada sebuah persoalan yang kritikal untuk ditulis (dan disejarahkan): sejauh mana rosaknya pentadbiran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA)? Khabar kurang manis menerkam hebat setiap pemimpin besar yang pernah memegang kuasa dalam SAFA. Bermula daripada rasuah, percaturan politik sehinggalah mencipta dunia murung buat para pemain.
Tidak dibayar gaji, tidak dijaga kebajikan – suatu kekalahan yang sebenarnya disengajakan akibat ketidakpedulian pihak atasan dalam mengendalikan maruah Sabah sebagai mantan jagoan padang bola sepak. Kekalahan ini dipanjangkan lagi dengan kegagalan penjualan tiket tiap kali musim pertandingan bola di tempat sendiri. Tiada siapa mahu beli tiket untuk lihat pasukan negerinya kalah.
Saya teringat lagi usaha SAFA beberapa tahun lalu untuk adakan ‘strategic partnership’ dengan salah sebuah kedai aksesori baju sukan di Suria Sabah Mall. Saya agak hubungan ini sepatutnya memulihkan sedikit saluran wang masuk untuk dana pasukan bola sepak Sabah menerusi penjualan jersi rasminya.
Namun begitu, tidak adil rasanya jika kita berterusan memperdalam diskusi kerosakan SAFA tanpa bukti relevan. Khabar-khabar angin ini masih tidak cukup ampuh untuk menyabitkan dosa SAFA kepada para pemain bola sepak Sabah ketika era ‘badak’.
Hanya masa yang mampu memastikan perjalanan era ‘Tambadau’, sama ada boleh mendobrak lawannya atau dipijak mati selaku pasukan bukan pilihan menuju ke Liga Super. Kemenangan pasukan bola sepak Sabah semestinya menarik semula hati dan yakin peminat bola sepak Sabah terutamanya untuk kelompok yang asalnya bukan pencinta bola sepak.