Oleh: Nur Huda

Polio kembali lagi! Benar. Ini bukan cobaan. Ini benar-benar berlaku. Anda tidak salah dengar. Berlaku di negara kita -Malaysia, menjelang tahun 2020, tahun yang penuh wawasan.

Ketika mendapat khabar tentang kes jangkitan polio di negara jiran kita Filipina, kita sudah boleh menduga, cepat atau lambat, ia akan sampai ke tempat kita juga. Dan wilayah paling berisiko tentulah negeri Sabah, yang dekat geografinya, akrab sosialnya dan erat ekonominya. Susulan kejadian tersebut, Malaysia dan Filipina telah memeterai persetujuan di mana kerajaan Filipina akan menanggung kos imunisasi rakyatnya yang berada di Sabah. Pada masa yang sama, Malaysia cuba mendapatkan kerjasama UNICEF bagi mendapatkan bekalan vaksin bersubsidi untuk diberi kepada warga asing yang lain.

Poliovirus (virus yang menyebabkan penyakit polio) bukan sahaja tidak mengenal warga negara, sempadan geografi dan status dokumen, ia juga tidak menghormati garisan masa. Dengan pantas ia berhijrah merentasi lautan, membolosi imigresen, bertapak di Sabah, sebelum sempat kedua-dua inisiatif di atas dimulakan. Pada 8 Disember 2019 -tarikh ini patut dicatat dalam sejarah sebagai satu tragedi nasional- seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran telah dijangkiti poliovirus. Perkara yang amat ditakuti ini telahpun menjadi kenyataan.

Susulan kejadian ini kementerian kesihatan dengan segera melancarkan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) 2019/2020. Kempen ini menyasarkan semua kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun yang warga negara dan juga bukan warga negara di semua daerah negeri Sabah. Kempen ini bermula di Tuaran dan akan dilanjutkan ke seluruh Sabah secara berfasa. Kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun akan diberikan dua dos imunisasi menjelang Jun 2020. Selang masa antara dos pertama dan dos kedua adalah selama empat minggu.

Imunisasi polio yang akan diberikan dalam kempen ini ialah jenis oral polio vaccine (OPV). Jenis imunisasi yang diberikan di dalam program imunisasi kebangsaan ialah inactivated polio vaccine (IPV). Berbeza dengan IPV yang diberikan melalui suntikan, OPV diberikan melalui mulut.

OPV lebih murah berbanding IPV. Jangan marah dulu. Pemberian OPV kepada anak-anak Sabah bukan ditentukan oleh faktor harga, juga bukan membeza-bezakan anak Sabah dan anak-anak lain (bukan juga kerana kerajaan tak ada duit dan hampir bankrap). OPV dipilih untuk kempen ini kerana ia lebih sesuai semasa berlaku krisis sebegini. Ini adalah berdasarkan saranan dalam garis panduan antarabangsa iaitu Standard Operating Procedures: Responding to a Poliovirus Event or Outbreak.

Terdapat perbezaan jelas antara OPV dan IPV, namun objektifnya adalah sama –menghapuskan jangkitan poliomyelitis. OPV mengandungi poliovirus yang masih hidup, tetapi telah dilemahkan sehingga tidak lagi mampu menyebabkan poliomyelitis. IPV pula mengandungi virus yang telah dimatikan, tidak mungkin boleh mengakibatkan jangkitan. Jadi kedua-duanya selamat, tidak berbahaya dan (cough) jangan dengar cakap antivaxx.

Poliovirus adalah sejenis enterovirus, maksudnya virus ini hidup membiak di dalam usus manusia. Perumah bagi virus ini hanyalah manusia dan beberapa jenis primat (keluarga monyet). Ia tidak menjangkiti haiwan lain. Oleh itu, virus ini akan mencari manusia untuk dijadikan perumah, menakung kolam pembiakan bagi meneruskan kitar hidupnya. Poliovirus amat mudah tersebar dan menjangkiti orang lain.

Oleh kerana poliovirus berada di dalam perut dan usus orang yang dijangkiti, penggunaan OPV adalah lebih berkesan. OPV yang diberikan melalui mulut, akan melalui perut dan usus sebelum dikeluarkan melalui najis. Ia tidak diserap ke dalam saluran darah untuk memasuki sistem tubuh manusia, juga tidak berkumpul di dalam tubuh dan memberi kesan sampingan apabila tua nanti. Sekali lagi, jangan percaya cakap antivaksin.

Vaksin polio samada OPV atau IPV, akan mengaruh sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi spesifik untuk melawan poliovirus. Oleh kerana OPV diberikan melalui mulut, antibodi dihasilkan secara lokal pada lapisan gastrointestinal, iaitu lapisan mukosa yang menyelaputi seluruh sistem penghadaman kita, dari mulut, esofagus, perut, usus kesil dan usus besar. Jadi selain membina pertahanan tubuh terhadap poliovirus, pemberian imunisasi jenis OPV mampu menghapuskan virus yang sudah sedia ada di dalam tubuh manusia. Selain itu, ia mampu mengekang jangkitan dari seseorang kepada orang yang lain melalui titisan air liur ketika bercakap.

Setelah sembuh dari jangkitan, badan kita akan berhenti menghasilkan antibodi. Tetapi sistem pertahanan badan kita sudah mengenalpasti poliovirus sebagai musuh yang berbahaya. Jika berlaku lagi jangkitan pada masa akan datang, sistem pertahanan badan yang sudah berpengalaman melawan virus ini (dan menang pula) sudah bersedia, dan dengan segera boleh menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan tersebut.

Apa akan terjadi kepada virus dari OPV yang sudah dikumuhkan itu? Tidakkah ia akan memasuki persekitaran dan menjangkiti semula? Antibodi yang dihasilkan akibat aruhan OPV membunuh virus yang ada di dalam perut dan usus manusia sebelum dikumuhkan. Virus lemah dari OPV juga turut terbunuh. Kalaupun ia terlepas ke persekitaran, is sangat lemah dan tidak mampu menyebabkan penyakit poliomyelitis. Juga perlu kita tahu, virus tidak mampu hidup di luar perumah untuk jangka masa panjang.

Begitupun, terdapat satu fenomena yang dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV). Ini berlaku dalam komuniti yang ramai populasi tidak divaksin, apalagi jika sistem sanitasinya kurang baik. Dalam keadaan ini poliovirus lemah dari OPV boleh tersebar melalui penyediaan makanan yang tidak bersih dan bekalan air tercemar.

Apabila poliovirus dari OPV berjaya memasuki tubuh manusia, ada dua perkara yang akan berlaku. Pertama, ia boleh memberi imunisasi pasif kepada orang yang baru dijangkiti virus lemah ini. Virus ini terlalu lemah untuk menyebabkan penyakit poliomyelitis, tetapi cukup untuk mengaruh sistem pertahanan badan untuk belajar dan berlatih menghasilkan antibodi bagi melawan virus polio sebenar pada masa akan datang. Kedua, virus lemah ini boleh bermutasi dan menjadi virus kuat yang boleh menjangkiti dan memberi kesan penyakit polio kepada orang yang dijangkiti, sepertimana berlaku kepada kanak-kanak di Tuaran.

Bagaimana poliovirus bermutasi? Virus tidak boleh hidup di luar perumah. Bagi poliovirus, perumahnya adalah manusia. Dalam komuniti yang ramai populasi tidak divaksin, virus lemah ini berkitar dari satu perumah kepada perumah lain, berpindah dari seorang kepada seorang yang lain. Setiap kali ia berada di dalam tubuh manusia, ia mampu mereplikasi dan membiak. Semakin banyak kitaran replikasi, semakin tinggi kebarangkalian untuk mutasi berlaku.

Perkara ini boleh dielakkan dengan menghentikan kitaran ini. Apabila poliovirus berpindah kepada individu yang mendapat imunisasi, virus tersebut akan mati diserang antibodi, dan kitaran pun berakhir. Sekiranya ramai individu dalam komuniti mendapat imunisasi, kitaran lebih cepat berakhir. Ini bermakna virus lemah terhapus sebelum sempat bermutasi menjadi virus kuat. Ini boleh dicapai dengan membina imuniti kelompok (herd immunity), iaitu apabila 95% daripada komuniti mendapat perlindungan imunisasi polio.

Dalam satu-satu komuniti, imunisasi kelompok MESTI dicapai. Selain menghentikan kitaran jangkitan yang boleh mengakibatkan mutasi virus, ia amat penting untuk melindungi golongan yang tidak dapat divaksinkan atas pelbagai sebab. Adalah menjadi tanggungjawab sosial kita untuk turut melindungi golongan yang tidak divaksinkan ini. Sekiranya semua rakyat Malaysia yang layak untuk divaksinkan melengkapkan dos imunisasi mereka, maka terselamatlah golongan yang tidak bernasib baik ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *