Oleh: Farahani R.
Keberjayaan sesebuah gerakan sentiasa diukur secara numerikal; berapa peratus efisiennya? Berapa peratus untungnya? Berapa peratus ruginya? Berapa A dia dapat? Berapa murid dia tolong? Jawapan daripada soalan-soalan ini akhirnya dilampirkan, dibentang dan kemudiannya dibukukan menjadi rujukan masa depan (kalaupun dirujuk oleh manusia, dan bukannya habuk).
Untuk seseorang yang tidak bijak matematik, saya tidak memahami nombor-nombor ini. Saya mengenali ramai yang bijak matematik; sama ada sudahpun bertemu kebenaran hidup di sebalik nombor ataupun yang cepat mengaplikasikan entah formula dari mana-mana untuk menghasilkan sebuah jawapan yang diyakini pasti.
Di minda saya, gerakan tidak semestinya (dan tidak sepatutnya) harus diukur semata-mata dari nombor. Di minda saya, sesebuah gerakan perlu dinilai daripada ciri dan sifat, falsafah dan prinsip, nilai dan pengaruhnya pada masyarakat.
Di minda saya, setiap gerakan wajib ada tiga perkara: intelektualisme, ideologi dan idealisme. Sudah pasti bukan saya seorang saja yang terfikir perkara ini. Dr. Siddiq Fadzil misalnya pernah mengungkapkan perkara yang sama dalam diskusi membicarakan konsep gerakan; hanyalah beliau menyebut ‘aktivisme’, sebagai tanda penentu kejayaan gerakan itu adalah melalui tindakan.
Di minda saya, setiap gerakan wajib ada perkara pertama: intelektualisme. Bahkan Revolusi Perancis yang dipuja Barat juga ada para intelektual di belakangnya. Reformasi 1998 yang menghantui 2018 juga ada para intelektual di belakangnya. Semua gerakan perlu ahli intelek di dalamnya, sama ada ia bekas mahasiswa (organic intellectual), para pensyarah dan pekerja profesional (traditional intellectual) ataupun petani yang rajin mendengar dan membaca buku (rausyanfkir).
Kemudiannya, setiap gerakan perlu ada perkara kedua: ideologi. Gagalnya sebuah gerakan sosial ialah apabila mereka tiada ideologi. Perkara yang sama boleh kita telusuri dalam PAS sebelum masuknya Dr. Burhanuddin al-Helmy. PAS seringkali dianggap sebagai anak buangan atau anak tiri daripada UMNO, sedangkan pada waktu itu, PAS tidak lahir kerana semangat politik Islam (seperti keadaan kini). PAS lahir sebagai alternatif gerakan sosial yang boleh dianggotai oleh Melayu Muslim, yang tidak mempunyai ideologi yang cukup ampuh dan jelas. Tanpa Dr. Burhanuddin, PAS barangkali tidak menjadi sebuah parti arus perdana Islam yang besar seperti sekarang.
Perkara ketiga: idealisme. Aspek ini merupakan aspek yang paling mudah hilang. Berbanding kedua-dua aspek sebelum ini; seseorang intelektual pasti ada mazhab pemahaman atau ideologi yang mengaris-sempadan dirinya dengan intelektual lain. Idealisme, disebut dalam bahasa masyarakat lambak, sebagai ‘cita-cita’, ‘matlamat’, ‘visi’. Sepertimana yang kita selalu baca di belakang buku nota sekolah, atau di dinding mural sekolah dahulu; visi dan misi sentiasa dilihat semacam kita cuba merenung angin lalu. Bagaimana mencapai ‘iltizam yang tinggi’? Bagaimana mencapai ‘manusia yang seimbang’? Sangat abstrak.
