Oleh: adiHJ

Aku membilang jari,
satu dua tiga empat lima,
engkau menyambung,
enam tujuh lapan sembilan
dan kita saling menjerit bersama
SEPULUH!
                (kita gembira kan?)
Waktu itu kopi orang kaya masih lagi panas
dan suara kereta belum lagi bingit di telinga.
Hari ceria itu antara pukul 10 pagi hingga sebelum tengahari.

Kita mengira manusia berjalan dengan jari masing-masing.
Ada yang berjalan dengan pantas,
ada yang berhenti menatap telefon dan sambung berjalan,
ada juga yang melihat kita dengan wajah aneh,
kita ketawa,
dan dia membuat wajah kecewa.
              (manusia ni pelik-pelik kan?)

Kita saling percaya bahawa dunia ini hanya tempat bermain,
awan seperti watak-watak humor yang tidak bernama,
matari seperti ibu ceria,
hujan seperti anak kecil merayu meminta disusukan
dan adakalanya petir seperti ayah marah bertalu-talu tidak berhenti.
                (itu ketika siang)

Ketika malam,
tidak banyak kita saksikan,
bulan umpama nenek maha penyayang
menceritakan kepada kita tentang cucu-cucunya yang ceria dan saling bersinar,
dan itu buat engkau cemburu,
engkau kata bahawa tiap kali nenek bercerita,
engkau mahu jadi watak utama,
aku kata itu mustahil
                (itu dulu, sayang)
dan engkau marah dan pergi meninggalkan aku
                              sendiri.
Ketika aku tidur kesejukan,
engkau datang membawa selimut yang engkau curi dari mana,
aku tidak kisah,
kita tidak akan terpisah.
                (aku yakin)

Tanpa engkau, aku tidak dapat mengira sampai sepuluh,
dan tanpa aku, engkau hanya akan mengira sampai lima,
sebab, kalau jari kita tidak dibilang sampai sepuluh,
bagaimana kita mahu menadah tangan untuk berdoa kepada Tuhan?
                (kan kita mahu jumpa keluarga kita?)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *