Oleh: adiHJ
“Menulis puisi itu seronok.” Kata entah siapa di dalam mimpi saya beberapa hari lalu. Yang saya tahu, dia orang tua berbaju putih dan berjanggut tebal. Yang saya yakin, dia bukan wali atau jelmaan setan atau Gandalf atau Dumbledore apatah lagi A. Samad Said.
Selepas terjaga, kata-katanya itu buat saya berfikir, apa yang trigger saya untuk mimpi dia? Sampai kata-katanya itu umpama wahyu yang menyeru saya untuk membaca buku puisi. Dan sepertinya berdosa sekiranya saya tidak menunaikannya.
Teori saya, sekiranya menulis puisi itu seronok, sudah tentu membaca puisi juga akan menjadi seronok. Kan?
Jadi, saya capai buku Memintal Bintang-Bintang Pagi tulisan Hidayu Hatta. Berharap menemukan jawapan. Selembar demi selembar, puisi demi puisi, diksi demi diksi, huruf demi huruf.
Tidak ditemui. Saya gagal. Atau, buku ini yang gagal. Maaf.
Kemudian, buku SM Zakir, Perjalanan Sang Zaman.
Hampir. Tapi masih gagal.
Kemudian saya capai kitab hitam, Beats Poet—Everymen’s Library Pocket Poets. Koleksi beat poets yang menggabungkan para pemuisi hebat luar negara. Jack Keruac, Allen Ginsberg dll. Saya baca puisi Mexican Loneliness, tulisan Keruac. Saya tersentak. Tidak dapat berkata apa-apa. Bulu tengkuk meremang. Engkau harus tahu, ada tiga jenis puisi di dunia ini. Pertama, bila kau baca, kau tidak merasai apa-apa, meh~. Kedua, bila kau baca, kau secara automatik kata “dang!”, “peh!”, “macam sial!” dsb. Dan ketiga, bila kau baca, kau terdiam, jadi bisu, seluruh tubuh kau merasakan ada sesuatu yang harus dilepaskan, tapi tidak berupaya. Puisi itu saja sudah cukup buat kau meremang, dan pada waktu itu, kau tahu ianya sempurna.
Saya masih lagi tidak berpuas hati, saya mencari puisi lain. Hujan dan Memori, tulisan Saut Situmorang. Perasaan yang sama sewaktu saya membaca puisi Jack Keruac. Sederhana, tulisan Pak Sapardi. Juga perasaan yang sama. Rindu, tulisan Jack Malik. Juga perasaan yang sama.
Kemudian saya diam, merehatkan mata, menarik nafas. Mengharapkan kesemua puisi yang sudah saya baca tadi membawa saya mencari jawapan.
Kegelapan membawa saya merentasi memori lampau.
Beberapa tahun yang lalu, saya merasai keseronokan dalam menulis puisi. Dapat menulis sepuluh malah boleh mencapai dua puluh puisi sehari. Tiada sekatan, tiada paksaan, tiada ish, padam, ish, padam. Pure happiness. Tulis sampai habis bateri telefon. Tulis sampai orang watsap kau tanpa henti bawa kau lepak. Tulis sampai kau sudah tidak tahu apa benda yang kau mahu tulis. Kau tulis puisi bukan sebab kau perlu nyatakan sesuatu. Kau tulis puisi bukan sebab kau tengah marah. Kau tulis puisi bukan sebab kau tengah gembira. Kau tulis puisi bukan sebab kau sedih. Kau tulis puisi sebab tangan kau tidak berhenti menulis. Otak kau tidak bersetuju kalau kau rehat. Dan hati kau bersorak dengan gendang dang dang dang.
Bagi saya, inilah keseronokan menulis puisi.
Dan, kemudian kau dicemari dengan kritikan, paksaan, pujian dan cemuhan. “Kau harus guna lebih banyak diksi bombastik”, “metafora is overated”, “jangan baca karya klasik, kita hip, baca karya moden”, “puisi kau kabur”, “apa yang cuba kau sampaikan ni?”.
Semua pencemaran itu mengganggu proses penulisan, penghayatan dan mengurung ilham kau jauh-jauh dalam infiniti.
Jadi apa yang perlu kita buat? Seperti apa yang Maester Aemon kata kepada Jon Snow, “Kill the boy, and let the man be born”. Kau harus mati dan hidup kembali menjadi seorang penulis yang lebih hebat daripada sebelum ini. Sebab ramai pengkarya yang terpaksa melalui era ini. Bermula dari ada, menjadi tiada, lalu menjadi ada semula. Malah, ada yang menjadi tiada (dalam konteks ini, ketiadaan idea, putus ilham, atau lebih teruk, karya menjadi sampah) dalam tempoh masa yang lama, ada yang tiga tahun. Kemudian menjadi ‘ada’ semula, menjadi pengkarya yang matang. Dalam konteks penulisan puisi, karyanya lebih hidup, lebih bertenaga, mencanak-canak. Seperti Adajiwa yang menulis satu rangkap berbulan-bulan. Seperti kata Pak Samad, menulis puisi itu sesuatu yang sangat sukar. Seperti manuskrip puisi A.G.I yang berlembar-lembar. Dan ternyata, menghasilkan puisi selepas menjadi nihilis, kau akan membentuk kepercayaan, jati diri, identiti dan idiosinkrasi kau. Dan kau akan lebih menghargai puisi kau selepas ini.
Atau, kenapa perlu mati kalau boleh bersatu dengan ilham? Kan, yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi?
Begitulah.
Berikut merupakan kata-kata motivasi yang kau boleh cedok dan tampal di dinding bilik.
Berseronok-seronoklah dalam menghasilkan puisi, kerana keseronokan itu akan sampai juga kepada para pembaca. Menulislah dengan rasa, jangan memaksa, nanti binasa. Dan, bak kata adajiwa, kau tulis saja.