Oleh: Mohd Rosyaidi
Secara umumnya, kebanyakan pemikiran di sekeliling kita menganggap seni itu berada di kelas bawahan dan tiada masa depan. Jika di gedung-gedung ilmu, jurusan seni itu adalah pilihan terakhir buat keramaian mahasiswa. Apa-apa sahaja berkaitan dengan jurusan seni yang didapati di gedung-gedung ilmu juga dilihat sebagai sesuatu yang hina, tiada masa depan dan sangat rendah darjatnya. Termasuklah juga golongan-golongan penggiat seni itu sendiri, sebilangan menganggap kesenian langsung tiada masa hadapan apatah lagi mahu diteruskan oleh generasi sekarang. Walaupun bukan semua penggiat seni sebegitu, tetapi sebilangan. Adakah pandangan ini betul atau tidak? Mahasiswa, pandangan kalian bagaimana? Cik, Encik, Tuan atau Puan, kalian bagaimana? Para seniman, kalian pula? Betulkah seni itu hina di mana-mana?
Jika betul seni itu hina, baik ada cerita pendek (cerpen) yang mengisahkan seorang budak sains menghina seni secara terang-terangan di sebuah gedung ilmu tersohor di sebuah negeri. Jika seni itu hina ibarat hendak diludahkan pun tidak layak, bagaimana pula jurusan sains? Jurusan-jurusan lain yang ada di sesebuah universiti? Suci atau hina? Jika suci, adakah sesuci Muhamad SAW? Jika hina, adakah sehina seni? Sains itu secara umumnya adalah jurusan yang dipandang suci oleh kebanyakan, tidak perlu menafikannya. Baiklah cerpen akan dimulakan dengan tapak kaki memandangkan seni itu hanya layak berada di bawah tapak kaki sahaja.
Bermula hingusan, satu pasang tapak kaki membawa sekujur badan melangkah ke sebuah universiti termasyhur di negeri itu. Universiti yang luarannya terkenal melahirkan golongan cerdik pandai, namun hakikatnya memperbanyak ternakan lembu untuk disembelih di industri-industri kerjaya. Melangkah gagah sebagai seorang mahasiswa yang mengambil jurusan sains yang disucikan daripada segala dosa-dosa hina. Seperti tin kosong, berbunyi sangat bising jika berbunyi. Bangga menceritakan kepada kaum kerabat masuk ke menara gading dengan yakin akan membawa keluar segulung kertas yang akan ditulis SAINS di atasnya. Berlagak tetapi hakikatnya bodoh dan sombong. Itulah langkah yang dibawa di dalam diri.
Setelah beberapa detik lamanya berada di gedung ilmu, mencari di mana puncak untuk ditawan supaya akan ada ramai memandang bahawa diri itu sangat tinggi kerana ‘budak sains’ adalah golongan elit di gedung itu. Namun, beberapa detik sudah berlalu, langsung tidak menemukan titik untuk menyenangkan hati dan berbangga. Hati menjadi keras, menangis seorang diri dan tertekan dengan apa yang ingin digenggamkan. Setiap kali mendapat kecemerlangan-kecemerlangan, diri sentiasa sahaja berasa kosong dan kecemerlangan itu tiada apa untuk diberikan kepada sesiapa. Setelah hidup dalam kekosongan, terjumpa sahabat lama semasa berada di sekolah menengah dahulu dan mendapat tahu sahabat itu mengambil jurusan seni. Dengan bangganya berasa nasib baik masuk ke gedung ilmu itu sebagai ‘budak sains’ kerana kawan itu hanya ‘budak seni’ yang hina.
Hari demi hari berlalu, diri sebagai budak sains berasa semakin kosong dan seperti robot sahaja kerana tiada rasa gembira menikmati ilmu yang dihadamkan. Hati dan perasaan juga menjadi cemburu akan si kawan budak seni kerana melihat dia menjadi budak seni yang sentiasa gembira bergerak sebagai manusia yang mempunyai sifat manusiawi di gedung itu. Menjadi budak sains ada sahaja kawan, tetapi kawan untuk menjadi robot sangat banyak berbanding si kawan budak seni yang sentiasa bergerak ke mana-mana dengan manusia yang sentiasa terukir senyuman di wajah mereka. Apakah mereka tidak sedar mereka itu budak seni yang hina selayaknya di tapak kaki sahaja?
Hari berganti bulan, menjadi budak sains yang suci seakan menjadi robot yang diformatkan untuk menelan sebulatnya ilmu kalam yang diajarkan tanpa mengenal erti ilmu tersebut, membuatkan diri menjadi tertekan dan gila. Mengambil keputusan untuk berjalan di luar kotak pemikiran sebelum ini dan menghinakan diri masuk ke fakulti budak seni. Pada mulanya hanya ingin tahu, mengapa budak seni yang hina itu sentiasa melakarkan kegembiraan di wajah mereka tanpa ada sedikit pun tekanan perasaan yang boleh dilihat. Melangkah kaki yang suci itu ke tempat golongan hina buat pertama kali telah melihat suatu yang di luar jangkaan. Ingin jatuh air mata melihat tempat hina itu. Manusia berada di mana-mana.
[Bersambung…]