Oleh: Nurhuda Manshoor

Misteri yang menimpa orang asli suku Batek di Sg. Koh telah terjawab. Perkara ini mendapat perhatian ramai bukanlah semata-mata kerana kebajikan mereka, tetapi juga kepentingan-kepentingan yang datang bersama mereka. Kematian disebabkan penyakit misteri seperti ini bukanlah satu-satunya yang pernah berlaku di negara kita. Banyak kematian-kematian misteri yang berlaku secara terpencil, yang sampai ke sudah tidak terungkap.

Sebelum ini adik Elbis menghidap penyakit ulser kulit yang tidak sembuh, diikuti penyakit misteri yang tidak terperihalkan sehingga beliau mengalami wasting syndromme yang teruk. Beliau meninggal dunia tanpa mendapat rawatan dan keluarganya tidak pernah tahu musibah apakan yang menimpa anaknya.

Adik Shahriman juga mengalami nasib yang sama. Menghidap penyakit kulit yang tidak sembuh-sembuh, sehingga membawa kematian. Tiada siapa yang tahu apa jenis penyakit, apa kuman yang mendatangkan penyakit tersebut dan kenapa penyakit kulit sahaja pun boleh membawa kematian.

Kondisi penyakit mereka tidak sama, mereka meninggal di atas sebab-sebab yang berlainan, namun terdapat satu persamaan di antara mereka. Mereka mengalami malnutrisi yang teruk.

Malnutrisi bermaksud ketidakcukupan nutrien yang diperlukan oleh tubuh untuk aktiviti seharian. Ini biasanya terjadi akibat kekurangan kuantiti makanan yang diambil atau kualiti makanan yang tidak baik. Malnutrisi bagaimanapun tidak semestinya disebabkan tidak cukup makanan, tetapi makanan yang tidak berkhasiat atau penyerapan nutrien yang tidak efisien.

Punca utama berlakunya malnutrisi adalah ketiadaan bekalan air yang bersih, persekitaran yang kotor, sistem kumbahan yang tidak dirawat, penyakit kronik atau -secara keseluruhannya- kemiskinan.

Bekalan air yang tidak bersih dan persekitaran yang kotor menyebabkan kanak-kanak selalu mengalami cirit-birit dan jangkitan cacing. Ini menyebabkan penyerapan nutrien berkurangan, ditambah pula dengan ketidakcukupan makanan, membawa kepada malnutrisi yang kronik.

Kanak-kanak yang hidup dengan HIV juga mengalami masalah malnutrisi akibat penyerapan nutrien yang kurang efisien.

Kanak-kanak yang mengalami malnutrisi mempunyai masalah fungsi kognitif yang akan memberi kesan kepada proses pembelajaran. Apabila dewasa, mereka berhadapan dengan masalah prestasi di tempat kerja. Wanita yang semasa kecil mengalami malnutrisi berisiko untuk melahirkan bayi yang kurang berat badan.

Terdapat dua jenis malnutrisi utama yang menjejaskan kesihatan dan merencat pertumbuhan kanak-kanak. Yang pertama ialah malnutrisi protein-tenaga, yang disebabkan oleh ketidakcukupan makanan asas dan yang kedua ialah malnurisi mikronutrien, akibat dari kekurangan nutrien tertentu yang diperlukan oleh tubuh.

Malnutrisi protein-tenaga boleh dilihat dari fizikal kanak-kanak tersebut. Tubuh kanak-kanak menjadi terlalu kurus, mengalami wasting syndromme, ketinggian terbantut dan kurang berat badan.

Malnutrisi mikronutrien menyebabkan kanak-kanak sering jatuh sakit kerana kekurangan vitamin dan/atau mineral tertentu yang penting untuk fungsi fisiologi. Mereka sukar untuk pulih dari penyakit, bahkan luka pada kulit mereka juga sukar untuk sembuh.

Penyakit yang biasanya boleh diubati menjadi rumit untuk dirawat pada kanak-kanak yang mengalami malnutrisi. Penyakit seperti demam campak, radang paru-paru, malaria, malah cirit-birit juga boleh membawa maut.

Antara simptom-simptom malnutrisi yang biasa ialah hilang selera makan, selalu letih, kurang tumpuan, selalu kesejukan, dan boleh juga menyebabkan kemurungan. Di dalam kes malnutrisi yang berpanjangan, kulit menjadi kering, nipis, berkedut dan pucat. Rambut menipis, kasar, mudah gugur dan boleh bertukar warna.

Rawatan yang biasa dilakukan untuk menangani malnutrisi ialah menukar jenis makanan dan cara pemakanan. Untuk malnutrisi jenis protein-tenaga, makanan perlu seimbang, mengandungi semua kumpulan nutrisi seperti karbohidrat, protein, lemak, serat dan mineral diberi mengikut sukatan yang diperlukan. Makanan juga perlu diambil mengikut sela masa yang ditetapkan.

Kanak-kanak yang mengalami malnutrisi mikronutrien perlu mendapatkan suplemen seperti vitamin dan mineral tertentu berdasarkan ketidakcukupan yang dihadapinya.

Rawatan iodin yang diberikan kepada ibu mengandung mengurangkan kadar kematian bayi yang baru lahir. Di Malaysia, iodin dibekalkan di dalam garam masakan. Kini ibu mengandung tidak lagi perlu mengambil suplemen iodin.

Susu formula bayi yang diperkaya dengan zink dan zat besi mampu mengurangkan risiko cirit-birit di kalangan bayi.

Sekiranya malnutrisi disebabkan masalah penyerapan nutrien, rawatannya adalah dengan mengambil ubat-ubatan yang memulihkan fungsi penyerapan atau membantu keberkesanan penyerapan nutrien ke dalam tubuh. Kaedah pengambilan nutrien juga boleh disesuaikan seperti secara suntikan atau melalui infusi intravena (IV).

Sekiranya kita melayari internet bagi mencari maklumat tentang malnutrisi, hasil carian akan mengarah kepada negara-negara miskin, kawasan bergolak dan tempat di mana berlakunya bencana alam. Di negara yang kaya dengan hasil mahsul dan aman damai seperti Malaysia, malnutrisi adalah jenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *