Oleh: Syed Ahmad Fathi
Bagi saya secara peribadi, antara kriteria kebagusan sebuah buku itu adalah ia menyebabkan kita berhenti sekejap ketika sedang membaca, kerana ia memaksa otak kita berhenti membaca kemudian berfikir berkenaan apa yang diperkatakan, dalam bahasa Inggeris disebut to ponder. Biasanya ia akan terjadi secara automatik, buku boleh menyebabkan kita termenung sedih, termenung terinspirasi, atau termenung disebabkan seribu satu emosi yang lain. Buku Yuval Noah Harari yang bertajuk Sapiens: A Brief History of Humankind bagi saya mempunyai banyak seksyen yang memaksa otak saya melakukan perlakuan ini.
Jika anda pernah membaca buku tulisan Barbara Tuchman yang bertajuk The Guns of August, ia mengisahkan permulaan Perang Dunia Pertama, seluruh penulisan itu hanya menceritakan kisah perkembangan pada satu bulan sahaja iaitu bulan Ogos 1914, dari keputusan untuk memulakan perang sehinggalah kemaraan tentera British-Perancis yang menghalang penguasaan German ke atas Perancis. Buku tersebut adalah pensejarahan berbentuk mikro atau a snapshot of history. Buku Yuval ini pula adalah berlawanan dari pensejarahan Tuchman, iaitu pensejarahan yang berbentuk makro, iaitu sejarah dari manusia pertama hingga ke manusia yang masih hidup pada hari ini, iaitu sekitar tempoh mungkin 100,000 tahun.
Tentulah cubaan Yuval ini merupakan satu cubaan yang besar, untuk mengumpulkan sejarah manusia sepanjang 100,000 tahun kedalam 498 helaian kertas hampir mustahil. Dan sudah tentu dia harus memilih apa yang penting, dan meninggalkan apa yang tidak penting, yang merupakan dilemma para sejarawan. Setiap sejarawan terdedah kepada bias dalam menentukan apa itu “penting” dan apa yang perlu disejarahkan.
Saya mula membaca buku ini sebelum virus baru corona diberi nama COVID-19, dan hari ini ketika Malaysia sedang cuba mengekang penularan virus ini sehingga terpaksa mengerahkan polis dan tentera untuk memastikan homo sapiens di Malaysia kekal duduk di dalam rumah masing-masing, saya sudah menghampiri 75 peratus dari keseluruhan buku ini.
Antara perkara yang menarik yang dibincangkan oleh Yuval adalah perubahan sistem kehidupan manusia. Bagi beliau perubahan dari masyarakat memburu yang hidup terpisah antara satu sama lain kepada masyarakat pertanian yang duduk bersama dalam satu kampung tidaklah semuanya positif. Kerana antara lain, ia mendedahkan mereka kepada penularan wabak dengan mudah. Melihat perkembangan ketamadunan dari sudut makro, Yuval menceritakan bagaimana sebelum ini manusia hidup terasing dalam dunia mereka sendiri. Bumi didiami oleh pelbagai dunia. Perkampungan kecil di Scandinavia sebagai contoh tidak pernah tahu kewujudan perkampungan kecil di hujung Sungai Merbok, mereka hidup dalam dunia masing-masing, tidak pernah berinteraksi. Sekiranya seluruh kampung di Scandinavia penduduknya mati diserang wabak, penduduk di hujung Sungai Merbok akan keluar menanam padi seperti biasa, mereka tidak akan tahu atau terkesan.
Revolusi demi revolusi, dari Revolusi Kognitif, Revolusi Pertanian, Revolusi Perindustrian, Revolusi Sains, mengintegrasikan kampung-kampung dunia sehinggalah hari ini kita hidup dalam satu kampung global (global village). Dimana peristiwa yang berlaku disatu kampung di satu bahagian dunia boleh mempengaruhi satu kampung lain di bahagian yang lain. Sebagai contoh, pada tahun 2010, Pastor Terry Jones ingin menganjurkan acara membakar Al-Qur’an di Florida, ini menyebabkan berlakunya rusuhan di Afghanistan dan Pakistan. Jika Terry Jones hidup 1,000 tahun yang lalu, tiada siapa di Afghanistan dan Pakistan yang kisah apa yang ingin dia lakukan, manusia akan hidup seperti biasa.
Tetapi tidak hari ini, apa yang kita lakukan hari ini boleh dan akan memberi kesan kepada manusia yang hidup di negara dan kontinent yang lain. Buku tulisan seorang homo sapien bernama Thomas Friedman, The World is Flat merupakan antara buku yang baik jika kita hendak mengetahui betapa berintegrasinya dunia kita pada hari ini (jangan risau, buku beliau bukanlah perihal ideologi Flat Earth). Ambil sebuah komputer riba sebagai contoh, chipnya mungkin dihasilkan oleh kilang di Israel, perisiannya dibangunkan oleh syarikat di Amerika, skrin komputer dibuat di kilang di Taiwan, logam-logam untuk membuat elektronik komputer pula digali oleh buruh kanak-kanak di Afrika, syarikat komputer tersebut beroperasi di Jepun, akhirnya semua komponen dibawa oleh kapal yang dipandu oleh kapten berbangsa India dan anak kapal berbangsa Filipina ke China untuk pemasangan. Ya, kita hari ini hidup dalam satu kampung global, saling memerlukan, saling berinteraksi, dan saling memberi kesan kepada satu sama lain. Tidak hairanlah jika seorang homo sapien di kampung di Wuhan, China yang memakan haiwan liar boleh memberi kesan kepada homo sapiens tabligh di Sri Petaling, Malaysia pada hari ini. Walaupun secara kasarnya, mereka saling tidak mengenali, tidak pernah berjumpa, berbeza agama dan bangsa, dan mungkin juga bersarapan dengan menu sarapan yang berbeza.
Kita tidak tahu bilakah wabak ini akan berjaya dikawal di negara tercinta ini, sementara petugas-petugas kesihatan mempertaruhkan nyawa mereka menyelamatkan negara, marilah kita patuh kepada arahan pihak keselamatan dan memberi kerjasama terbaik pada mereka. Kita perlu meninggalkan sebentar politik kepartian, dan menumpukan segala usaha untuk membendung wabak dan menyelamatkan nyawa di masa krisis ini. Elok kita ambil masa duduk di rumah ini membaca buku-buku yang menarik dan mencerahkan minda.