Daripada prinsip triniti ini, kebanyakan gerakan aktivisme mati kerana tiadanya ideologi. Terima kasih dengan perkembangan pendidikan kita yang agak maju dan keadaan sosiopolitik kita yang stabil, intelektualisme dan idealisme itu seolah-olah bekal makanan murid darjah 1 yang baru masuk sekolah – penuh, secukupnya. Kita sebenarnya mempunyai ramai intelektual yang idealis, meskipun ramai bertanya, “di mana intelektual kita, di mana intelektual kita, di mana intelektual kita”, saya anggap mereka sendiri tidak mengerti apa itu intelektual.
Ideologi, bagi saya, ialah suatu yang berbahaya. Dipegang oleh pemimpin korup, ia menjadi suatu racun berbisa yang mereputkan belulang jiwa manusia. Dipegang oleh pemimpin syurga, ia menjadi suatu kemanisan pahala yang lebur dari syurga Tuhan. Ideologi tidak terhad dari segi apa-apa jalinan kata dengan ‘-isme’; komunisme, sosialisme, pluralisme, liberalisme. Ideologi boleh diluaskan pada tafsiran ke atas agama untuk membentuk sandaran konsep pemahaman agar memudahkan proses rasionalisasi tindakan. Contoh paling ketara, kaedah ‘pencucian minda’ yang digunakan oleh ahli pengganas. Mereka biasanya memanipulasi apa yang kita paling ingini, lalu menyalurkannya pada jalan ideologi yang mereka miliki. Sebab itulah, manusia yang paling bahaya ialah manusia yang tidak mahu apa-apa dalam dunia. Mereka tidak boleh dipengaruhi, tidak berguna sebagai alat mencapai sesuatu.
Sesebuah gerakan yang tiada ideologi seperti layang-layang yang tiada angin. Ia cuma duduk, menatapi langit biru yang lapang dadanya. Saya melihat gerakan-gerakan ini runtuh bukan kerana kurangnya intelektual, tapi kerana ketiadaan ideologi bererti tiadanya sesuatu yang boleh dipercayai, diyakini, diangkat bersama. Hakikatnya, kita tidak boleh mempercayai apa yang tertulis di sebuah dinding bercat tebal dengan ‘visi’ dan ‘misi’ tanpa suatu nilai prinsip utama yang boleh diangkat. Seburuk-buruk kapitalisme, ia tetap suatu prinsip yang memandu para kapitalis untuk terus kompetitif.
Namun begitu, adalah suatu kesalahan untuk segera memburu mana-mana ideologi untuk ditampalkan menjadi prinsip utama sesebuah gerakan. Ia juga suatu kebodohan, jika kita segera mengimport masuk para intelektual (sepertimana mudahnya lompat parti dalam arena politik) dalam gerakan. Ia juga suatu kesengsaraan, jika kita terus membina angan idealisme sepertimana Mat Jenin. Asas gerakan ialah ‘kebersamaan’. Asas gerakan ialah ‘kesatuan’. Asas gerakan ialah ‘perpaduan’. Asas-asas gerakan wajib menyeberangi apa-apa perbezaan yang mungkin terbit dari anggota-anggota gerakan. ‘Rambut sama hitam, hati lain-lain’. Di antara ketiga-tiga aspek ini, nilai peribadi mereka perlu sesuai dengan apa yang diperlukan oleh sesebuah gerakan. Mereka perlu sedia, setia dan sanggup. Nilai ini memisahkan anggota yang berkualiti, dan anggota yang goyang kaki.
Akhirul kalam, saya tinggalkan ruang ini untuk para pembina gerakan, pemerhati, pembaca yang peduli: pembentukan gerakan sosial yang kukuh sentiasa datang daripada keyakinan komuniti dalaman organisasi, untuk mempengaruh keyakinan komuniti luar organisasi. Tanpa intelektualisme, gerakan boleh terbabas dari jalan rasional dan logik. Tanpa ideologi, gerakan boleh hanyut dibawa mana-mana isu yang boleh ditumpangi dan dilawani. Tanpa idealisme, gerakan hanya sekadar organisasi tanpa arah dan matlamat, tidak berpijak pada konteks perubahan yang dicitakan.