Oleh: Syed Ahmad Fathi
Perintah berkurung disebabkan COVID-19 ini merupakan satu bala dan anugerah pada kita. Bala kepada mereka yang hidup dengan pekerjaan kecil dengan gaji harian yang hilang sumber pendapatan. Tapi kita seharusnya yakin, selepas gelap akan timbul semula cerah matahari, selepas ribut ini berlalu kita akan diberi izin oleh Ilahi untuk kembali membina hidup. Ia merupakan anugerah kepada mereka yang mempunyai bumbung di atas kepala, yang punya keluarga untuk bermanja, dan tidak kurang penting bagi yang mempunyai buku di kedua tangan.
Akhirnya saya selesai membaca Sapiens, yang merupakan buah tangan Yuval Noah Harari, terdapat banyak renungan-renungan menarik, dalam membincangkan sejarah perkembangan idea dan pemikiran, Yuval ada menyentuh berkenaan dengan agama baru Eropah iaitu Humanism dengan kepercayaannya kepada hak asasi manusia, idea liberalisme, juga kepercayaan bahawa apa yang penting adalah apa yang dirasai oleh setiap manusia. Manusia harus dibebaskan dari apa juga kongkongan dan harus hidup mengikut hanya mengikut perasaannya. Kata Yuval, jika agama lain menyembah tuhan, humanist menyembah Homo Sapiens (manusia). Beliau mengkritik hujah bahawa kepercayaan yang tidak membawa kepada penyembahan mana-mana tuhan sebagai bukan-agama, kerana contohnya kepercayaan Buddha tidak menyembah mana-mana tuhan tetapi ia juga dikategorikan sebagai agama.
Situasi kita hari ini, ketika kita sedang dikurung ini, merupakan antara situasi terbaik untuk melihat garis pemisah liberalisme, selama ini mungkin kita banyak membaca perihal ini. Kebebasan merupakan antara tema utama manusia hari ini. Selepas kita bebas dari cengkaman penjajahan dan kuasa kolonial, hari ini kita bercakap perihal kebebasan beragama, kebebasan pasaran, kebebasan pemikiran, kebebasan berpolitik, kita mahu bebas dari setiap aspek dan segi. Seolah-olah kebebasan mutlak itu nanti akan memberikan kita kebahagian yang mutlak. Pengurungan ini membuatkan banyak pemikir idea kebebasan tersentak seketika, tiba-tiba kita tidak bebas lagi bergerak, dan roti Gardenia juga sering habis tanpa sempat kita bebas membeli.
Di titik ini kita mula fahami bahawa semua jenis kebebasan mempunyai batasan, ada garis pemisah, garis pemisah inilah sebenarnya yang selalu diperdebatkan. Bagi fundamentalis dan tradisionalis, garis ini harus dekat dan ketat, bagi yang progresif garisan itu harus dilukis jauh dan longgar. Tanpa garis ini kita tidak dapat mengikat apa-apa struktur, dan tanpa struktur mustahil untuk kita punya masyarakat apatah lagi negara.
Dalam pasaran ekonomi sebagai contoh, ahli ekonomi dari Cambridge, Ha-Joon Chang menulis bahawa tidak wujud apa yang dikatakan sebagai free market atau pasaran bebas. Semua pasaran mempunyai garis-garis dan batas pemisah, kita boleh me-liberal-kan ekonomi sedikit atau sebanyak, tetapi kita tidak mungkin membebaskannya secara mutlak. Beliau memberi pasaran kerja sebagai contoh, di kebanyakan negara hari ini menggunakan buruh kanak-kanak adalah satu jenayah, seratus tahun dahulu ia adalah perkara biasa. Bagaimana jika anak-anak hari ini berdemonstrasi menuntut hak sama rata untuk bekerja seperti orang dewasa? Banyak lagi contoh-contoh yang membuktikan pasaran mempunyai batasan. Ahli ekonomi neo-liberal mengatakan moral tidak boleh menjadi penghalang kebebasan pasaran, jadi tidak ada salahnya jika ubat-ubatan dijual pada harga mahal, harga perlu ditentukan pasaran (supply and demand), bukan moral, bagi yang tidak mampu membeli ubat mereka dibenarkan mati. Tetapi mengapa masyarakat kita menghalang penjualan dadah? Bukankah moral yang menghalang, jika bukan moral apa? Pada 1839, British melancarkan Perang Opium Pertama keatas China diatas nama kebebasan pasaran, British mahu bebas menjual dadah kepada masyarakat China.
Keterbatasan idea liberalisme dan kebebasan tidak terhenti dalam soal ekonomi sahaja. Dalam sudut politik, kita sering membincangkan idea demokrasi sebagai sistem paling unggul yang memberi kebebasan politik pada rakyat. Kata Francis Fukuyama, demokrasi liberal adalah penutup kepada sejarah perkembangan pemikiran politik, ia adalah sistem yang telah sempurna. Di arena antarabangsa, kita melihat Amerika menghantar jet dan bom mereka ke Iraq dan Afghanistan, mereka perlu dibebaskan dan didemokrasikan, mereka perlu diberikan demokrasi yang telah sempurna. Dalam sejarah politik, apabila kita berbicara soal kebaikan, sejarawan Howard Zinn menyuruh kita bertanya soalan seterusnya “kebaikan itu untuk siapa?”.
Demokrasi hari ini adalah untuk rakyat, ia adalah “suara rakyat” dan “mandat rakyat”. Namun sebenarnya demokrasi ini memberi kita kebebasan yang kecil sahaja. Kita hanya diberi kebebasan untuk memilih antara wakil-wakil yang telah dipilih (wakil ini telah dipilih oleh setiap parti, bukan dipilih rakyat) untuk menjadi pemerintah. Dan pemerintahlah (juga disebut kerajaan) yang boleh membuat undang-undang. Ahli falsafah Belgium, Frank Van Dun menamakan situasi ini sebagai democratic absolutism.
Setiap sudut masyarakat mempunyai ‘kementerian’ dan ‘agensi’ yang mengawal, membuat peraturan, dan menguatkuasakan undang-undang. Kita mempunyai kementerian kesihatan yang mengawal ubat apa yang boleh dan tidak boleh digunakan. Kementerian pendidikan yang menentukan jenis pendidikan apa yang dibolehkan, subjek apa yang perlu, apa yang tidak perlu, ilmu apa yang dihalalkan dan diharamkan. Bahkan agama pun dikawal kementerian, apa yang dikira sebahagian dari agama, apa pula yang sesat, bid’ah dan menyimpang. Kita ada kementerian yang menjaga komunikasi, apa yang dikira boleh dipertuturkan, apa yang dikira subversif, bahan bacaan apa yang dibolehkan, dan buku apa yang diharamkan. Jadi apakah maksud kebebasan dalam bentuk demokrasi ini?
Kita boleh berpusing-pusing selama manapun yang kita mahu, namun akhirnya setelah kita pening kita akan berada di kotak yang pertama semula. Cepat atau lambat, kita akhirnya akan harus menerima bahawa hidup ini punyai batasan dalam apa juga bahagian pun. Kita boleh berusaha, berjuang menolak batasan ini sedikit kedepan atau belakang, namun ia akan terus kekal wujud. Dan menukilkan Yuval, kita manusia mempunyai batasan biologi, jangka hayat yang akhirnya akan membawa kepada mati. Namun sebagai manusia, kita boleh memilih untuk hidup sebaik mungkin dalam batasan-batasan yang kita ada. Sekali lagi, dalam batasan kurungan ini, baik sekali jika kita membaca.