Oleh: Jefry Musa
Pada penghujung November tahun lalu, Maszlee selaku Menteri Pendidikan telah mengumumkan, bermula bulan Januari 2019, anak-anak tanpa dokumen dibenarkan untuk masuk ke sekolah milik kerajaan.
Seperti juga soal kolam renang, kasut, 1MDB dalam silibus sejarah, PTPTN, UIAM dan lain-lain, Maszlee adalah juara apabila diberi mikrofon tapi sayang, beliau bukan seorang yang berhikmah. Pada penulisan ini saya akan memberikan pencerahan bagaimana pengumuman ini hanyalah retorik politik yang langsung tidak menyelesaikan apa-apa masalah.
Terdapat tiga perkara yang tidak jelas sepanjang kementerian uk ek uk ek soal penduduk tanpa negara/dokumen di Sabah: –
(1) Apa istilah dan definisi yang digunakan kementerian untuk komuniti ini? Tanpa negara (stateless)/tanpa dokumen (undocumented)/pelarian/pendatang asing? Siapa orang tanpa dokumen yang Maszlee rujuk ini sedangkan di dalam buku peraturan negara kita cuma ada terma warganegara, pendatang dengan izin dan pendatang tanpa izin? Sedangkan, di Parlimen mereka dipanggil ‘pendatang asing’.
(2) Berapa jumlah/angka komuniti ini? Ada menteri kata kementerian tidak tahu, ada menteri kata 400 ribu, ada NGO kata 800 ribu, KDN kata lebih 23 ribu berumur bawah 21 tahun, ada agensi kerajaan kata 1/2 daripada penduduk Sabah, ada kajian kata 1/3 dan 1/5 daripada penduduk Sabah.
(3) Adakah keadaan di lapangan sudah bersedia untuk menerima komuniti ini? Tenaga kerja (KPM, JPN, JKM, KKM dll), infrastruktur, sistem pengurusan dan perundangan, mentaliti/psiko/emosi penduduk warganegara dan komuniti ini sendiri.
Tiga perkara ini tidak pernah jelas, hakikatnya apa yang diumumkan oleh Maszlee itu bukanlah sesuatu yang baru di Sabah. Permohonan bagi Murid Warganegara Tanpa Dokumen (MWTD) ini sekian lama telah berjalan. Tapi, yang kita nampak selama ini daripada pihak kerajaan dahulu dan kini adalah statistik kemasukan murid tanpa dokumen dan yang kita tidak nampak adalah beribu permohonan untuk masuk ke sekolah milik kerajaan.
Saya sangat bersimpati dengan Maszlee dan pegawai-pegawainya. Mereka sangat miskin analisis, pengetahuan dan adab apabila berhadapan situasi di lapangan. Dia dengan yakin dan percaya tindakan ini tidak memberi kesan kepada ruang sekolah yang sedia ada. Sedangkan lebih 50 peratus sekolah di Sabah masih berada dalam keadaan daif.
Tindakan ini sebenarnya tidak menyelesaikan apa-apa masalah, malah menambahkan lagi kesan buruk kepada anak-anak tanpa dokumen. Contohnya, timbul persepsi yang menyalahkan anak-anak tanpa dokumen ini bakal menyebabkan ruang sekolah menjadi sempit, kotor, bodoh, guru tidak mencukupi dan mengukuhkan lagi segala tanggapan negatif yang sedia ada kepada anak-anak yang tidak bersalah ini.
Sedang di Sabah dalam keadaan dilema untuk menerima anak-anak tanpa dokumen ini (majoritinya Muslim), oleh kerana miskinnya analisis oleh kementerian. Maszlee berserta pegawainya menambahkan lagi api kemarahan dengan mengumumkan untuk menambah bilangan guru-guru agama di Sabah bagi tujuan berdakwah. Tambah-tambah lagi, partinya (PPBM) sudah mulai bertapak di Sabah dengan menarik masuk pemimpin-pemimpin daripada parti BN.
Selepas menerima tentangan yang kuat daripada Sabah, masalah ini masih lagi gagal diselesaikan. Kementerian terus berdiam diri. Maszlee sama seperti politikus populis yang lain, dia hanya mahu menjadi populis dan mengambil kesempatan politik dalam isu ini dan cuba menutup mulut-mulut aktivis yang sedang mengkritiknya.
Namun masalah ini tetap tiada jalan penyelesaian. Anak-anak tanpa dokumen tetap menghitung hari untuk mati. Aktivis menghadapi masalah yang lagi besar apabila ramai yang masih percaya selepas pengumuman Maszlee itu, masalah ini telah selesai. Adakah kementerian tidak sedar bahawa kerja-kerja aktivis di Sabah ini bukanlah mahu bermusuhan dengan kerajaan tapi sebenarnya mereka sedang membantu kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya dijalankan oleh menteri?
Ada kisah teladan daripada orang tua kita dahulu supaya jangan mengali lubang tapi berak di tempat lain, walau lubang dikambus taik masih kelihatan. Maszlee hari ini boleh mula belajar tentang cara mencuci najis dengan betul.