Oleh: Mohd Rosyaidi
Pagi dan santai dengan segelas kopi
menghirup manis pahitnya
sambil kepala pusing memikirkan
hari ini
kudrat apa lagi
mahu dilepaskan.
Atas kerusi hitam
badan lena menyandar
menghirup sebatang tembakau
melihat awan
mendung tak rela hujan
sambil bertanya Tuhan
nasib diri.
Seakannya Tuhan faham dan mengerti
tiada istilah seakan
jika untuk Tuhan
kerana Tuhan maha mengerti dan memahami
untuk-Nya segala hal
tidak mungkin mustahil
Badan terus duduk menyalah diri
semuanya berat
menghembus nafas panjang, kepulan asap
mata menacap
sosok hitam dengan kurap leher
lena menutup mata
seperti tiada masalah memberat.
Sungguh indah hidup anjing itu
tenang
biar sekeliling sentiasa jijik
biar sekeliling menjauhkan diri.
Indah hidupmu anjing
seperti tiada masalah memberat
tiada apa dipeningkan
tiada apa untuk dikeluhkan
Tuhan, syukur anjing itu Kau cipta
untukku menampar diri dan bangun
bertahan
atas segala keberatan
kerana aku telah sedar
dan terus sedar.
Kasihan anjing itu
ada sosok manusia ingin menjadinya
sedangkan sebaik-baik Tuhan menciptaku
sebagai manusia tahu
bersyukur.
Terima kasih kepadamu anjing
aku mampu meneruskan hari
seperti hari-hari aku tersenyum
tanpa memikirkan keberatan
nasib ini.