Oleh: Farahani R
Rausyanfkir, atau ditulis semula di Malaysia sebagai ‘rausyanfikir’ sebenarnya lahir untuk menjelaskan keadaan minda yang bersemangat inkuiri, enlightened, kata orang putih. Jika kita menelusuri kebanyakan buku arus perdana yang menulis mengenai sejarah perkembangan minda manusia, peradaban manusia itu selalunya dibismillahkan oleh munculnya tamadun. Tamadun Yunani, kata mereka, adalah bapa kepada ketamadunan Eropah. Tamadun Rom, adalah ibu kepada kemanusiaan Eropah. Ilmu disejarahkan lahir dari rahim Eropah – dan kita sebagai pengguna ilmunya hanya mencapangkan telinga lalu menerimanya sebagai fakta masuk kubur.
Rausyanfkir bukanlah kata yang baharu. Sebenarnya ia istilah yang sudah lama. Ada melihat ia diambil dari bahasa Arab munawwar al-fikr, dan ada pula diambil dari bahasa Parsi raushan atau roshen yang diertikan sebagai ‘cerah’. Dari mana pun asal perkataan itu, ia tetap membawa: Akal atau minda yang tercerah. Minda yang sedar. Minda yang berani berfikir. Minda yang berani melawan biarpun setakat tenaga fikir.
Saya menulis kerangka rausyanfikir milik Ali Syaria’ti. Beliau secara peribadi menginspirasikan diri saya kerana pengalamannya sebagai seorang intelektual yang berani melawan dan bersifat pejuang di gelanggang ilmiah. Beliau tidak begitu rajin menulis, tapi kerana kemahiran berucapnya, membuatkan mahasiswa ketika itu sanggup membukukan syarahan demi syarahannya. Beliau sejak kecil memang tidak rajin ke sekolah. Beliau hanya rajin membaca buku yang dipinjam dari koleksi perpustakaan bapanya, Muhammad Taqi Syaria’ti. Beliau tidak tidur, sehinggalah bapanya perlu memaksanya untuk tidur. Beliau meninggal pada 1977, kira-kira 2 tahun sebelum tumbangnya monarki Pahlavi dan berdirinya Imam Khomeini lalu digelar tokoh ideologi Revolusi Iran 1979.
Untuk memahami konsep rausyanfikir, kita boleh merentasinya dari jambatan yang saya telah mudahkan pembinaannya – intelektualisme, ideologi dan idealisme. Ketiga-tiga aspek ini merupakan pohon keberjayaan sesuatu gerakan mahupun usaha untuk memobilisasikan tenaga rakyat. Disebabkan inilah, parti-parti politik di Malaysia seperti UMNO dan PAS masih berpengaruh berdekad setua-tua pokok balak di Sapulut, Sabah. UMNO ada intelektual, UMNO ada ideologi dan UMNO pernah ada idealisme. PAS tidak terkecuali, malah mereka amat bangga dengan barisan tertinggi mereka adalah calon-calon politik yang berlatarbelakangkan akademik. Idealisme mereka barangkali sedikit kabur, khasnya, apabila mereka cuba menempatkan kaki dalam kelompok bukan Islam yang lain.
Intelektualisme Rausyanfikir
Apabila menyebut intelektualisme, kita sentiasa akan terarah untuk memikir ‘intelek’ atau ‘intelektual’. Itu benar. Intelektualisme sememangnya berlegar dalam kanta intelektual. Namun intelektual sahaja tidak mencukupi. ‘Intelektual’ itu perlu di tafsir semula. Oleh sebab itu, wujudlah perbezaan antara intelektual biasa, intelektual palsu dan rausyanfikir.
Intelektual biasa ini kita boleh anggap sebagai inteligensia, kelompok manusia yang berpendidikan tinggi. Mereka boleh jadi diiktiraf tinggi dalam bidang masing-masing, tapi setakat itu sajalah. Mereka tidak memberi banyak pada masyarakat, sebaliknya hanya mengumpul duit gaji, geran dan senarai tajuk-tajuk buku untuk dilampirkan menjadi bukti ingin naik pangkat lagi. Buku mereka penuh istilah-istilah berat, jargon yang tiada siapa luar bidangnya mampu memahami. Mereka malah lebih bangga jika tiada siapa faham – ertinya mereka akan menjadi tenaga Ultraman yang berkelip-kelip sehingga Ultraman perlu menghabiskan musuhnya secepat boleh. Mereka tidak boleh dibuang, sentiasa diperlukan. Matinya mereka bererti matilah bidang itu. Tiada penyambung, tiada disambung.
Intelektual palsu pula boleh di peribahasakan ‘musuh dalam selimut’. Mereka biasanya orang-orang yang hilang identiti diri, jiwanya dirasuk oleh dunia fikir Barat sehingga ingin meniru segala tahi lalat dan warna-warna uban orang Kaukasia kerana baginya, itulah kemodenan manusia. Barat disifatkan sebagai warga Tuhan yang satu-satunya berpakaian, manakala kita di Malaysia dianggap hanya berlampin. Intelektual palsu ini mindanya sudah berpaksi kepada identiti Barat, dan semudah-mudahnya membuang tradisi untuk menjulang tradisi orang putih. Paling buruk, mereka menjeling semua rakyat berjati diri dan hanya minum air liur penawan mindanya.
Rausyanfikir, adalah satu tahap yang lain. Ia suatu tahap yang membebaskan. Ia suatu tahap yang menyedarkan. Ia suatu jenis intelektual yang mahu dan rela berfungsi sebagai penunjuk arah kepada masyarakat. Ilmunya diturunkan kepada masyarakat. Setiap bait katanya ikhlas untuk membangunkan kaum-kaum tertindas. Setiap titik ilmu yang dihadapinya cuma untuk Tuhan, dan untuk membantu dunia menjadi dunia yang lebih baik. Ali Syaria’ti melihat fungsinya sebagai ‘nabi sosial’, yang bersabar dan bersama dengan rakyat. Rela mati dibunuh demi menegakkan benda yang benar. Kerana itulah, rausyanfikir tidak harus berpartisan. Ia tidak harus datang dari dunia berpendidikan – petani dan nelayan juga boleh dianggap rausyanfikir selagi niatnya itu memberi manfaat pada masyarakat. Menguatkan yang lemah, melemahkan yang kuat.
Ideologi Rausyanfikir
Agak pelik mengapa intelektual, atau lebih khusus, rausyanfikir perlu ada suatu ideologi. Wacana ideologi di Malaysia sentiasa tersekat dalam nada pertentangan antara Islam dan Barat. Ali Syaria’ti menganjurkan agar kita menggabungkan keduanya. Keadaan ini tidak bermakna Islam tidak kuat ataupun tidak cukup sempurna, tetapi dalam sesetengah perkara, Barat mempunyai sifat rasionalisme dan integriti yang tinggi. Mengapa tidak jika kita ambil yang jernih dan buang mana yang keruh? Ali Syaria’ti mencontohkan keadaan fahaman Islam di Iran pra-1979, di mana beliau membahagikannya pada dua – Islam Merah (Islam melawan) dan Islam Hitam (Islam membungkam). Semangat Islam Merah itu sepatutnya meresapi urat-urat rakyat muda untuk melawan penindasan. Islam Hitam pula diabadikan sebagai Islam yang diperkotak-katik oleh para agamawan sebagai alat kawalan minda masyarakat.
Namun begitu, taraf rausyanfikir sentiasa menurut relativisme budaya – lain tempat lain cara. Di Amerika Selatan misalnya, para rausyanfikirnya menggunakan agama Kristian sebagai teologi pembebasan mereka. Di Iran, Ali Syaria’ti menggunakan potensi Islam sebagai latar semangat perlawanan. Disebabkan itulah, Imam Khomeini lebih mudah menggalas tanggungjawab memimpin Revolusi Iran masa itu kerana semangat jihad yang terkumpul dengan berang-berang tidak puas hati kepada dinasti Pahlavi. Sesungguhnya agama adalah ideologi yang paling ampuh.
Idealisme Rausyanfikir
Idealisme secara kasarnya adalah suatu keadaan yang dicita-citakan sebaik mungkin oleh seseorang ‘pemimpi’. Kerana itu, mereka lazimnya digelar idealis. Idealisme rausyanfikir boleh disaksikan dengan dua cara: pembinaan dirinya dan pembinaan masyarakat yang di mahukannya. Jika dalam dunia Marvel, Thanos menciptakan dunia idealnya dengan menghapuskan sebahagian dunia. Untuk menciptakan dunianya, dia seharusnya boleh mengubah dirinya dahulu – menjadi lebih sabar, lebih bijak, lebih wajar, lebih menyayangi (untuk mendapatkan Soul Stone). Sesudah itu, barulah dia dapat mengubah dunia. Rausyanfikir juga begitu: seseorang itu harus memahami tujuan hidupnya, tujuan agamanya, tujuan dirinya dan tujuan masyarakatnya. Hanyalah dengan cara itu, barulah seseorang rausyanfikir dapat mengubah masyarakatnya.
Mengenali diri walaupun begitu, tidak sama dengan setakat tahu suka makan apa dan tidak suka minum apa. Mengenali diri dalam konteks ini lebih dalam dan lebih kompleks. Mengenali diri dan menerima kekuatan serta kekurangannya, mengetahui kemampuan dan mempercayai kehebatan sendiri. Seorang rausyanfikir harus yakin dengan perjalanan hidupnya, dan identiti dirinya sebagai suatu yang unik.
Menjadi rausyanfikir bukanlah kerja semalaman. Ia kerja yang boleh mengambil masa sehingga ke hujung hayat kerana ia sentiasa bermula dari hati. Ia sentiasa bermula dari jiwa, hasrat untuk mengubah dan untuk siapa dunia ini harus berubah. Rausyanfikir juga harus konsisten – anda tidak boleh bertukar-tukar prinsip; anda hanya boleh menukar suara agar terus berada dalam gelombang suara rakyat terutamanya yang memerlukan bantuan. Ali Syaria’ti bukanlah ulama berserban; beliau tokoh yang kuat merokok, kuat berfikir dan cepat senyum. Rausyanfikir, dengan kata paling mudah, ialah identiti diri yang berpijak terus pada state of mind seseorang. Jika anda rasa anda mahu jadi rausyanfikir – jadilah! Make the world a better place.