Oleh: Syed Ahmad Fathi
Menurut idea Thomas Hobbes, keberadaan sesebuah negara atau pemerintahan adalah bagi memastikan peperangan dapat dielakkan. Hobbes merupakan ahli falsafah Inggeris yang sering dianggap sebagai pengasas falsafah politik moden. Pemikiran beliau ditulis dalam bukunya Leviathan, diterbitkan pada 1651 yang membincangkan formulasi teori kontrak sosial.
Idea Hobbes ini selari dengan idea demokrasi liberal moden yang mengetengahkan idea bahawa tugas negara dan pemerintahan adalah sebagai pengadil, pengawal, yang menjaga kestabilan perlawanan antara kumpulan-kumpulan yang ada dalam setiap negara seperti ahli bisnes, pekerja, wanita, kaum minoriti, imigran, petani, pengguna, dan sebagainya.
Sebagai contoh, projek tambakan laut di Pulau Pinang bagi mencipta tiga pulau buatan. Bagi pihak pemaju yang bakal mendapat projek dan keuntungan semestinya ia merupakan satu perkara yang baik, kerana syarikat mempunyai kepentingan untuk mendapat keuntungan. Oleh itu, ketika ditanya semasa Penang International Business and Investment Summit pada Februari 2019, mengapa perlunya pulau buatan sedangkan masih banyak tanah untuk dibangunkan di Seberang Prai, penolong pengarah urusan Gamuda Berhad, Rashdan Yusof berkata “Perkembangan ekonomi di pulau lebih besar dari Seberang Prai”. Dalam bahasa mudah, ia lebih menguntungkan. Gamuda Berhad merupakan antara syarikat pembinaan terbesar di Malaysia. Pada tahun 2018, Gamuda mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 514 juta ringgit.
Kepentingan syarikat besar ini bertentangan dengan kepentingan nelayan dan pencinta alam sekitar. Bagi nelayan, ia menandakan kemusnahan mata pencarian mereka dan pengurangan tangkapan ikan. Manakala bagi pencinta alam sekitar, ia menandakan kemusnahan alam, kemusnahan habitat semulajadi haiwan laut. Pada 11 Julai 2019, gabungan nelayan dan aktivis seramai 200 orang telah berarak dan menyatakan bantahan di parlimen.
Di sini kita melihat teori Hobbes di mana ada pertembungan antara dua kepentingan, di satu pihak adalah syarikat yang ingin mengaut keuntungan, di satu pihak lain adalah nelayan yang mahu menyelamatkan sumber pencarian dan aktivis alam yang ingin memelihara kawasan alam sekitar semulajadi. Jadi apakah tugas kerajaan? Tugas kerajaan adalah menjadi orang tengah agar memastikan konflik kepentingan ini tidak berubah menjadi kekacauan, pergaduhan, atau peperangan.
Tetapi ada kelemahan dalam konsep kerajaan sebagai pengadil neutral, kerana kerajaan juga mempunyai kepentingan. Seperti banyak perbahasan-perbahasan sejarah oleh sejarawan Howard Zinn, kepentingan kerajaan tidak semestinya sama dengan kepentingan rakyat, walaupun mereka sering menggelar diri mereka sebagai wakil rakyat. Dalam contoh kita berkenaan dengan projek tambakan laut bagi membina tiga pulau buatan, kerajaan negeri mempunyai kepentingan terus dalam projek ini, kerana mereka ingin menerbitkan dana bagi menjayakan projek lain. Jadi adakah kerajaan dapat menjadi pengadil yang neutral seperti yang difahami oleh Hobbesian?