Oleh: Mohd Rosyaidi
Permulaan kata; menulis sebagai seorang mantan mahasiswa yang selalu saja ingin menggelarkan diri sebagai seorang aktivis mahasiswa, tetapi malu dek kerana tahu diri tidak layak. Malu diri ini apabila mengingat kembali apa yang telah dibuat pada zaman mahasiswa dan berapa banyak yang tidak terbuatkan untuk masyarakat pada zaman itu. Tapi biarlah rasa malu itu kerana diri ini masih percaya tentang perjalanan mahasiswa adalah perjalanan yang lurus untuk ke lorong-lorong masyarakat.
Jika berkata mengenai fantasi dan realiti melalui konteks mahasiswa yang pernah mencari arah di lorong-lorong masyarakat, fantasinya adalah mahasiswa itu sangat dekat dengan masyarakat manakala realitinya melawan masyarakat adalah perkara termanis yang mahasiswa perlu tempuh. Melawan masyarakat bukanlah bermaksud mahasiswa perlu memusuhi masyarakat, maksud di sebalik kata-kata keramat itu mengikut definisi yang difahami oleh aku adalah ‘istiqomah’ dalam membicarakan dan beraksi untuk sentiasa berkasih bersama masyarakat, khususnya rakyat bawahan yang sering ditindas para penguasa.
Kebanyakan mahasiswa berfantasi bahawa masuk ke menara gading hanyalah untuk menggembirakan hati dan mengamalkan sikap dahaga serta kebuluran keputusan yang baik supaya memudahkan hidup pada pasca mahasiswa nanti. Fantasi itu ada baiknya, tetapi kalau sekadar masuk ke gedung ilmu itu hanya untuk menjadi ‘lembu’ intelektual, apalah ertinya kemaslahatan ilmu untuk golongan-golongan yang sering mengeringkan keringat untuk kesenangan mahasiswa di dalam kampus. Wahai mahasiswa, kalian perlu ingat, masyarakat bawahan yang berhempas pulas berkerja, pergi pagi pulang petang untuk membayar cukai-cukai yang digunakan oleh pak-pak pemerintah memutarkan balik modal kepada kemudahan-kemudahan di dalam kampus yang mahasiswa nikmati.
Mahasiswa harus tahu, pada realitinya, mahasiswa perlu turun ke lorong-lorong rakyat bawahan. Menjadi pemberani dalam menyuarakan tangisan rakyat yang dipijak-pijak oleh para pak menteri. Mahasiswa tidak perlu berfantasi bahawa dengan melawan semasa di universiti akan memperbanyak masalah pada masa mahasiswa menjadi graduan.
Hakikatnya, kebanyakan mahasiswa yang pernah melawan pak menteri, sistem universiti yang tidak telus, bersuara untuk tangisan rakyat dan berdiri di atas jalanan, telah membuktikan mahasiswa yang melawan masyarakat serta lantang bersuara sambil beraksi ini telah berjaya mengecapi kejayaan serta kerjaya. Seorang mahasiswa tidak perlu takut dengan fantasi-fantasi yang hanya momokan semata. Sekiranya selepas menjadi graduan sukar untuk mendapatkan kerja, wujudkan kerjaya sendiri. Mahasiswa secara realitinya berfikiran tersangatlah waras untuk mencipta kejayaan diri sendiri.
Terdapat juga mantan mahasiswa yang dulunya dicaci, dihina dan dianggap pemberontak semasa masih bergelar mahasiswa sedang bahagia beradvokasi bersama-sama rakyat sekarang ini. Itulah realiti seseorang yang bergelar dan pernah bergelar mahasiswa. Oleh itu, mahasiswa berhentilah berfantasi semasa berada di gedung ilmu, dapatkanlah realiti dengan menjadi seorang mahasiswa yang sentiasa bergerak aktif semasa di dalam kampus untuk ke jalanan, hidu bau kaki rakyat bawahan, agungkan upacara intelektual dan sentiasalah berani atas kepercayaan masing-masing.
Sekian, yang benar, sedang menghidu bau kaki buruh asing yang jelas-jelas sedang dizalimi.