Oleh: Hidayu Hatta
Izinkan saya mencatat betapa sakitnya hati saya melihat babak-babak ini.
Kami sampai lebih kurang jam 9 pagi, mengendeng dengan Mukmin dalam perbincangan bersama Pak M. Langit gelap. Perlahan-lahan terkaan kami benar, gerimis jatuh ke bumi yang sedia becak dan basah. Boleh buat kelas hujan-hujan begini? Boleh. Anak-anak tak peduli hujan. Sejak kami mula-mula tiba hinggalah selesai bincang dengan Pak M, masing-masing masih berkumpul di lapangan menanti kami.
Akhirnya kita bentang kanvas biru-oren dalam bangsal kereta seorang jiran yang izin. Tak banyak yang boleh dibuat hari ini. Anak-anak sejumlah hampir 50 orang berhimpit-himpit dalam bangsal sempit – jasa besar seorang manusia. Kita sempat mengajar origami, mengeja beberapa patah perkataan, dan huruf-huruf hijaiyah. Tak banyak kan? Ya. Sangat tidak banyak untuk jumlah sekecil ini dan ruang sebesar ini. Sedangkan mengajar satu ayat saja kita gunakan sampai tiga helai kertas. Itupun tap-tap-tap, air hujan menitik dari atap genting yang bocor, ke atas ubun-ubun atau kertas-kertas.
Bau lecak naik. Mengapung sama bau hamis dan hapak kawasan sekitar; entah bau bangsal atau bau anak-anak. Tadi pagi saya sempat berbual dengan teman kepada ibu teman saya. Beliau bercerita tentang anak-anak yang berkudis dan bernajis di sini, tak diajar tentang kebersihan dan kesihatan. Jadi? Tolak retorik politik dan undang-undang yang sampai beratus orang mampus belum selesaikan masalah, apa natijah tertanggung ke atas pundak anak-anak ini? Kita bukan ada duit. Kita belum ada duit. Tapi kalau tunggu kita ada duit baru mampu menggerakkan semuanya, nah, berapa ramai lagi yang akan mampus dikoyak-koyak penafian akses kesihatan dan pendidikan – dua dulu, yang saya rasa paling memangsakan buat masa ini.
Anak-anak ini tak sekolah. Yang saya tanya rata-rata tak sekolah. Saya dulu juga duduk di rumah setinggan. Selepas peristiwa kebakaran demi kebakaran di kawasan sekitar, kami dapat rumah. Tapi komuniti sini, menanggung duduk di khemah selepas kebakaran demi kebakaran, sekian lama – sampai anak-anak muda mahasiswa melawan mengataskan hak. Seperti apa yang berlaku di sekolah atas kanvas ini sekarang. Idealistik? Setelah hidupmu menghadap derita orang setiap hari, kau sama ada menjadi putus asa atau terpaksa berpegang kepada cita-cita. Buat masa ini, saya sangat percaya kepada cita-cita ini. Siapa boleh sangsi selepas melihat anak-anak ni datang belajar dalam hujan, bersesak dan berhimpit begini, seronok-seronok belajar huruf dan tepuk-tepuk klise yang kita semua tak pernah hargai? Wajah polos yang comot, datang mahukan ilmu. Wah, idealistik. Sangat idealistik untuk dunia serba maju yang syok sendiri.
Dua hari sebelumnya ketika saya mengajar subjek Bahasa Melayu di Sekolah Alternatif Semporna, kami masuk bab ‘Sekolah Saya’. Sengaja saya tanyakan anak-anak, “Sekolah untuk apa?”
“Untuk ilmu!”
“Ilmu untuk apa?”
“Ilmu untuk bakti perubahan!”
Nah! Gila! Siapa bah ajar begini.
Tapi saya tak aneh. Tiga bulan lalu lagi saya pernah terkesima melihat sahabat saya mengajarkan erti merdeka kepada anak-anak. Anak-anak ini tak perlu diajar tentang cita-cita seperti kita, terlalu jauh daripada mereka. Anak-anak ini diajar tentang kemerdekaan diri. Betapa hidup berbakti dan melawan penindasan adalah pembebasan. Dan kita berharap anak-anak di sekolah baru ini akan sama-sama dimaknai pembebasan.
Jam 12 tengahari. Sukarelawan hari ini berkumpul dengan Pak M, berbincang dan bertukar fikiran. Pak M, pakcik tua yang juga tidak ada apa-apa melainkan cita-cita.
“Terima kasih banyak-banyak. Teruskan perjuangan kamu semua, untuk anak cucuku di sini.”
“Aku mahu mereka boleh masuk dalam masyarakat. Tidak cuma duduk di pasar-pasar dan terpisah dari masyarakat.”
Dua bait yang paling saya ingat. Yang tidak boleh tidak, membuatkan saya sebak.
Assalamualaikum. Tulisan saya ini sedang melukiskan babak di negara kita sendiri. Malaysia. Sabah sudah berapa tahun menyertai Tanah Melayu membentuk Malaysia? Takkanlah Hari Malaysia masih lagi retorik kosong untuk kita bangga-bangga negara bangsa sedangkan kita tak pernah peduli pun negeri-negeri terjajah yang tak dibangunkan ni? Sedangkan British pun bangunkan Tanah Melayu masa kolonial, takkan pasca-merdeka ni kita masih fasis hidup menyembah ketuanan dan polisi sebelum manusiawi – walaupun kita dakwa ketuanan dan polisi kitalah yang melindungi manusiawi?
Anak-anak ini tak bersalah. Sesuatu perlu dilakukan.
Hujan berhenti. Langit masih gelap, segelap air laut di sekeliling. Saya pulang dengan sakit hati.
SEKOLAH ALTERNATIF BATU 4 TAWAU.