Oleh: Dr Fatimah Salim
Harini saya ingin kongsikan bagaimana kita sebagai ibu boleh membentuk selera makan anak-anak agar mereka memperoleh nutrisi yang sepatutnya dan di masa yang sama, tidak perlu paksaan.
Menjadi ibu yang suka memasak dan dianugerahkan pula anak-anak yang cerewet telah memotivasikan saya menjadi seorang yang kreatif dan inovatif dalam menyediakan menu masakan. Konsep yang selalu saya terapkan ialah ‘situasi menang-menang’ (win win situation) antara saya dan anak-anak. Maksudnya di sini, objektif saya tercapai dalam memastikan anak-anak makan apa yang dimasak tanpa paksaan dan di masa yang sama, mereka mendapat nutrisi yang sepatutnya.
Lumrah anak-anak yang sedang membesar bersikap cerewet dalam bab makan. Ini kerana mereka berada dalam fasa pembentukan peribadi, mempelbagai penerimaan deria rasa dan belajar memilih apa yang mereka suka. Mana-mana yang mereka tidak gemari, akan seboleh mungkin dielakkan. Pun begitu, kita sebagai ibu haruslah memainkan peranan dalam membimbing, melentur dan mencorak fasa kritikal ini agar mereka mampu bertoleransi dalam menimbang-tara ‘rasa’ dan ‘kebaikan’ makanan yang diambil untuk kesihatan luaran dan dalaman mereka kelak. Demi mencapai matlamat ini, jalan yang paling praktikal ialah melalui tauladan baik yang kita tunjukkan agar tidak ada ruang untuk terbentuknya sikap cerewet ini.
Pada kebiasaannya, untuk hidangan yang lengkap kita akan menyediakan satu menu berkarbohidrat iaitu nasi, satu menu berprotein sama ada ikan, daging atau ayam, dan satu lagi menu berserat seperti sayur. Namun disebabkan tekstur, rasa, cara masakan dan mungkin pengalaman lepas merasai masakan yang kurang digemari menyebabkan anak-anak agak liat untuk menerima dengan rela hati. Tambahan pula kanak-kanak pastinya belum pandai untuk mencampurkan menu-menu tersebut secara manual untuk mendapatkan rasa sebati yang sedap semasa mengunyah.
Pun begitu, sebagai ibu kita hendaklah berfikiran jauh dalam menjangka karenah anak-anak yang bakal kita hadapi agar usaha kita tidak sia-sia. Melalui pemerhatian, saya boleh simpulkan beberapa karenah anak-anak saya seperti; tidak suka mengunyah makanan berprotein yang liat dan bersaiz besar, tidak gemar dengan tekstur rasa bawang dan sayur, memilih makanan yang sedap sahaja, dan tidak tahan pedas. Mereka sangat bijak menjawab memberikan justifikasi tentang keengganan mereka memakan masakan saya (walaupun kadang-kadang agak menjengkelkan, maklumbalas mereka ini sangat penting untuk penambahbaikan dalam masakan saya).
Sepengalaman saya, nasi goreng antara menu yang tidak pernah menghampakan untuk menepati kehendak citarasa anak-anak ini. Cara menyediakan nasi goreng yang mampu memberikan rasa sebati dan bernutrisi:
- Pisahkan nasi menjadi butir-butir agar perasa senang diserap. Elok guna nasi yang sejuk dan kurang kanji.
- Pilih sayuran yang tidak memberikan bau terlalu kuat seperti lobak merah, kacang buncis, atau kailan. Potong sekecil mungkin agar senang dikunyah dan teksturnya kurang terasa.
- Makanan berprotein juga potong kecil-kecil terutamanya daging. Ikan boleh goreng terlebih dahulu, baru pisahkan dari tulang dan potong kecil-kecil. Daging ayam juga potong menjadi saiz yang tidak memerlukan usaha lebih untuk dikunyah.
- Kebanyakan kanak-kanak tidak menggemari tekstur bawang, namun menambahkan bawang dalam nasi goreng mampu menyeimbangkan rasa makanan. Maka, cincang halus bawang dan goreng garing sederhana untuk meruapkan bahan kimia sulfur yang terdapat dalam bawang ini.
Bagi menghasilkan nasi goreng yang sedap dan seimbang, saya juga menggunakan secukupnya pati ayam yang semestinya mengandungi MSG. Selain daripada melazatkan makanan, penggunaan MSG juga meningkatkan selera makan seterusnya menggalakkan pengambilan nutrisi terutamanya bagi golongan kanak-kanak yang cerewet ini.
MSG mengandungi komponen ion glutamat yang bertanggungjawab kepada rasa ‘sedap’ makanan yang dirasai pada deria umami lidah. Semua makanan yang kita rasa sedap ialah disebabkan kehadiran glutamat ini sama ada secara semulajadi atau ditambah dengan perencah luar. Kajian menunjukkan kesan tindakbalas kerjasama (umami synergy) antara MSG dengan dua lagi struktur kimia protein iaitu necleotides inosinate (IMP) dan guanylate (GMP) yang terdapat dalam makanan berprotein mampu meningkatkan rasa umami kepada 15 kali ganda. Interaksi ini juga mampu membaiki proses penghadaman makanan berprotein dalam perut. Memotong bahan-bahan campur yang dipilih dengan saiz kecil juga memudahkan anak-anak mengunyah dengan baik seterusnya menambah bantu dalam proses penghadaman.
Kepada yang masih lagi ragu-ragu dengan MSG, boleh baca artikel tentang mitos MSG di pautan:
https://www.facebook.com/100000727466295/posts/2255175987849961?sfns=mo
Harus diingatkan bahawa kesan ‘placebo’ memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan harian kita. Placebo merupakan tindakbalas bahan kimia dalaman badan yang selari dengan apa yang kita fikirkan dan harapkan dengan penuh KEYAKINAN. Maksudnya di sini, kesan placebo ini boleh menjadi positif atau negatif. Dan dalam konsep makanan ini ialah makanan yang sedap, nutrisi diperolehi dan hati juga berasa senang. Hati yang senang ini akan meninggalkan memori yang baik dalam diri anak-anak untuk terbuka mencuba lagi makanan yang mereka rasakan sedap tadi.
Semoga bermanfaat!
Nota kaki: Gambar di bawah ini ialah antara koleksi nasi goreng untuk anak-anak yang masih tersimpan dalam galeri HP.