‌Oleh: Jefry Musa

Pada hari ini lambakan gelandangan yang terdiri daripada pelarian menyebabkan kita mula menyedari dan memberi lebih perhatian kepada kelompok kelas yang dikenali sebagai ‘nomadic proletariat’.

Pertentangan yang UTAMA pada dunia globalisasi hari ini tidak lagi terlibat cuma antara kelas kapitalis yang berkuasa dan kelas plotetariat tetapi juga antara mereka yang berada dalam sistem/zon selamat (aturan sosial, hak asasi, dll) dan mereka yang telah disisih keluar daripada sistem.

Fenomena ini jelas kelihatan di negeri Sabah apabila tercetus pertentangan antara mereka yang berkewarganegaraan dan mereka yang dinafikan keterlibatan dalam atau sebahagian daripada masyarakat. Penafian ini akhirnya membina satu kelompok masyarakat tanpa dokumen atau dikenali sebagai ‘stateless’ di Sabah.

Jika diteliti dengan lebih mendalam,
kelompok ini tiada bezanya dengan apa yang dikenali sebagai ‘nomadic proletariat’. Mereka bukan sahaja tersisih daripada sistem tetapi tergantung antara dua ruang (seperti zombie, mati dan masih hidup): merasa kesan daripada perkembangan globalisasi tetapi pada masa yang sama tidak berada dalam aturan global.

Keadaan ini tidak sama dengan proletariat yang digambarkan oleh Karl Marx (berada/terlibat dalam sistem/proses produksi). Bagi ‘nomadic proletariat’ terutamanya di negara yang membangun, menjadi suatu perkara yang normal untuk mereka dieksploitasi. Maka keadaan mereka sebenarnya lebih teruk daripada kelas ‘proletariat berkewarganegaraan’.

Bagi seorang buruh Malaysia, mereka masih dilindungi oleh pelbagai akta buruh, mempunyai gaji minimum, tempoh jam kerja, insuran dan sebagainya. Berbeza dengan orang tanpa dokumen, mereka bebas untuk dieksploitasi oleh mana-mana majikan, tiada perlindungan keselamatan dan kesihatan, tidak dapat akses kepada perkhidmatan awam/swasta (bank, komunikasi, pengangkutan, pendidikan dll) dan banyak lagi.

Kita hari ini juga tidak lagi berhadapan secara terus dengan isu eksploitasi buruh, tetapi kita berhadapan dengan satu fenomena eksploitasi yang menjadi suatu suasana yang biasa. Maka tidak pelik apabila berhadapan dengan isu-isu ini, kami bukan sahaja perlu bertembung dengan elit politik dan ekonomi, tapi pertembungan juga datang daripada komuniti setempat.

Kami Mahu Menggugat Sistem bukan ‘Crush’.

Apabila hasil analisis kami mendapati konflik di lapangan lebih rumit daripada apa yang cuba digambarkan  arus perdana, kami mula merangka gerak kerja advokasi yang mandiri. Kami tidak pernah rehat, tidak pernah tunduk untuk berpihak.

Protes senyap kami di hadapan Perdana Menteri baru-baru ini hanyalah satu bentuk perlawanan kami daripada banyak lagi bentuk yang kami gunakan untuk menyampaikan mesej. Kumpulan aktivis kiri yang turun berkempen mengangkat pemerintah baru hari ini seharusnya lebih bersikap bertanggungjawab dengan isu ini.

Malangnya analisis-analisis kelas seperti ini jarang mendapat tempat buat kelompok aktivis ‘kiri’ ini di Malaysia. Apabila kelompok kiri mempunyai lebih banyak masa untuk mengarang ‘tesis’ menganalisis atau menggugat personal seseorang dan bukan sistem, ketahuilah kita sebenarnya bermusuhan dengan kelas pekerja (ditindas). Kita telah meletakkan diri kita terpisah jauh daripada subjek yang kita mahu bangunkan bersama.

Lucu pada masa yang sama ada keinginan untuk melihat satu bentuk kesatuan antara kita, tapi tiada satu pun gerak kerja yang jelas (material) pada masyarakat kelas bawah. Masih juga ‘Tahi Liberal’.

Kami tidak malu atau menyorok-nyorok di balik kata-kata puitis dan jargon apabila berhadapan dengan mana-mana pihak. Kerana kami yakin dan percaya, kami bersentuhan dengan masyarakat kelas bawah (tanpa mengira gender/kaum/agama) dan menjalankan analisis serta kerja-kerja advokasi. Apa yang paling merisaukan kami, sama juga apa yang dirisaukan oleh Slavoj Zizek,

“Melihat orang bodoh yang sedang bergembira.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *