Oleh: Asraf Sharafi 

Syed Hussein Alatas telah bahagikan tipologi rasuah kepada tujuh iaitu rasuah transaktif, rasuah pemerasan, rasuah defensif, rasuah investif, rasuah perkerabatan (nepotisme), rasuah auto genik dan rasuah dukungan (supportive corruption).

Apa yang paling saya terganggu adalah jenis yang terakhir iaitu rasuah dukungan ini. Menurut beliau, rasuah ini tidak semestinya mengharapkan timbal balik atau keuntungan kepada mana-mana pihak tetapi rasuah jenis ini adalah rasuah yang bertujuan mengekalkan aktiviti rasuah yang sedia ada, sama ada untuk melindungi ataupun memperkuatkan lagi rasuah yang sememangnya telah banyak berlaku.

Banyak contoh yang diberikan oleh beliau antaranya ada pihak yang sengaja membuat kacau supaya orang takut keluar mengundi atau proses pengundian tidak berlaku, malah sehingga ke tahap komitmen kerajaan(parti kerajaan) kononnya ingin menegakkan kerajaan bersih sebagai taktik untuk menghadapi pilihan raya umum.

Contoh terakhir ini sangat menakutkan. Ada beberapa inisiatif kerajaan terdahulu (BN) yang seolah-olah ingin menegakkan kerajaan bersih rasuah dengan mengumumkan contohnya, mahkamah khas untuk mengadili kes-kes rasuah. Perkembangan terkini juga kerajaan PH juga telah mengumumkan inisiatif yang sama. Pengumuman ini seolah-olah kerajaan(atau parti kerajaan) bersungguh untuk menghapuskan rasuah namun hakikatnya mungkin tidak sebegitu, malah lebih buruk sekiranya niatnya bertentangan dengan pengumuman yang murni itu seperti contoh yang diberikan oleh Syed Hussein Alatas.

Lebih menakutkan perkara ini mendorong pula kepada jenis rasuah defensif atau rasuah pemerasan (distortive corruption), di mana ada keadaan yang menyebabkan orang tertentu dalam kerajaan menggunakan jawatannya untuk mengugut seseorang dengan tuduhan yang diada-adakan ataupun tuduhan itu sememangnya wujud, lalu orang tertuduh itu membayar sejumlah wang untuk membebaskan dirinya daripada dituduh. Namun demikian, si tertuduh itu hanya membuka kotak pandora untuk dirinya kerana cara yang sama mungkin digunakan berulang kali kepada dirinya bahkan sekiranya terdedah tertuduh tadi ada membayar sejumlah wang, maka ianya menguatkan persepsi bahawa sememangnya dia telah melakukan perkara tersebut.

Ini semua hanyalah teori dan mungkin belum terjadi dalam negara kita. Saya mencoret ini sekadar apa yang terlintas semasa membaca berita ini:

https://www.thestar.com.my/news/nation/2011/03/07/18-special-courts-to-clear-backlog-of-graft-cases/#LAkqr0JvTAA8UEw0.01 

dan ini:

https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/03/20/special-high-court-and-special-appeals-court-to-speed-up-corruption-cases/

Saya juga sangat menghargai setiap inisiatif kerajaan terutamanya institusi seperti SPRM dalam menangani kes-kes rasuah sewaktu kerajaan BN mahupun kerajaan PH sekarang yang telah menggariskan pelbagai strategi dalam NACP . Isu rasuah bukanlah isu yang harus dipandang ringan kerana ianya boleh menyebabkan kemusnahan sesebuah tamadun. Syed Hussein Alatas juga banyak menghuraikan data-data daripada tamadun zaman empayar Romawi, China Kuno sehinggalah ke zaman moden tentang masalah rasuah ini.

Untuk memastikan Malaysia bebas rasuah adalah terletak di bahu kita bersama. Cabarannya adalah sentiasa dari sudut implementasi. Semoga rakyat Malaysia terus teguh melawan rasuah hingga ke akar umbi demi merealisasikan semangat Malaysia Baharu.

One Response

  1. Salam Asraf,

    Saya ingin tanya, bagi rakyat biasa, bagaimana pula dengan peranan orang biasa untuk menangani masalah korupsi sistemik ini? Adakah kita boleh berjuang untuk pembasmian korupsi melalui NGO, lobi, watchdog, etc?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *