(Ilham Van Der Wijck)

Oleh: Yeyen Khoo

Menelusuri perjalanan seorang wanita
yang jauh di persimpangan Makassar
menjengah senja dalam kekalutan hati
mengimbau kisah silam untuk diperkenankan
semata kerana pengabdian cinta
“Apakah takdir yang kau jeritkan?” sedang
kepiluanmu itu adalah pilihan dukamu sendiri
masa silammu itu adalah lorong laluanmu bersama kemahuan.

Hayatiku,
pada dirimulah aku menemui lambang cinta kesucian
pada dirimulah aku bertemu simbol janji kesetiaan
pada dirimulah aku mendengar kalimat sumpahan cinta
yang akhirnya telah kau telan sendiri bersama adat dan kekayaan
betapa aku melankolik dalam kekecewaan menterjemah cinta dalam tangisan.

Hayatiku,
langit ini terlalu luas untuk aku isikan segenap ruang jiwaku,
bumi ini terlalu berfasa putarannya untuk kau pertikai kesetiaanku,
tanah yang luas terbentang menjadi saksi anyaman kasih sayang kita suatu ketika dahulu
namun apalah adanya aku orang yang tidak berharta dan tidak berketurunan nenek moyangmu
sehingga harapan yang kau sandarkan menjadi debu dan puing yang diratap oleh gelora angin.

Hayatiku,
Setelah kau rengas setiap pucuk pengharapan yang pernah kita bina
Setelah kau kuburkan pelaminan yang pernah kita meteraikan
bagaimana mungkin untuk aku kembalikan rasaku seperti dahulu
selendang sutera putih yang pernah kau serahkan kepadaku kini telah terkubur bersama cintaku
tanganmu yang kita janjikan akan bergandingan dari hayatku sampai matiku kini sudah menjadi kepunyaan orang lain haram aku menyentuh tanganmu.
Apa lagi perlu dirintihkan?

Selepas kau mencari kedewasaan dalam perhubungan
lenyaplah, tenggelamlah semuanya bersama Van Der Wijck aku tidak kalih menahan
aku benar-benar terasa teroesir.
Tiada pengucapan berseni indah yang mampu aku lafazkan
namun satu yang perlu kau tahu aku akan selalu abadi walau takdir tidak pasti.

Tidak baik hidup yang mulia ini terkurung hanya mengin­gatimu
biarlah aku mengecap nikmat ketenteraman dan kebahagiaan sendiri
inilah sumpahku.

Zainuddin kekasihku,
(aku juga tersepit antara cinta dan adat).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *