Oleh: Nurhuda Manshoor
Antibiotik ialah ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria. Antibiotik perlu diambil untuk membantu tubuh melawan sesuatu jangkitan. Kita perlu antibiotik untuk mematikan bakteria yang menyerang supaya badan kita mudah untuk menyingkirkan bakteria tersebut.
Penemuan antibiotik adalah salah satu pencapaian perubatan paling penting pada abad ke-20. Antibiotik telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa dengan membantu tubuh melawan penyakit akibat jangkitan bakteria. Antibiotik juga digunakan untuk mencegah jangkitan di dalam prosedur perubatan penting seperti pembedahan dan kemoterapi.
Antibiotik menentang bakteria dengan beberapa cara, sama ada menghalang bakteria dari membahagi atau terus membunuh bakteria tersebut. Terdapat antibiotik yang bertindak merosakkan dinding bakteria sehingga bocor dan bakteria tersebut mati. Ada juga yang menghalang kemampuan bakteria menghasilkan protein, menyebabkan bakteria tersebut gagal untuk membahagi. Antibiotik tiada kesan terhadap virus.
Antibiotik bertindak secara spesifik terhadap kelompok bakteria tertentu. Contohnya, antibiotik amoxicillin digunakan untuk jangkitan bakteria seperti jenis Streptococcus yang menyebabkan jangkitan pada tekak dan saluran pernafasan dan Enterococcus yang menyebabkan jangkitan saluran kencing. Cephalosporin digunakan terhadap jangkitan bakteria gram-positif dan Salphonamide melawan bakteria gram-negatif (sekadar beberapa contoh). Jadi kita tidak boleh sesuka hati untuk mengambil antibiotik tanpa rujukan dari doktor. Mungkin kita akan makan antibiotik yang salah untuk bakteria yang salah, maka jangkitan tidak berjaya diubati, malah mungkin boleh mengakibatkan kerintangan terhadap antibiotik.
Kerintangan antibiotik berlaku apabila bakteria mampu bermandiri melawan antibiotik mengakibatkan antibiotik tidak lagi berkesan kepada bakteria tersebut. Kerintangan antibiotik adalah masalah yang kian menjadi isu besar dalam sektor kesihatan umum. Kehadiran bakteria rintang antibiotik menyebabkan jangkitan kecil yang kebiasaannya mudah untuk dirawat, menjadi ancaman yang besar dan berpanjangan. Apabila kerintangan antibiotik berlaku, penyakit berjangkit tidak lagi dapat diubati, wabak boleh tercetus dan kematian beramai-ramai akan berlaku. Pembedahan rutin seperti cesarean dan amputasi menjadi sangat berisiko. Luka-luka kecil akibat kemalangan seharian juga boleh menjadi serius dan membawa kematian.
Kerintangan antibiotik diperoleh apabila bakteria bermutasi sebagai cara untuk bermandiri dalam keadaan yang menekan pertumbuhan mereka. Kehadiran antibiotik memberi tekanan kepada bakteria mengakibatkan bakteria berbuat sesuatu untuk hidup di bawah keadaan yang menekan tersebut.
Bakteria mempertahankan diri dari antibiotik dengan beberapa cara. Salah satunya menyebabkan antibiotik tidak lagi aktif. Ada bakteria menghasilkan enzim yang mampu memotong ikatan kimia pada pada struktur antibiotik jenis penicillin dan cephalosporin. Perubahan struktur kimia pada antibiotik menyebabkan ia tidak lagi boleh membunuh bakteria tersebut. Jika kita mendapat jangkitan dari bakteria jenis ini, sebarang antibiotik dari kumpulan penicillin dan cephalosporin tidak boleh digunakan sebagai rawatan lagi.
Sebahagian lagi bakteria mengubah tapak aktif mereka. Tapak aktif adalah protein di mana tempat antibiotik bertindak ke atas bakteria. Oleh kerana tindakbalas protein adalah sangat spesifik, apabila tapak aktif ini berubah (struktur dan bentuk), antibiotik tidak lagi boleh bertindak. Strategi ini telah dilakukan oleh bakteria Stapylococcus aureus menghasilkan MRSA (methicillin-resistant Stapylococcus aureus) yang sangat ditakuti. Apabila dijangkiti bakteria ini, pesakit akan diasingkan di bilik khas di hospital, pengumuman akan dilakukan kepada semua perawat kesihatan agar berhati-hati dan mengambil langkah kawalan jangkitan yang sepatutnya. Pakaian khas juga digunakan oleh jururawat dan doktor yang menguruskan pesakit.
Strategi yang paling biasa dilakukan oleh bakteria ialah dengan menghasilkan efflux pump. Pam ini adalah satu injap yang menolak keluar antibiotik yang memasuki bakteria sebelum sempat antibiotik tersebut bertindak terhadap mereka.
Di Malaysia, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2015, kejadian TB (Tuberculosis) adalah 89 setiap 100,000 penduduk, HIV (0.27), malaria (1.9) dan hepatitis B (99). Kemunculan dan penyebaran bakteria rintang terhadap antibiotik biasa, di semua kawasan geografi sangat menjejaskan keberkesanan rawatan penyakit ini. Dalam satu laporan baru-baru ini, WHO memberi amaran bahawa “kadar rintangan yang sangat tinggi telah diperhatikan dalam bakteria yang menyebabkan jangkitan penjagaan kesihatan yang biasa dan jangkitan masyarakat, contohnya jangkitan saluran kencing dan pneumonia, di semua wilayah WHO “. Kerintangan antibiotik menjejaskan semua negara tanpa mengira kekayaan, kualiti rawatan perubatan dan tahap pembangunan sesebuah negara.
Apabila bakteria telah berjaya melawan antibiotik yang dicipta untuknya, antibiotik baru perlu dihasilkan. Oleh kerana tindakan antibiotik adalah spesifik terhadap bakteria tertentu, setiap bakteria perlu dilawan dengan antibiotik berlainan, maka banyaklah jenis antibiotik baru perlu dibangunkan oleh saintis. Kajian untuk menghasilkan antibiotik baru memakan masa yang lama dan kos yang tinggi. Dengan segala kepakaran saintis dan teknologi perubatan yang ada hari ini, satu antibiotik memerlukan 8-12 tahun untuk dibangunkan, memerlukan kos berbilion ringgit. Bayangkan jika ada berpuluh-puluh jenis bakteria yang telah berjaya merintang antibiotik yang ada hari ini.
Amalan pengambilan antibiotik ketika tidak perlu adalah penyumbang terbesar pada kemunculan bakteria rintang antibiotik. Contoh pengambilan antibiotik ketika tidak perlu ialah apabila mendapat jangkitan virus. Kurang kesedaran orang ramai mengenai sifat dan keberkesanan antibiotik juga merupakan halangan. Ramai orang percaya bahawa antibiotik berkesan terhadap selesema biasa, tetapi sebenarnya tidak. Antibiotik tidak berkesan untuk menangani flu, selesema, kebanyakan sakit tekak, sinusitis, kebanyakan jangkitan telinga dan demam biasa. Kebanyakan jangkitan tersebut adalah akibat virus yang tidak akan dapat dimusnahkan dengan antibiotik.
Kita selalu dinasihatkan untuk menghabiskan semua antibiotik yang diberikan oleh doktor walaupun sakit telah reda. Tidak menghabiskan bekalan antibiotik yang diberikan juga menyumbang kepada kerintangan antibiotik. Bakteria yang sedikit tertinggal dalam tubuh akan kembali membiak dan menyebabkan jangkitan semula. Jadi pengambilan antibiotik terpaksa diteruskan untuk jangkitan kali kedua dan seterusnya. Pengambilan antibiotik akan lebih lama meningkatkan lagi kebarangkalian untuk mutasi kerintangan antibiotik berlaku pada bakteria.
Setiap kali pengambilan antibiotik, ia menyediakan ruang tekanan bagi mutasi bakteria berlaku. Bakteria yang sensitif terhadap antibiotik akan mati, tetapi bukan semua. Terdapat sebilangan kecil bakteria yang mungkin lemah, sakit, tetapi tidak mati. Bakteria yang terselamat ini akan bangkit dan mencipta beberapa strategi bagi merintang antibiotik untuk kemandirian kehidupan mereka. Tanpa ancaman dari antibiotik, bakteria ini akan tumbuh dan membiak dengan lebih mudah.
Dengan kepantasan bakteria membina kerintangan, kajian saintifik yang paling maju pada hari ini tidak akan sempat menghasilkan antibiotik baru untuk menangani kepelbagaian bakteria yang memiliki kerintangan ini. Tanggungjawab kita sebagai pengguna amat penting untuk mengelakkan kerintangan ini dan menangani masalah jangkitan dan wabak yang berbahaya dan boleh membawa kematian.
Penggunaan antibiotik dengan bertanggungjawab bukan sahaja penting untuk kesihatan kita, tetapi juga masa depan kesihatan global, terutama untuk golongan yang paling terdedah dalam masyarakat – orang tua, bayi, orang yang menghidap penyakit kronik, serta penyakit berkaitan sistem pertahanan badan. Apabila wabak penyakit berlaku, golongan yang paling terkesan ialah masyarakat yang hidup dalam kemiskinan, di mana keadaan persekitaran yang tidak bersih akan meningkatkan kadar jangkitan, ditambah pula dengan rawatan kesihatan yang terhad.
Mesejnya mudah, “Dapatkan nasihat dari profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan sebelum mengambil antibiotik.”