Oleh: Farahani R.

Berbanding usaha Anthony Milner yang mengertikan ‘kemelayuan’, penelitian terhadap keMalaysiaan seharusnya lebih mudah kerana batasan waktu dan ruang yang sudahpun ditetapkan. Malaysia yang merangkumi kepelbagaian kaum dan agama, meraikan kebudayaannya yang pelbagai sejak 1963. Ini hakikat kemasyarakatan, yang mana tidak semua dituntaskan mengikut pemaknaan politik apabila mereka cuba mengertikan konsep negara bangsa Melayu Malaysia.

Sebenarnya wacana ‘keMalaysiaan’ ini sudah lama, dan benarlah dalam tulisan seorang idealis muda Muhammad Hafez Darwis yang disiarkan dalam Neon Berapi, ia adalah suatu proses. Namun proses tersebut tidak hanya datang sesudah PH bangkit. Proses peMalaysiaan ini sudahpun berjalan dalam sejarah pembinaan negara.

Kita dapat melihat proses ini sudahpun bermula dengan penyatuan entiti politik, bermulanya jati Melayu sebagai suatu puncak kesedaran politik dari Burhanuddin Helmi. Ideanya mendahului zaman, dimana Melayu dan Islam itu diseiringkan, lalu akhirnya memperkasa PAS sebagai suatu lawan UMNO yang utuh.

Dari UMNO pula, kita melihat kesedaran politik masyarakat harus berdiri dalam konsep Melayu. Tetapi konsep kaum semata-mata tidaklah sekuat pergandingan ideologi agama dalam pemikiran kebangsaan. UMNO berdiri atas pengaruh elit politik dan ahli keturunan raja dan pembesar yang dihakis sedikit sebanyak melalui campur tangan British dahulu. Maka UMNO terpaksa belajar dari PAS, memacak ideologi baharu dalam arus kesedaran politik Tanah Melayu.

Zaman Ketuanan Melayu

Kesedaran politik ini kemudiannya berkembang, dan semakin pekat ‘Ketuanan Melayu’ itu dengan tujuan mengabsahkan kuasa politik Melayu agar terus mendominasi pentas kepimpinan. Tetapi ini cuma latar politik. Hakikat sebenar masyarakat lebih kompleks dari ini. Sebahagian Melayu mengertikan ‘ketuanan Melayu’ dengan berlainan rupa; ia boleh jadi satu tanggungjawab yang ‘membangkitkan’ identiti, satu panggilan halus bahawa Melayu boleh maju, menyentak maju Melayu agar lebih garang.

Ketika itu, Cina dan India diletakkan dalam satu dunia yang berasingan dalam sudut pemikiran politik Melayu. Adapun seorang dua diambil dan diletakkan mengetuai sebahagian dari institusi pentadbiran sebagai satu “appeasement” dalam rekod sejarah kelak. KeMalaysiaan kini dibulatkan jadi 3 kaum. Ketika ini, Borneo disenyapkan. Apa yang ada di Borneo itu hanya terpapar sebagai hiasan, hutan dan mungkin seorang Melayu (jikalau Borneo tidak membantah).

Naratif ini adalah naratif utama dalam kebanyakan penulisan sejarah pembinaan bangsa di bawah panji bendera darah keris Melayu. Untuk mengekalkan kuasa politik pemerintahan elitis, identiti Melayu-Islam itu diteguhkan keras. Dr. Mahathir lebih terkehadapan kemudiannya, memakai tidak hanya ‘ketuanan Melayu’, tetapi turut menyembamkan identiti Melayu agar jatuh semula dalam kanta mikroskop penjajah dengan tuduhan “Melayu malas”.

Melayu malas vs Melayu Baru

Beliau konsisten menukar identiti Melayu sebagai kesedaran politik yang garang pada kaum lain, menjadi garang kepada diri sendiri. Bagi saya, ini adalah satu istilah yang bersifat double-edged sword. Ramai memetik buta retorik “Melayu malas”, melupakan peristiwa Dr. Mahathir yang mengisi pula identiti Melayu tersebut kepada “Melayu Baru”. Transisi Melayu malas kepada Melayu Baru adalah abstrak pemikiran Malaysia moden.

Kebangkitan mahasiswa juga selalu dikuburkan sejarahnya, paling tidakpun, hanya dianggap suatu kebetulan zaman: zaman kebangkitan identiti dunia ketiga sejak 60-an (termasuklah semangat tajdid). Anwar Ibrahim adalah sosok berkarisma yang menangkap perhatian Dr. Mahathir. Corak ini diulangi semula dengan kebangkitan Syed Saddiq ke pentas politik sebelum PRU-14. Saya berfikiran dalam banyak-banyak pemuda yang ditemui oleh Dr. Mahathir termasuklah Jufazli Shi Ahmad, Syed Saddiq mungkin lebih senang untuk dibentuk. Azmin Ali pula sekadar kuda hitam (dark horse) yang introvert.

Bagaimana dengan identiti Cina dan India? Pengalaman mereka terpendam dalam sanubari, mencari identiti Malaysia dalam Melayu, mencungkil ideologi fikir dari luar Malaysia untuk memikirkan Malaysia. Otherness yang tercipta dari dikotomi Melayu/bukan Melayu memunculkan pemikir bukan Melayu (dan Melayu berpandangan Barat), melarikan diri dari makna Melayu yang regresif. Sebahagiannya tidak kembali lagi dengan ilmu mereka.

Anwar, Najib dan Melayu

Anwar Ibrahim adalah sosok yang kuat dan pembawa idea-idea baharu yang memungkinkan retorik Melayu superior itu luntur. Dalam istilah yang digunakan oleh orang sayap kanan: “terhakis”. Sudah tentulah ini juga menjadi kebimbangan ramai ahli politik kerana mereka tidak dapat menawarkan retorik baharu selain dari “Melayu-Islam”. They had nothing new to offer.

Najib Razak pula adalah figur pemimpin yang secara strategiknya berjaya dibunuh watak politiknya dengan pelbagai kes rasuah dan skandal pembunuhan berprofil tinggi. Najib Razak adalah pemimpin yang baik, sebenarnya. Namun beliau gagal mengawal tindak tanduk mereka yang berada di sekelilingnya, memudahkan persepsi negatif yang mencekik imejnya sebagai seorang individu, tidak lagi hanya sebagai orang politik.

Kejayaan PH menumbangkan panji Melayu-Islam adalah suatu yang menakjubkan. Namun apa maksudnya? KeMalaysiaan tidak bermula sejak PH memerintah. KeMalaysiaan sudah lama bertapak dalam cerita rakyat, tidak terlihat dalam pentas politik saja. Rasisme yang membarah, ditunjangi oleh ahli politik yang rasa makna yang keluar daripadanya lebih penting.

Menelusuri sejarah politik secara ringkas, identiti Melayu itu masih wujud dalam jiwa golongan sayap kanan yang terpengaruh dengan idea Melayu sebagai kuasa politik dominan berbanding ingin berkongsikannya sama rata dan sama penting. Kerana itulah, bangkangan utama ke atas PH adalah naratif semangat Melayu terhakis.

Bagaimana keMalaysiaan wujud: persoalan lain

Kemenangan PH dulu juga menimbulkan beberapa persoalan. Pertama, adakah kemenangan tersebut disebabkan propaganda anti-Najib Razak semata-mata? Kedua, adakah kemenangan ini adalah tanda baharu pemikiran generasi baharu yang sudah muak dengan retorik Melayu-Islam dan ketakutan terhadap “penghakisan”nya? Kedua-dua persoalan ini seolah meletakkan kita dalam satu persimpangan.

Saya berpendapat, jika kemenangan tersebut hanya berjaya kerana propaganda anti-Najib dahulu; apa jadi apabila Najib tiba-tiba meninggal dunia? Adakah propaganda tersebut ditujukan kepada Zahid Hamidi lagi, atau Bung Mokhtar, atau mana-mana pemimpin yang cukup lemah untuk ditumbangkan, namun cukup besar impaknya pada sokongan dan persepsi rakyat?

Dalam persoalan kedua itu pula, adakah kemenangan itu bererti paradigma belia kini tidak lagi tersekat dalam jalur perkauman? Dengan kualiti pendidikan yang diterima dan akses kepada sumber media alternatif, anak muda kini lebih kritikal dengan kerajaan berbanding ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih tua. Bagaimana jika generasi anak muda baharu mulai menolak politik perkauman? Saya lihat PN kini tidak terlalu bergantung lagi dengan ‘Melayu-Islam’, selepas PH membuktikan retorik Melayu-Islam tidak mendakap lagi keseluruhan jiwa rakyat.

Politik perkauman adalah suatu yang meloyakan. Politik perkauman tidak menyelesaikan banyak masalah dan cabaran yang dihadapi negara. Politik perkauman beroperasi dengan budaya ketakutan dan budaya memuja ‘keikhlasan’ sesebuah kaum. Identiti seharusnya menyatukan semua: keMalaysiaan. Pemikiran perkauman tidak relevan lagi untuk dipraktiskan arusnya, sebaliknya harus ditemukan jalan tengahnya antara identiti dan sifat superioriti.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *