Oleh: Syed Ahmad Fathi
“Inc danke dir fur all das Gute und Liebe und Schone” adalah ungkapan yang paling saya ingati ketika membaca diari yang ditulis oleh gadis berusia 13 tahun, Annelies Mary Frank yang membawa maksud “Terima kasih Tuhan, untuk semua perkara yang baik dan disayangi dan cantik”. Walaupun hidup terkurung di bahagian atap kecil bersama keluarganya, dan akhirnya ditangkap tentera Nazi dan dibunuh, ternyata Anne Frank masih mampu menghargai sisi-sisi kebahagiaan kehidupan dalam situasi yang penuh kegelapan.
Apa relevannya membangkitkan diari Anne Frank dalam artikel ini?
Jika anda pernah membaca diari Anne, anda akan dapati beliau menulis berkenaan dengan perkara biasa seperti perasaan marahnya terhadap ibunya, aktiviti memotong kentang, pandangan beliau berkenaan dengan peperangan yang sedang berlaku, dan beberapa perkara peribadi yang lain. Ia adalah diari harian. Ia adalah perkara-perkara biasa manusia dalam kehidupan harian. Jika kita duduk dalam situasi Anne, kita juga akan merasakan bahawa apa yang kita tulis tidak signifikan. Tetapi Anne terus menulis, sehingga hari dia ditemui dan ditangkap oleh tentera Nazi bersama keluarganya.
Anne terbunuh di Kem Konsentrasi Bergen-Belsen, German pada tahun 1945. Ayahnya Otto Frank cuba beberapa kali untuk menerbitkan diari anaknya bagi merialisasikan impian anaknya yang telah mati untuk menjadi penulis, namun beberapa kali ditolak penerbit. Akhirnya ia diterbitkan pada tahun 1947 di Belanda, 1950 di Perancis dan German, 1952 di Britain dan Amerika Syarikat, dan 100,000 naskah berjaya dijual di Jepun. Diari beliau masih dicetak sehingga ke hari ini.
Perkara yang ingin saya bawa adalah, apa yang anda tulis hari ini yang mungkin anda rasakan tidak signifikan, tidak berguna, dan tidak dihargai, kemungkinan akan menjadi naskah literatura penting bagi masyarakat akan datang. Anda mungkin menulis berkenaan dengan kehidupan harian di kampung anda yang terpencil di Sabah, 100 tahun lagi kampung anda mungkin sudah tidak wujud dan naskah tulisan anda akan menjadi bahan sejarah yang penting.
Menulis di blog, Facebook, web dan sebagainya adalah permulaan yang baik. Jika anda konsisten, setelah beberapa tahun, penulisan anda boleh dikumpulkan dan dibukukan. Kenapa perlu dibukukan? Bukankah apa yang ada di internet akan kekal selamanya?
Tidak, apa yang anda tulis di internet tidak dijamin kekal selamanya. Sebelum kewujudan Facebook, Friendster dan Myspace adalah antara laman sosial terbesar dunia, namun kemudian ia hilang bersama dengan kandungannya. Tidak mustahil Facebook juga akan hilang dengan peredaran zaman. Bahkan Google, sebuah syarikat gergasi juga telah menghentikan laman sosial mereka, Google+ pada April 2019. Jika syarikat gergasi seperti Google juga mampu gagal, tidak mustahil portal, domain, atau url lain juga mampu gagal dan hilang satu hari nanti. Sebab itu pembukuan masih relevan.
Sekiranya anda menerbitkan buku di Malaysia, anda boleh mendapatkan International Standard Book Numbering (ISBN) secara percuma. Antara syarat yang perlu dipenuhi apabila mendapat ISBN adalah menyerahkan 5 naskah buku ke Pusat Penyerahan Terbitan Negara di Perpustakaan Negara Malaysia. Serahan ini adalah wajib melalui Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331).
Akta ini mewajibkan penerbit menyerahkan bahan yang diterbitkan dalam negara kepada Perpustakaan Negara Malaysia melalui Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Bahan-bahan yang diterima ini dijadikan sebagai koleksi negara yang dapat mencerminkan warisan intelek, kesusasteraan, kebudayaan serta ilmu dan kebijaksanaan manusia yang terkumpul. Konsep penyerahan secara undang-undang telah diamalkan sejak dahulu lagi melalui Straits Settlements Book Ordinance 1886, FMS Book Enactment (F.M.S Cap 90) 1916, Preservation of Books Ordinance 1950 dan Akta Pemeliharaan Buku 1966.
Bahan yang diterima dibawah Akta 331 ini akan disimpan satu naskah sebagai koleksi negara, dua naskah untuk Pusat Rujukan Malaysiana, dan dua naskah disimpan di dua pusat penyimpanan luar sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku bencana. Jadi tulisan anda akan terpelihara secara fizikal pada buku-buku yang dibeli oleh pembaca, juga dengan simpanan oleh Perpustakaan Negara. Ia akan dikatalogkan bagi memudahkan carian dan rujukan.
Jadi, menulislah dan terbitkanlah penulisan. Anda adalah penyumbang kepada sejarah panjang kemanusiaan!