Oleh : Yeyen Khoo

Dari sudut kajian sastera, pendekatan kuasa merupakan satu kajian politik yang berkisar sekitar percanggahan antara anggota masyarakat yang melibatkan persoalan kuasa, seperti perebutan kuasa, penyalahgunaan kuasa, pembahagian kuasa dan kewibawaan kuasa. Sementara daripada perspektif konflik pula, kuasa melibatkan percanggahan yang melibatkan pertentangan, permusuhan dan tindakan kekejaman.

Kesusasteraan ini digunakan untuk menyampaikan perasaan dan pemikiran kepada rakyat. Sebagai anggota masyarakat, para pengarang berhak berpolitik dan karya mereka itu menjadi hasil politik mereka.

Politik dan sastera adalah dua hal yang berbeza. Politik sering kali dikaitkan dengan soal kenegaraan, kekuasaan, perjuangan, kepimpinan, pilihan raya dan sebagainya yang berdiri atas fakta yang lengkap, manakala sastera pula merupakan karya atau ciptaan pengarang yang dipenuhi dengan imaginasi kreativiti dan wawasan hasil adunan pemikiran dan pengalaman pengarang.

Hal ini  juga diperakui oleh Prasetya Utama yang berpandangan bahawa proses penciptaan karya seni juga sastera memerlukan suasana kebebasan. Sedangkan sistem politik itu sendiri lebih mengutamakan bagaimana mengatur kebebasan anggota masyarakat.

Menurut Baha Zain “Orang politik sering bertolak daripada masalah dan tujuan untuk mencapai sesuatu yang ada di luar dirinya. Sedangkan sasterawan bertolak dari dalam dirinya.”

Saya melihat kewujudan kedua-dua garis ini sebagai pemisah antara sastera dan politik. Tetapi tidak pula bermaksud sastera dan politik itu tidak wujud pertalian. Orang sastera selalunya akan menjadikan orang politik sebagai visual ataupun gambaran dalam membentuk idea-idea dalam penulisan. Orang politik pula biasanya menganggap orang sastera sebagai manusia awang-awangan yang penuh dengan imaginasi metafora.

Saya berpandangan bahawa sastera dan politik adalah bertolak daripada pergerakan manusia. Baik karya sastera mahupun politik ia tidak akan lari daripada penilaian individu atau masyarakat. Hal ini tidak lari daripada takrif politik kerana ia tentang perilaku ataupun kajian tentang manusia yang dikawal oleh undang-undang. Di sebabkan itu, tidak ada bangsa yang tidak terlibat dalam aktiviti politik.

Saya memetik Quotes Usman Awang (Dinsman dan Sutung : 78) :

“Tidak ada yang tidak politik dalam kehidupan manusia termasuk seni. Dalam bidang seni, sastera paling langsung tertancap ke tengah jantung politik. Dari zaman Tun Seri Lanang ke zaman Syed Syeikh al-Hadi, tiba ke zaman Rahim Kajai sampai kepada zaman Za’ba menjelang pula Asas50.”

Disebabkan penulis adalah manusia makanya sastera dan politik tu sangat berkait rapat. Sekarang isu politik semakin mendapat perhatian golongan penulis. Keadaan ini wujud akibat perubahan yang dialami dalam tamadun manusia. Dalam era siapa kura-kura akan ketinggalan ini, manusia sering berlumba-lumba dan disitulah wujudnya fenomena politik.

Fenomena Ini selari dengan perkembangan karya-karya moden yang tidak menjadi karya imaginasi semata-mata. Karya yang mengikut pemikiran dan ideologi. Karya yang mempunyai gagasan berhubung dengan masyarakat ekoran penindasan terhadap rakyat kelas bawahan. Pada akhirnya, penulis dan orang politik mempunyai peranannya masing-masing dalam membangunkan pemikiran dan kehidupan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *