Oleh: Farahani R.
Satu kesyukuran saya panjatkan buat anda jika anda belum menonton rakaman klip video yang asli, memaparkan saat-saat akhir George Floyd hidup di dunia ini. Lebih malang, kematiannya disudahi dengan wajahnya tersembam di muka bumi, di bawah lutut seorang berkulit putih.
Mungkin di Malaysia, kita gagal melihat sebarang corak persamaan sepertimana yang berlaku Amerika. Sudah tentulah; kita tidak berkongsi banyak sejarah dengan mereka khususnya dengan sejarah perhambaan, pergelutan hak dan kuasa antara orang berkulit hitam dan berkulit putih di sana. Di sini, yang berkulit putih diagungkan – tidak kiralah sama ada dia seorang pelancong atau hanya berketurunan kacukan, tetapi pemikiran Asia sudah begitu sebati dengan melukiskan piawai cantik itu pada warna kulit. Colourism, nama ‘penyakit sosial’ ini.
Black Lives Matter adalah ungkapan solidariti buat rakan sekaum warna mereka yang dikasari, diancam, diugut sehingga satu-satunya cara untuk mereka hidup adalah dengan tunduk dan mengelak diri daripada berurusan dengan polis atau orang berkulit putih, jika boleh. ACAB, all cops are bad. BLM dan ACAB amat berkesinambungan dengan protes yang telah dilakukan di 40 bandar utama.
Namun apa yang kita dapat pelajar dari BLM? Pertama sekali, tentang kekasaran polis. Bagi saya, kita takut jujur dengan diri sendiri. Sebagaimana kita tidak berani menganalisis perihal rasisme yang wujud dalam masyarakat kita, kekasaran polis seolah satu rahsia yang tersimpan sendiri. Kekasaran polis sebenarnya pernah direkodkan dalam laporan Human Right Watch pada 2014, dimana kajian mereka lebih jauh dimulakan pada 2009.
Suruhanjaya Diraja pada 2004 menerima sekurangnya 900 aduan terhadap layanan polis terutamanya ketika ditahan, hingga ada yang maut dalam tahanan polis. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diperkenalkan pada 2011 untuk menyelia integriti pihak berkuasa. Tetapi HRW menyatakan agensi yang sepatutnya mengawal-selia pihak polis ini ‘disengajakan’ untuk gagal. Tambahan lagi, tidak ramai yang mengenali EAIC ini sepertimana ramai mengenali SPRM.
“Oh tapi kita tidak sampai merusuh pun”. Betul lah. Saya tidak pernah kata pun kekasaran polis mengakibatkan kita kena merusuh seperti Amerika. Kadangkala reaksi sebegini boleh dikategorikan seperti respon defensif, seakan kanak-kanak baru buat salah. Saya memperaga isu ini sebagai isu pertama, kerana agak penting untuk kita mengakui bahawa kekasaran polis juga wujud, walaupun tidak merentasi spektrum warna kulit.
Tentang polis wajar kasar kerana mereka ‘polis’, itu kerana kekasaran adalah manifestasi akal pada abstrak istilah ‘kekuasaan’. Oleh kerana kita membincangkan perihal kekuasaan sistem dan institusi, polis adalah wajahnya. ‘Wajah’ ini jugalah yang ditentang orang berkulit hitam di Amerika, iaitu apabila polis sendiri tidak lagi dipercayai menjaga kesejahteraan masyarakat, buat apa diturutkan polis? Begitulah fikir mereka.
Kedua, tentang rasisme. Saya pernah berbicara tentang rasisme, dan ia bukanlah suatu fenomena alam. Frantz Fanon, antara pemikir yang saya kira segarang Malcolm X, berkata bahawa fobia terhadap manusia, khususnya berkulit hitam ini adalah jelmaan dari sifat insecurity dari orang berkulit putih itu sendiri. Oleh sebab itu, orang berkulit hitam sentiasa menjadi stereotaip ketidakmoralan seseorang manusia.
Di Malaysia, ramai yang masih berdebat soal affirmative action atau systemic racism apabila kita berbicara soal polisi DEB terdahulu. Yang ini saya harus tangguhkan dahulu sebelum saya mempunyai maklumat yang lebih baik untuk mengulas perkara ini. Tetapi apa yang dapat saya kongsikan adalah berbentuk pemerhatian, dimana perdebatan ini wujud atas agenda kepihakan (mungkin juga kerana rasa bersalah atau rasa keperwiraan).
Dari pihak yang menyatakan DEB adalah affirmative action, selalunya adalah peneguh status quo. Sama ada mereka secara langsung menerima keistimewaan dalam polisi DEB, ataupun mereka bersetuju dengan idea yang sudah lama dipahat dalam buku teks, iaitu Melayu cukup miskin sehingga perlu dibantu dengan tongkat institusi segenapnya. Ia adalah idea yang mudah, tetapi bahaya, kerana ia dilihat berkesan dalam menciptakan masyarakat urban dan kelas pertengahan Melayu semata-mata.
Dari pihak yang menyatakan DEB adalah systemic racism pula, selalunya adalah kelompok yang dimarjinalkan, ataupun yang secara langsung rasa terpinggir dan ketidakadilan kerana secara meritokrasi, mungkin mereka rasa mereka lebih baik dari kaum Melayu di bawah polisi DEB. Boleh jadi juga penentang DEB adalah apologis pada kewujudan kelompok elit Cina yang sudahpun mengawal sektor ekonomi sama ada dengan kerjasama dari elit politik Melayu, ataupun dengan persatuan Cina yang mempunyai hubungan perniagaan antarabangsa. Systemic racism ini membawa konotasi negatif yang berat, sehinggakan berupa tuduhan bahawa jika kita bersetuju, ini bererti kita adalah masyarakat yang teruk.
DEB adalah double-edged sword, kerana buku teks dan dokumen rasmi menunjukkan semua yang manis tentangnya manakala pengkritiknya mempersoalkan pencapaian ekonomi dengan jurang perkauman.
Kemudian yang ketiga pula, tentang bagaimana kita melihat dunia dari Malaysia, menuju Amerika. Saya lihat dalam banyak perkara, ada yang terkeliru tentang ideologi serta prinsipnya dengan pendapat mereka: mereka mampu menulis pendapat yang cukup mantap dan megah, sehinggalah isu itu dikaitkan dengan kekurangan diri (atau masyarakat mereka). Di sinilah argumen mereka jadi kurang kemas dan tampak bias, khususnya buat jauhari yang biasa dengan pasaran idea dan lambakannya dalam dunia pasca-kebenaran ini.
Ada yang begitu gelojoh menyimpulkan segala perkara dengan keadaan sejarah sosial Malaysia, dan ada pula yang salah tanggapan terhadap isu di Amerika. Yang dilihat adalah rusuhan, bukan akar isunya. Yang dilihat adalah bangunan terbakar, bukan mereka yang dipukul di jalanan. Ada juga yang sibuk mengalih kritik demi ideologi yang mereka percaya, mengutip pengikut yang akhirnya jadi sasaran jualan buku. Intelektual peribumi yang lemah adalah intelektual yang tidak berani mengkritik diri sendiri dan berbuat sesuatu yang produktif untuk memperbaikinya.