Oleh: Hidayu Hatta

Hampir 3 dekad hidup, saya lihat banyak orang hebat-hebat dalam dunia ini sudah melakukan benda-benda besar, yang kebanyakannya hal kebaikan dan manfaat. Sebab itulah mereka diangkat. Kalau dulu, segalanya terasa jauh dan wow. Tapi menjadi dewasa, manusia-manusia ini sebenarnya begitu dekat dan nyata.

Tapi saya orang biasa-biasa. Majoriti kita cuma orang biasa-biasa, menjalani hidup orang kebanyakan, cukup apa adanya. Saya tak ganggu orang dan berharap orang tak ganggu saya. Saya bekerja setiap hari untuk cari makan. Saya tak peduli lagi tentang polisi-polisi, tentang undang-undang, tentang hierarki sekeliling yang kebanyakannya sedang memberi kesan secara langsung terhadap hidup. Ataupun, saya peduli, tapi saya tak berkuasa untuk buat apa-apa (menurut saya).

Tapi bila seseorang yang saya kenali melakukan sesuatu, saya teruja. Saya takjub. Saya terinspirasi. Saya berharap supaya saya boleh melakukan perkara yang sama. Tapi saya cuma berharap. Saya tak buat. Mungkin saya fikir orang tu buat sebab dia mampu, sebab dia ada sesuatu yang saya tak ada. Dia tak ada risiko besar atau tak peduli risiko. Mungkin saya fikir dia tak ada apa-apa yang dikorbankan, atau apa-apa yang dipedulikan. Saya realistik tentang hidup saya. Hidup dia lain, tak sama, tak apa. Tak realistik.

Feudalisme baru. Terbiasa dengan autonomi dan kuasa orang, saya sebenarnya cuma bergantung kepada orang lain untuk selesaikan masalah di sekeliling. Saya biasa berharap dan menghormati establishment. Saya tak ada apa-apa yang boleh ditawarkan. Selagi tidak mengimpak terus dalam hidup saya, cukuplah saya sekadar bersimpati atau terinspirasi. Saya tak terfikir langsung bahawa teman yang sedang berjuang itu sedang mengorbankan dirinya, hidupnya. Dia juga ada keluarga yang perlu dijaga. Dia juga ada cita-cita yang ingin dicapai. Dia juga ada cinta yang ingin dinikmati. Tapi dia berikan dirinya sendiri, demi melihat tak ada yang lain sedang melakukan apa yang dia lakukan melainkan sekadar berinspirasi setiap hari. Atau dia berikan dirinya sendiri sebab tak sanggup melihat masalah yang tak  selesai dan tak diselesaikan.

Saya? Saya terus berinspirasi.

Saya malu dengan diri  sendiri. Saya ada peranan dalam masyarakat. Tapi peranan saya juga sedang memberi saya dan adik-adik makan. Melihat teman-teman yang sedang benar-benar bersentuhan dengan derita masyarakat bawah, tak cukup jutaan terima kasih untuk saya ucapkan buat mereka. Terima kasih kerana sudah melakukan hal-hal yang  tak mampu saya lakukan.

Maafkan saya kerana cuma berinspirasi tanpa menggerakkan tangan dan dua kaki. Maaf kerana hidup realistik tanpa sedar yang kalian sedang mengorbankan realiti demi idealistik manusiawi.

Tapi itulah. Selain bersimpati, saya suka berinspirasi. Sampai matilah saya berinspirasi dengan kerja orang dan bergantung kepada orang lain untuk buat semua benda, sambil saya teruskan hidup macam biasa.

 

Yang mencintai inspirasimu sayang,

BORJUIS GAGALIS

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *