Oleh: Syed Ahmad Fathi

Baru-baru ini Sungai Petani, Kedah berjaya menembusi berita antarabangsa, namun mungkin bukan diatas sebab yang kita boleh banggakan. Sungai Petani merupakan antara tempat sasaran tapak pembuangan sampah plastik dari syarikat-syarikat dari Itali hasil siasatan Greenpeace seperti yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Al Jazeera. Menurut Greenpeace, Sungai Petani mencatatkan 30 peratus peningkatan terhadap masalah penyakit pernafasan hasil pembakaran sisa plastik. Perkara ini bukanlah perkara baru, selepas China menghentikan pengimportan sisa plastik pada tahun 2017, Malaysia adalah antara destinasi perlupusan sisa plastik dunia.

Beralih kepada masalah plastik domestik. Sebesar mana industri plastik Malaysia? Penghasilan produk plastik merupakan industri pembuatan yang paling rancak dalam sektor pembuatan di Malaysia menurut laporan Bernama pada November 2019. Dalam tempoh 9 bulan pertama sahaja bagi tahun 2019, nilai dagangan industri plastik adalah sebanyak RM19.76 billion. Disini kita dapati satu paradoks, satu disconnect, di satu sudut kementerian lain berkempen untuk mengurangkan penggunaan plastik, di satu sudut yang lain kementerian lain mengembangkan industri plastik. Buat apa dikembangkan jika dikempen untuk dikurangkan penggunaan?

Ini adalah mitos utama pencemaran plastik, iaitu kita dapat mengurangkan pencemaran plastik melalui kempen, melalui pengurangan penggunaan, dan melalui kitar semula. Namun hakikatnya, dan akhirnya, kita tetap akan menggunakan plastik setiap hari.

Jika benar kita mahu menghentikan penggunaan plastik dan pencemaran plastik, adalah dengan kita menghentikan pengeluaran plastik. Ini adalah sebab terjadinya masalah ini, ini adalah puncanya, jika puncanya tidak kita selesaikan, kita sebenarnya melakukan kempen yang sia-sia, membazir duit, masa, dan tenaga. Kempen-kempen itu tak lebih dari sekadar mahu menyedapkan hati, kononnya kita sudah buat “sesuatu” walaupun sebenarnya “sesuatu” itu adalah sia-sia. Adakah kita sanggup hilang RM19.76 billion dari kitaran ekonomi negara? Jika jawapannya tidak, kita perlu sedar, apabila bumi ini tercemar, dan manusia sakit dan mati, RM 19.76 billion itu tidak akan membantu kita. Apa guna kekayaan ekonomi tanpa manusia yang boleh hidup untuk memanfaatkannya.

Masalah kita bukanlah juga pada teknologi. Pelbagai teknologi dan inovasi telah sekian lama ada dan sedia digunakan untuk menggantikan plastik. Pelbagai material yang boleh lerai telah ada di dalam makmal-makmal kajian universiti. Persoalannya kenapa ia tidak dikomersilkan? Perkara ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melindungi industri plastik sedia ada. Ketakutan kita untuk memusnahkan industri yang sedia ada dan berpindah kepada industri yang lebih lestari. Namun kita harus ingat, bukan kita sahaja yang hidup di bumi ini. Jika kita gagal manfaatkan peluang yang ada, orang lain akan mendahului kita dan mengkomersilkan penggunaan material boleh urai bagi mengantikan plastik.

Maka terpulanglah kepada kita untuk beralih kepada alternatif yang lebih lestari atau hidup dimasa hadapan dengan timbunan plastik yang kita kumpul dari masa lampau. Untuk kita pergi ke masa depan itu, masa sekarang kita perlu gunakan untuk memecahkan mitos-mitos berkenaan dengan pencemaran plastik serta mengenal pasti individu dan syarikat yang mengaut keuntungan disebalik pencemaran ini. Jika tidak, masa depan kita akan tenggelam dalam timbunan plastik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *