Oleh : Yeyen Khoo

Hamzah berpendapat dalam buku Sekitar Pemikiran Seni Untuk Seni (1997), sastera bukanlah senjata perjuangan tetapi satu cara sesuatu bangsa melimpahkan apa yang terletak di dalam benaknya dengan tulisan. Rene Wellek ketika membahaskan fungsi kesusasteraan dalam bukunya Teori Kesusasteraan, fungsi pengarang yang sebenarnya ialah membuat suatu bangsa mengerti apa yang dilihat, membayangkan apa yang telah diketahui secara konseptual atau secara praktikal. Keadaan ini wujud akibat perubahan yang dialami dalam tamadun manusia sehingga mempengaruhi pemikiran para penulis.

Peralihan ke fasa baru sekitar 1990 sehingga tahun ini telah menyebabkan berlakunya perubahan kepada perkembangan dunia sastera. Kemunculan penulis-penulis  baru yang digelar sebagai ‘Penulis Indie’ ternyata telah menjadi saingan yang hebat kepada penerbitan sastera Melayu arus perdana hari ini.

Perkataan indie berasal dari perkataan bahasa Inggeris, iaitu singkatan dari independent yang bermaksud bebas, merdeka dan tidak bergantung pada yang lain. Namun begitu, definisi indie secara terminologi pula belum dikemukakan oleh mana-mana pihak berautoriti di Malaysia secara jelas dan terperinci. Menurut Azman Hussin (2016), sastera indie ialah suatu penulisan baharu yang tidak mempunyai sebarang bentuk yang jelas dan dikenali sebelum ini. Ia lebih bersifat sarkastik, protes, menentang, maki hamun dan tidak mempunyai ciri-ciri penulisan yang tertentu. Secara umumnya, sastera indie adalah sastera protes yang menggunakan teknik penulisan baharu.

Karya indie merupakan manifestasi kebebasan berfikir, idea yang tidak terkawal, tanpa ikatan peraturan dan bebas daripada sebarang hukum-hakam penerbitan atau norma hidup. Kebanyakan karya-karya yang dihasilkan bertemakan pelbagai isu seperti kebejatan politik, sosial, keagamaan, kebobrokan ekonomi yang menindas masyarakat, kemanusiaan dan hak asasi. Penulis-penulis indie dilihat begitu agresif dan bertenaga. Pemikiran dan gaya hidup hipster yang lebih menjurus kepada sikap rebellious dan anti arus perdana ini telah mengisi ruangan sastera pada hari ini.

Sebagai sebuah karya yang menjunjung kebebasan dalam menghasilkan karya, sastera indie sangat berkait rapat dengan ideologi dan penentangan baik secara langsung mahupun tidak langsung. Ideologi yang dimaksudkan ialah fahaman atau landasan idea yang dianuti oleh individu atau sekumpulan anggota masyarakat.

Karya sastera indie ini mulai memuatkan permasalahan politik yang berkaitan dengan budaya secara tidak langsung berkembang menjadi permasalahan penggunaan kuasa, penyelewengan, perkauman di samping memasukkan pemikiran ideologi di setiap karya mereka. Adakalanya, ia juga dikaitkan dengan penerbitan sesebuah industri buku yang secara langsung membenarkan karya tanpa tapisan yang ketat dalam erti kata lain membenarkan kebebasan dalam berekspresi.

Sastera indie bukan sahaja dijadikan medium mengekspresikan pemikiran penulis muda malahan menggarap latar belakang isu untuk membentuk revolusi kepada pembaca  mahupun penyebaran ideologi yang secara singkatnya dikenali sebagai sebutan sastera propaganda dan slogan.

Kebebasan ini telah mewujudkan keberanian dan keterbukaan para penulis pada hari ini dalam menggarap, memikir dan mengangkat permasalahan tersebut sehingga menjadi satu karya yang mencerminkan pemikiran masyarakat. Kesusasteraan sebagai medium pemikiran yang jelas dan penting, suatu institusi pengucapan kemanusiaan yang lazim pastinya berbeza disebabkan oleh keadaan sosial individu, pengaruh ras, sejarah, pengaruh budaya dan linguistik.

Menurut Che Abdullah Che Ya, tekanan dan penderitaan yang dihadapi masyarakat baik secara langsung mahupun tidak langsung akan menimbulkan kesedaran dalam diri dan seterusnya akan menentang segala kemungkaran yang mereka rasa perlu untuk ditentang. Sewajarnya, penulis perlu berani mengungkapkan kebenaran dan diekspresikan dalam bentuk karya sastera bagi membentuk pemikiran masyarakat. Menjadi tanggungjawab golongan penulis bersama-sama mempertahankan nilai masyarakat itu sendiri.

Kesusasteraan dan masyarakat, kedua-duanya mempunyai pertalian yang rapat dan tidak terpisah antara satu sama lain – Asraf (Mastika Julai-Ogos 1950).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *