Oleh: Syed Ahmad Fathi
Politik Amerika sekian lama didominasi oleh sistem dwi-parti yang menyebabkannya tersepit untuk memilih antara dua pilihan sahaja, sama ada republikan atau demokrat. Keterbatasan pilihan ini merosakkan demokrasi Amerika, mereka seolah-olah mempunyai pilihan, tetapi pilihan mereka hanyalah barisan elit dari dua parti, natijahnya mereka menukar presiden tetapi polisi jarang diusik. Akhirnya pada tahun 2016, Amerika memilih Donald Trump, seorang yang populis sebagai presiden mereka.
Pemilihan Trump merupakan isyarat bahawa rakyat sudah muak dengan politik elit. Trump dilihat sebagai persona korporat dan bisnes, bukan elit politik seperti Clinton. Dengan slogan-slogan populis, Trump menjanjikan penarikan semula sektor pembuatan ke dalam negara, kawalan ketat terhadap kemasukan imigran terutamanya dari Amerika Latin, juga memperbaiki ketidakseimbangan perdagangan. Antara musuh perdagangan Amerika adalah China, dengan kemajuan pesat China, dari negara miskin berkembang kepada kuasa ekonomi kedua terbesar dunia, Amerika mula berasa terancam dan mula mengatur gerak dalam peperangan perdagangan.
Perang perdagangan ini bukanlah satu perkara yang berlaku secara tiba-tiba. Kemajuan dan kepesatan ekonomi China telah lama dibincangkan dan diteliti. Dalam buku Every Nation for Itself yang ditulis oleh ahli sains politik Ian Bremmer, beliau menjangkakan bahawa jika hubungan Amerika dan China menjadi renggang dan saling bermusuhan, kita akan menyaksikan perang dingin 2.0 dimana ia akan berlawan bukan dalam bentuk perang senjata tetapi perang ekonomi. Inilah yang kita lihat hari ini dan pada 15 Mei 2019, Trump menguatkuasakan sekatan terhadap Huawei.
Sosok utama di sebalik Huawei adalah Ren Zhengfei.
Bapa Ren bekerja dengan kerajaan Kuomintang di Guangzhou semasa penjajahan Jepun, manakala ibunya merupakan guru sekolah. Ren merupakan graduan dari Universiti Chongqing, beliau merupakan ahli Parti Komunis dan menyertai Tentera Pembebasan Rakyat semasa Revolusi Besar Kebudayaan Proletariat. Zaman tersebut merupakan zaman penuh kepayahan, “Saya tidak pernah memakai pakaian yang tidak ditampal semasa muda,” kata Ren. Beliau juga mengimbau saat-saat kepayahan tidur di atas rumput dengan makanan yang dicatu. Oleh kerana bapanya mempunyai sejarah bersama Kuomintang, Ren tidak mendapat apa-apa pangkat dalam angkatan tentera.
Ren kemudian terpilih menyertai konferens sains kebangsaan bagi pembuatan mesin sintetik fiber, pada masa tersebut China mula meneroka bidang sains dan teknologi dan keluar dari dekad anti-intelektualisme. Ren kemudian menjadi pengarah sebuah pusat penyelidikan pembinaan. Semasa inilah Ren didedahkan dengan teknologi moden. Kerajaan kemudian mengambil keputusan untuk membubarkan angkatan kejuruteraan yang dianggotainya, dengan penstukturan semula tentera, Ren bersara dari tentera kembali menjadi rakyat biasa dan berpindah ke Shenzhen bagi memulakan perniagaan elektronik. Ren mengasaskan syarikat Huawei pada tahun 1987, Huawei telah berkembang pesat dan pada tahun 2018, berjaya mengatasi Apple dan menjadi pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia selepas Samsung.
Di sebalik sekatan Amerika ke atas Huawei bagi mengekalkan hegemoni dan dominasi Amerika, Ren kelihatan tenang dan yakin bahawa syarikatnya akan berjaya menghadapi sekatan Amerika. Bercakap dalam temubual bersama Karishma Vaswani dalam segmen BBC, Ren menyatakan bahawa Amerika tidak akan mampu mengalahkan Huawei. Beliau menyatakan bahawa Huawei bekerja bagi tujuan survival dan bukanlah untuk mendokong sebarang idealisme, kerana tidak akan ada idealisme tanpa survival.
Antara strategi Huawei untuk kekal kompetetif adalah dengan mengekalkan struktur syarikat sebagai milikan peribadi. Syarikat milikan awam mempunyai keterbatasan dalam melabur keuntungan bagi meneroka teknologi baru kerana perlu memberi dividen kepada pemegang saham, manakala pemilik peribadi bebas melabur kepada penyelidikan dengan dana yang besar tanpa halangan. Ren turut optimis terhadap serangan Amerika terhadap Huawei kerana ia memberi publisiti global kepada syarikatnya tanpa mereka perlu berbelanja walau sesen.
Menjawab soalan Vaswani mengenai tuduhan Amerika bahawa Huawei mencuri teknologi syarikat lain, Ren berkata “Kebanyakan teknologi kami telah mendahului apa yang ada di Barat, bukan hanya 5G, tetapi dalam segmen optik dan chip set, kami mendahului dalam pelbagai teknologi, dan semua ini adalah teknologi kompleks. Kami memiliki banyak perkara yang tiada di Amerika, bagaimana kami boleh mencuri sesuatu yang mereka tiada?”
Pada 1 Disember 2018, anak kepada Ren, Meng Wanzhou telah ditahan di Kanada atas permintaan Amerika atas tuduhan penipuan terhadap institusi kewangan dan pelanggaran terhadap sekatan Amerika ke atas Iran. Ditanya berkenaan perkara ini, Ren menyatakan pada mulanya sebagai ayah hatinya berasa sedih, tetapi apa yang berlaku telah berlaku, Ren menyatakan dia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu bergantung kepada sistem undang-undang. Namun beliau optimis dan menganggap perkara ini sebagai pengalaman yang sangat berharga buat anaknya. Kesusahan seperti ini akan menjadi sayap untuk anaknya terus belajar dan berjaya di masa hadapan, Ren berterima kasih kepada Amerika kerana memberikan Meng sepasang sayap yang kuat yang akan membolehkannya terbang lebih tinggi di masa hadapan.
Dalam menghadapi perkembangan terbaru ini, presiden Xi Jinping mengumumkan bahawa perlunya ‘Long March’ yang baru. Long March merupakan sejarah bagaimana tentera komunis berundur dari menghadapi kemaraan tentera Kuomintang. Tentera komunis telah berundur ke dalam kawasan yang sukar dimasuki selama 370 hari sebagai manifesto ketahanan mereka dalam perjuangan. Strategi ini bukanlah asing buat China yang sentiasa merancang permainan jangka masa panjang. Sebagai contoh dalam ekonomi, China terkenal dengan teknik ‘dumping’, di mana sesuatu produk murah dibanjirkan ke dalam pasaran bagi menurunkan harga. Walaupun rugi dalam jangka masa singkat, syarikat mereka berjaya memaksa lawan mereka untuk jatuh bankrap, sesudah itu mereka akan menaikkan harga semula.
Mungkin perang dagang antara China dan Amerika ini akan berlanjutan lebih lama, atau mungkin China akan mengenakan beberapa sekatan agar ekonomi Amerika terjejas sehingga rakyat mereka memilih presiden yang baru serta mengubah polisi. Apapun yang bakal terjadi, Ren Zhengfei, jurutera yang mengetuai syarikat Huawei yang berada di tengah-tengah kancah peperangan perdagangan ini kelihatan tenang, optimis, dan gembira. Lalu orang pun bertanya, bagaimana kita mampu mengalahkan seorang lelaki yang gembira?