Oleh: Farahani R

Apa dan siapa tentera bawang? Tentera bawang hadir di saat istilah ‘mak cik bawang’ dikemukakan sebagai gurau di media sosial. ‘Mak cik bawang’ pula dizahirkan dalam gambaran orang yang sibuk mengumpat di dapur, biasanya kaum wanita ketika mengupas bawang. Ya, istilah gurau tidak perlu melalui proses dialektika. Namun impak istilah ini terpakai dalam penjelasan kasual mengenai komuniti warganet. Tentera bawang – kini istilahnya lebih sejagat – membentuk kelompok dalam dunia warganet yang kerjanya cuma satu: kongsi dan komentar. Yang istimewanya, kuasa tular adalah kepakaran mereka.

Tidak perlu saya memetik ungkapan klise tokoh yang sudah dimakamkan, atau kata-kata rasional seseorang ternama. Kita sudah terlalu maklum bahawa perkataan boleh membina atau membunuh seseorang. Kita tidak lagi segan untuk menerima istilah ‘hati tisu’ dan ‘cepat koyak’ dalam kosa kata gurau senda kita. Lebih jauh, kita seolah-olah terasa kebal apabila kita berjaya meng’hati-tisu’kan orang atau men’cepat-koyak’kan orang lain.

Peristiwa seorang wanita yang dikhabarkan menjadi mangsa buli siber telah melompat dari Tingkat 6 di Centerpoint Kota Kinabalu, Sabah menghidupkan semula pertanyaan saya pada tentera bawang dan diktator yang tampak megah dengan trofi-trofi kepala yang mereka sudah ‘bunuh’. Walhal trofi-trofi ini masih lagi ‘kepala’ manusia yang punyai rasa, nyawa dan keluarga, hidupnya sendiri. Mengapa diktator bawang dan tentera bawang enggan peduli?

Untuk kita perbesar ruang perbicaraan ini, saya harus mengakui kebaikan tentera bawang. Oh tidak, saya tidak mengkritik membabi buta tanpa keadilan neraca pro-kontra. Tentera bawang boleh diumpamakan sebagai sekumpulan besar yang mempunyai suatu ‘kuasa’ penekan. Kumpulan penekan ini mempunyai upaya yang sangat kuat kerana faktor jumlah anggotanya yang ramai – suatu prasyarat penting untuk melaksanakan apa-apa perubahan. Peristiwa revolusi sepanjang sejarah membuktikan bagaimana rakyat sebagai kumpulan penekan menukar laluan negara mereka.

Memperkecilkan kuasa tentera bawang adalah silap besar. Kita sudah melihat bagaimana patahnya semangat seorang atlet cilik kita dalam sukan skateboarding sehingga Tony Hawk, legenda sukan tersebut pula harus memujuk atlet kita untuk teruskan impian adik kecil tersebut. Terima kasih kepada tentera bawang, ramai artis terkandas termasuklah artis dan pelakon, Aliff Aziz disebut-sebut namanya sebagai contoh terbaik kecurangan lelaki. Bahkan, bidang perhubungan awam sudah mulai meneguhkan teori dan prinsip baharu untuk segera membendung amarah tentera bawang abad ini.

Selain itu, tentera bawang juga berfungsi sebagai pengutus berita yang utuh. Tanpa tentera bawang, wartawan media dan penulis konten seluruh dunia tidak akan mampu mengecapi informasi tempatan di luar kawasan mereka. Berita Ainul yang disampaikan hingga ke pengetahuan Dr. Amalina, sosok seorang Malaysia cerdik yang kini bersama ahli perubatan terbaik di United Kingdom. Bantuan tentera bawang (termasuk kalangan warganet tempatan) membolehkan liputan kesihatan Ainul dikemaskini setiap masa. Sudut ini memuliakan tentera bawang sebagai potensi kliktivisme (aktivisme dalam talian).

Kini kita memasuki sisi gelap hati manusia-manusia. Dalam hal ini, saya spesifikasikan pada diktator dan tentera bawangnya. Mob mentality adalah sebab utama mengapa tentera bawang begitu ganas dengan kata-kata mereka. Artikel Kristen Polito (2017) ini saya ringkaskan untuk memahami pendorong tindakan tentera bawang. Dalam psikologi, mob mentality terbahagi kepada tiga:

  1. Contagion Theory – kerbau dicuri? Bunuh pencuri. Tidak logik? Tidak peduli. Seorang tidak peduli, semua jadi tidak peduli.
  2. Convergence Theory – mantan perdana menteri Najib Razak dan isterinya curi duit negara. Sekelompok kata perkara itu benar, walhal belum dibuktikan salah. Maka disebabkan sekelompok itulah, maka itulah yang menjadi ‘keputusan’ ramai.
  3. Emergent-Norm Theory – tentera bawang tidak perlu kenal satu sama lain. Cukuplah sama pendapat dan boleh berinteraksi dengan bebas tanpa perlu berbahasa-basi atau bersopan-santun.

Yang ketiga inilah menjadi asbab mengapa tentera bawang atau lebih khusus, barisan trolls untuk bertindak lebih keji dalam kata-kata mereka. Buli siber hanyalah salah satu fenomena besar yang terhasil dari tentera bawang. Pihak advokasi sosial boleh menjana tenaga tentera bawang, sehingga ramai persatuan yang mendakwa memberi bantuan kepada yang memerlukan akhirnya membantu diri sendiri sahaja.

Persoalan saya seterusnya: relevankah tentera bawang? Dunia internet menjahit jurang yang ada antara kita dengan Mozambique, kita dengan United Kingdom atau kita dengan Minsk, Rusia. Sempadan geografi hanya tinggal atas peta kertas. Media sosial pula menampilkan warna-warni manusia lain dari saluran komunikasi. Tentera bawang cuma sekumpulan (dengan jumlah yang tidak diketahui) dalam komuniti warganet yang kerapkali diregulasikan oleh para pentadbir laman media sosial.

Jika tentera bawang ini dihapuskan, mungkin Internet boleh menjadi suatu dunia baharu yang lebih selamat dan kurang toksik. Namun begitu, kadangkala kita sendiri terlibat dalam aktiviti ‘membawang’ tanpa sengaja disebabkan kita memiliki pandangan yang sama dengan sejumlah komen yang lain. Ataupun pandangan kita sudahpun dibina secara halus oleh komen negatif sebelumnya, lalu kita tanpa segan silu menulis cerna pandangan orang sebelumnya.

Penghapusan tentera bawang boleh memudaratkan kebersamaan pendapat yang dikongsi secara kolektif. Bayangkan orang-orang teknologi masa depan membina bot yang akan menutup terus komputer anda jika komen anda secara algoritmanya bermaksud sama dengan komen awal. Anda cuma ada dua pilihan: memilih untuk tidak komen atau komen dengan maksud yang berbeza. Pilihan kedua agak samar dan mungkin boleh melukakan orang lain tanpa kita sedari. Bayangkan jika di sebuah negara, kerajaannya sedang berbuat jahat pada rakyatnya; bagaimana lagi revolusi boleh tercetus? Di jalanan, polis dan tentera disusun bak buah catur. Internet bukan lagi internet dahulu, menjadi ladang kebebasan tanpa pagar.

Di ladang kebebasan maya ini, hanya ada satu kawalan terbaik. Diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *