Oleh: Farahani R

Seminar Etnosains Melayu, Serdang.

Galak mataku melihat iklan yang melintas berani di skrin Facebook. ‘Etnosains’. Istilah yang asing buatku yang tinggal jauh dari Serdang. Dalam pengalamanku bertembung-tembung dengan istilah campuran begini; ‘etno’ itu barangkali bermaksud etnik manakala sains… adalah sains. Jadi disimpulkan, itu adalah sains etnik. Suatu istilah yang dijenamakan sedikit gah.

Kebetulan pada masa itu, aku sedang mencapai impian kecilku untuk menjejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Impian kecil yang aku simpan ini juga banyak dibina dari hasil abu pengorbanan kewangan dan tanggungan dari awal tahun.

Jujurnya aku tidak pernah menyertai seminar. Seharusnya sebagai syarat aku bergraduasi dalam ijazah Sarjana, aku harus pertama sekali, membentang kertas kerja di seminar. Memandangkan perjalanan Sarjanaku masih lagi mencucuk kakiku dengan kerikil tajam, maka peluang seminar ini boleh membuka mataku mengenai perjalanan suatu seminar yang paling dekat.

Kebetulan yang sama, kawan kembaraku ke Kuala Lumpur ini adalah barisan pengkaji sejarah maritim, khusus pada pembinaan perahu lepa. Sepatutnya hujung bulan April ni, dia harus ke Regatta Lepa di Semporna. Pesta Air, kiranya. Lalu aku panjangkan cadanganku menyertai seminar tu padanya kerana salah satu kertas yang dibentangkan adalah tentang pembinaan perahu tradisional. Manalah tahu membantu.

Perjalanan kami ke Kuala Lumpur bukanlah suatu perjalanan yang terlalu menyenangkan dan tidak juga terlalu memudaratkan. Kami agak bersedia dengan dugaan-dugaan yang timbul; seorang pasangan kembara yang baik adalah orang yang percaya dan yakin dengan kebolehan masing-masing. Aku percaya dengan dia, dia pun percaya dengan aku.

Kepercayaan ni membawa kami ke Serdang. Sebuah universiti kajian (rasanya semua universiti awam di Semenanjung Malaysia adalah universiti kajian) yang terletak tidak jauh dari stesen komuter. Kepercayaan ni juga memerlukan kami membayar yuran RM20. Suatu harga yang berbaloi dari segi penyediaan makanan.

Ranting ilmu yang dibentang ternyata tidak langsung mencerap nama Borneo. Sepanjang seminar, kami berdua cuma melihat diskusi ilmu antara seorang pengkaji Melayu terhadap pengkaji Melayu yang lain. Pengkaji Melayu dalam maksudku, yang mengkaji tentang keilmuan Melayu. Ada juga seorang pembentang bertaraf Dr. berbangsa Cina dari Universiti Tunku Abdul Rahman.

Sudah tentu aku pun yakin dengan manfaat hasil pembentangan mereka. Dr. Alinor misalnya menanam minatku pada etnomantik, sehingga aku beli sebuah buku yang khas membicarakan tentang etnomantik di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka ketika di PBAKL. Lain masa, akan aku telaah jua.

Akan tetapi, aku dan kawanku menyoal diri sendiri. Apakah perbualan ketamadunan Melayu ni hanya melangkaui wilayah Thailand, Semenanjung Malaysia, Indonesia, Madagascar dan Singapura? Jika ya, itu satu kebingungan untuk kami sebagai pengkaji Borneo. Diketahui umum bahawa Borneo juga sebahagian daripada Kepulauan Melayu. Namun adakah beban pengkajian Borneo itu hanya ditumpukan pada warga pengkaji dari universiti awam Sabah dan Sarawak?

“Tapi aku fahamlah, ini tempat dorang”
“Tempat dorang, budaya dorang, cara dorang dengan ilmu tu”

Kawanku mengangguk. Mungkin kita tidak akan dapat mendapati langsung nama Tanah Melayu dalam seminar Borneo. Mungkin kita tidak akan mendapati langsung nama Thailand dalam seminar Borneo. Mungkin kita tidak akan mendapati langsung nama Eropah dalam seminar Borneo.

Dari sudut hati kecilku, aku menolak realiti ini. Mana mungkin seminar Borneo akan bebas dari menyebut ‘Tanah Melayu’ jika orang membentangkan mengenai politik Sabah dan Sarawak. Mana mungkin seminar Borneo akan bebas dari menyebut ‘Bugis’ tanpa ada tautan akal bahawa Bugis juga wujud di Tanah Melayu. Mana mungkin seminar Borneo boleh menyebut Magellan tanpa ada kaitan dengan pelayaran sepanjang lautan Kepulauan Melayu yang diangkat oleh orang Melayu (juga Tanah Melayu).

Urat otak membakar: adakah Borneo tidak boleh berdiri tanpa Tanah Melayu? Kalaulah kita mengecil-kecil-kecilkan skopnya, ada kemungkinan pemisahan tersebut dapat dilakukan sebagaimana yang kami hadiri di Serdang. Seolah-olah Borneo tidak pernah wujud. Seolah-olah Borneo bukan Kepulauan Melayu. Seolah-olah Borneo hanyalah satu figmen, satu baris fakta dalam lautan ombak Melayu-Melayu-Melayu.

Etnosains. Ni Etnosains. Etnosains yang sepatutnya dimasukkan juga mengenai Borneo. Bukan setakat Tanah Melayu atau mana-mana tanah yang beridentitikan Melayu. Borneo adalah Borneo; ini bukan fakta Malaysia. Sejak Tunku Abdul Rahman dan dekad melintasi cepat ke titik kemasukan parti kerajaan BN-UMNO (yang asalnya dari Tanah Melayu) ke kancah politik Borneo, fakta Borneo=Borneo sudah terpadam. Pembinaan bangsa diselarikan dengan silibus pendidikan yang pada mulanya sangat berorientasikan isu dan konflik Tanah Melayu.

“Kau OK?
“Ya, OK.”

Kami menyambung kecelaruan ini dalam minda masing-masing. Di mana silap pengkaji Borneo? Di mana kurangnya usaha kami? Etnomantik; aku percaya jika aku tidak temukan langsung nama Borneo di dalam mana-mana kajian dalam bidang ini (ah, sangat pesimis!). Bidang etnomantik secara asasnya (sepertimana yang aku faham dalam pembentangan Dr. Alinor) adalah mengenai pemikiran, logik satu-satu bangsa. Aku suka dengan pemikiran, jadi etnomantik haruslah menjadi salah satu tumpuanku dalam carian Google kelak.

Perlukah aku marah-marah sebenarnya? Ya. Aku harus marah kerana Borneo tu termalap kedudukannya pada korpus pengkajian Melayu. Aku harus marah kerana usaha tersebut tidak rancak sebagaimana rancaknya para pengkaji Melayu di Malaya. Aku harus marah kerana selama ini, aku hanya sibuk dalam tempurung Borneo sehinggalah di landasan perdana atas tanah universiti awam yang bergeran mahal ini; Sabah dan Sarawak masih seolah-olah masih agak muda atau dengan bahasa kasarnya, ‘primitif’ untuk dimasukkan dalam pengkajian Melayu.

Pergerakan intelektualisme kita agak lembap, sebenarnya. Kita, dalam maksud aku, pengkajian Borneo. Tidak ramai yang ingin benar menyusahkan diri bergaduh dengan pakar-pakar dari Malaya khususnya dari segi kreativiti mempelbagaikan ilmu. Lihat; ‘etnomantik’, ‘etnosains’… aku tidak pernah mendengarkan ini dari zaman aku dalam ijazah Sarjana Muda. Jika ia cukup popular, aku akan pasti pernah mendengarnya kerana aku agak cenderung ambil peduli soal bidang-bidang baharu tambah-tambah lagi mengenai pemikiran.

Apalah aku tahu, kan? Aku cuma idealis-realis yang sayang pada bangsanya. Bangsa Borneo. Jika harus kita pisahkan Borneo dengan Melayu, aku tiada masalah. Yang penting orang Borneo harus ada kuasa ilmunya sendiri yang boleh memisahkan ciri kebudayaan Melayu dengan Borneo.

Setakat ini, aku seringkali merujuk bangsa Borneo dengan jajaran sejarah peradaban Melayu. Kalau begini keadaannya, aku tidak rasa aku akan begitu berminat untuk mengangkat bersama jati diri Melayu Malaya dengan Borneo. Biarkan saja orang Borneo meminjam teras ilmu Melayu untuk kami sadur-bina-bentuk korpus pengkajian mantik Borneo dan kami boleh membangunkannya perlahan-lahan tanpa kalian. Ia akan payah, tapi ia berbaloi jikalau ini bermaksud kami sudah ada teras ilmu yang pelbagai seperti anda.

Lihat. Kami juga ada akal. Kami juga inovatif. Kami juga berupaya. Sama ada kita membangun bersama, atau kita membangun berasingan. Aku tidak akan meninggalkan Borneo sepertimana kalian tidak akan meninggalkan Malaya.

Perjuangan Sabah, Sarawak tidak harus berhenti setakat pembangunan infrastruktur dan Perjanjian Malaysia 1963. Perjuangan Sabah, Sarawak harus bermula peduli mengenai pembangunan ilmu yang lebih deras, berani dan kreatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *