Oleh: Syed Ahmad Fathi

Buku Sapiens tulisan Yuval Noah Harari menceritakan tentang sejarah perkembangan manusia. Sejarah awalnya diceritakan dalam naratif teori evolusi, siapa yang banyak mendengar debat Suboor Ahmad di speaker corner mungkin susah sedikit menerima naratif ini. Namun ia merupakan naratif penceritaan yang menarik walaupun mungkin kita tidak bersetuju bahawa ia bukanlah satu “kebenaran” yang mutlak.

Bagi Yuval revolusi pertama manusia adalah Revolusi Kognitif, ia memberi kelebihan kepada manusia berbanding mamalia lain untuk naik ke rantaian makanan tertinggi. Haiwan lain juga mempunyai bahasa, tetapi bahasa mereka adalah bahasa mudah yang berkisar tentang dunia fizikal. Kemampuan kognitif manusia membolehkan mereka mencipta realiti khayalan seperti negara, kepercayaan agama, budaya, yang mampu menyusun manusia dalam hiraki yang kompleks. Kemampuan inilah yang mengikat manusia untuk hidup bersama dalam satu sistem sosial.

Revolusi yang kedua adalah Revolusi Pertanian. Yuval membawa teori bahawa bukan manusia yang menjinakkan tumbuhan seperti gandum, sebaliknya gandum yang menjinakkan manusia. Kerana manusia menjaga gandum, menyiram, menanam, membuang haiwan perosak. Dalam teori evolusi keinginan spesis adalah survival dan pembiakan. Maka tumbuhan seperti gandum, dari hanya tumbuhan liar yang tidak signifikan, ditanam dan membiak di sebahagian besar dunia mengalahkan spesis lain. Sementara gandum tetap hidup di luar sesuai dengan sifat tumbuhannya, manusia dijinakkan, dari makhluk nomad yang memburu makanan kepada makhluk yang bertani, duduk setempat di dalam kandang yang dinamakan “rumah”.

Pertanian merubah manusia dari kehidupan nomad memburu kepada kehidupan statik sebagai petani. Perubahan ini juga menghasilkan perubahan sistem sosial manusia. Pertanian membolehkan manusia menghasilkan surplus makanan yang sukar dijana oleh masyarakat nomad, surplus ini mampu menampung peningkatan populasi manusia yang meningkat mendadak. Anak-anak ramai diperlukan sebagai tenaga manual menguruskan ladang. Proses ini menghasilkan masyarakat yang besar yang tidak pernah terlihat dalam sejarah manusia sebelumnya. Kampung kecil menjadi pekan, kemudian menjadi bandar, kemudian negara, seterusnya membentuk empayar.

Peningkatan populasi ini memerlukan sistem politik bagi menjamin kesejahteraan dan koperasi antara manusia yang tidak mengenali satu sama lain dengan intim. Maka kelahiran sistem politik adalah sebagai instrumen menguruskan kehidupan masyarakat. Masyarakat agrarian sering berperang antara satu sama lain, berbunuhan bagi merebut tanah dan sumber asli. Dengan adanya sistem politik, pertikaian antara manusia dapat diselesaikan melalui lunas undang-undang, bukan lagi keganasan. Maka seiring dengan kelahiran sistem dan hiraki politik, lahir juga kod undang-undang bagi menyelesaikan pertikaian, juga wujud institusi kerajaan yang menguatkuasakan penyelesaian yang dipersetujui.

Namun semakin lama, sistem politik ini bukan lagi berfungsi sebagai fungsi asal, iaitu menyelesaikan masalah manusia tanpa unsur keganasan. Walaupun kita hari ini hidup dizaman moden, namun keperluan politik kita telah jauh tersimpang dari matlamat asal politik yang lahir dalam masyarakat agrarian primitif. Hari ini politik diasosiasikan dengan kekuasaan, kemewahan dan kemegahan status sosial. Manakala di arena antarabangsa, politik digunakan untuk menindas negara-negara kecil yang lemah agar mereka dapat terus kekal lemah dan mudah dipergunakan dan ditindas.

Pengajian kita terhadap keperluan sistem politik, perkembangan dan perluasannya seharusnya menjadikan masyarakat moden kita hari ini lebih adil, lebih berkesan dalam mengurus permasalahan manusia, bukan sebagai masalah kepada manusia. Oleh itu seharusnya kita melihat semula perjalanan politik kita, kemana ia dipandu. Adakah ia digunakan untuk menyelesaikan konflik dan masalah manusia atau dieksploitasi sebagai sarana menindas dan memonopoli kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *